“CPANEL PUN TAK TAHU…?!”
Itulah yang terpacul dari mulut seorang penceramah luar ketika sedang berucap di hadapan kumpulan pensyarah fakulti sains komputer di sebuah universiti awam tempatan.
Tahu dan maklum. Belum lagi ditanya perihal pandai menggunakan. Tiada yang bersuara.
Sebenarnya saya sendiri terkejut dengan pengalaman kawan saya ini.
Saya kira, sesiapa sahaja yang ada pengalaman membina laman web dengan domain sendiri pasti “tahu” perihal CPanel ini. Ianya adalah sistem dashboard paling popular untuk akses kepada akaun kita dengan syarikat web hosting.
CPanel ini adalah akses untuk khidmat hosting jenis “shared hosting”, juga jenis yang paling murah yang boleh didapati. Mendapatkan akaun shared hosting boleh didapati dengan harga serendah RM100 setahun.
Nyata di sini pensyarah sains komputer terlalu jauh pengetahuannya daripada realiti dunia sebenar dan industri.
Saban minggu dan semester, penuntut disuruh membuat laporan dalam bentuk HTML dan website. Ada yang disuruh menjadikan website itu “live”. Sedangkan pensyarah sendiri tiada pengalaman membina laman web peribadi sendiri pun. Yang mungkin ada, hanya alamat URL daripada fakulti atau pusat komputer, tersedia dengan akaun FTP sahaja. Lebih sedih apabila ianya kosong tiada berisi.
Penuntut juga disuruh membina aplikasi web dengan .NET, JAVA, PHP. Tetapi pensyarah juga tidak pernah meletakkan sesuatu aplikasi web “live” di internet. Aplikasi live di localhost — itu dikira sudah “siap”.
Idea mereka kepada me”live”kan aplikasi di internet hanyalah dengan mencucuk wayar LAN kepada server. Tidak tahu menahu mereka tentang VPS, cloud hosting, AWS, Google Cloud Platform, Microsoft Azure, Digital Ocean, Linode, dll. Ini belum lagi kita bercerita tentang API, integrasi sistem berbeza (media sosial, bayaran, dll), pelbagai jenis storan data (SQL, NoSQL, realtime, dll), pelbagai perkhidmatan cloud, dll.
Ya. Ini bukan semua. Ramai pensyarah yang bagus. Tapi saya kira ini masih lagi majoriti hakikatnya pensyarah kita di fakulti. Dalam pada kita membuat penyelidikan tinggi dalam AI, algorithm, rangkaian, menulis white paper dan membentang journal ke sana sini, apabila berhadapan dengan penuntut, saya kira kemahiran lain seperti web hosting, cloud hosting dan sebagainya sudah penjadi antara asas penting kepada industri ini. Ianya menyedihkan bila pendidik sendiri tiada kemahiran asas ini, apatah lagi untuk disampaikan kepada penuntut.
Lewat ini dengan laman web seperti YouTube, Udemy dan lain-lain, kemahiran programming sudah tidak perlu dipelajari di universiti ataupun kolej. Malah sudah banyak bukti pemuda seawal 18 dan 19 tahun sudah punyai aplikasi web dengan pengguna serata dunia. Lepasan SPM ada yang sudah membangunkan game dan diterbitkan di Steam, Google Play, App Store.
Tambahan lagi dengan kos pengajian dan bebanan hutang selepas pengajian, tiada jaminan kerja, mungkin kolej dan universiti tidak lagi menjadi pilihan untuk haluan selepas SPM.
Sekiranya pensyarah masih juga tidak ambil kisah dengan perkembangan industri, mempertingkatkan diri dengan “asas-asas baru”, kerisauan saya, mungkin universiti bakal hilang tempat di masyarakat, dan gagal untuk kekal releven.
Saya kira, mungkin kerana tiada pengalaman kerja dalam industri, pensyarah tidak pernah menimba pengetahuan dan pengalaman yang diperlukan. Mereka tidak pernah membina dan deploy sebuah sistem dari awal hingga akhir, ataupun “end-to-end”. Akan tetapi inilah yang diharapkan daripada graduan yang keluar daripada institusi-institusi ini. Namun tanpa panduan dan galakan daripada “mentor” yang berpengalaman, ilmu ini saya kira gagal untuk disampaikan kepada graduan. Memang sebagai majikan, saya melihat memang inilah yang berlaku hasil daripada pengamatan ke atas pelajar latihan industri dan juga graduan yang hadir untuk temuduga.
Antara lain yang mengganggu fikiran saya tentang institusi pengajian tinggi adalah di mana di Malaysia ini, mereka yang berpengalaman dengan pengiktirafan pelbagai badan besar serata dunia, malah ada juga dengan perniagaan yang berjaya, dinafikan akses untuk berkongsi dan mengajar di unversiti “berprestij” kita ini. Pakar industri tidak mungkin boleh mengajar seorang penuntut ijazah Sarjana, apatah lagi PhD. Saya tidak pasti tentang mana-mana program yang menjemput pakar industri untuk mengajar secara formal, sebagai sebahagian daripada kurikulum. Kalau ada, boleh maklumkan kepada saya dan saya akan selidiki, mungkin untuk artikel susulan. Di luar negara, mungkin kita pernah dengar hal tentang “Industry Professor”, tetapi tidak di Malaysia.
Baiklah. Artikel ini bukan untuk merendah-rendahkan pensyarah, universiti ataupun kolej. Tetapi ini hakikat masalah yang dihadapi sekarang. Perkara pertama yang perlu dilakukan untuk menyelesaikan sesuatu masalah adalah dengan mengakui masalah itu wujud. Kita tidak boleh mengendahkannya lagi.
Maka, harapan saya, eloklah pensyarah dan fakulti ambil peduli dan melakukan program tertentu agar pensyarah lebih dekat dengan perkembangan industri. Mungkin ada di antara pensyarah, Projek Sarjana Muda atau Final Year Project mereka dulu, itulah projek programming mereka yang paling mencabar mereka pernah bina. Sekiranya betul, maka layaklah pensyarah ini dicabar sekali lagi untuk membangunkan sebuah projek baru, sebagai menimba pengalaman dan pengetahuan baru.
Selain itu, mungkin ada elok sekiranya kolej dan universiti memberi ruang dan peluang untuk pakar industri berkhidmat secara formal secara sepenuh masa atapun separuh masa. Saya yakin ramai yang berminat di luar sana, cuma peluang ini tidak pernah wujud. Sekiranya ini diadakan, saya rasa dengan percampuran pensyarah dan pakar industri dengan lebih kerap, ia juga membantu pensyarah dalaman lebih terbuka dan maklum dengan perkembangan industri luar.
Apa-apa pun, selain daripada isu pengetahuan pensyarah yang cetek dalam hal industri, peranan kolej dan universiti secara amnya pun dikhuatiri semakin hilang. Sekiranya tiada apa yang dilakukan sekarang ini, pasti fakulti sains komputer di universiti dan kolej bakal hilang tidak lama lagi.
Kami mempunyai penasihat industri. Silibus kami dibangunkan dengan nasihat mereka. Mereka yang menilai projek akhir pelajar kami.
Salah satu pra-syarat projek akhir ialah pelajar mesti lulus kursus web. Hasilnya, 80% dari projek akhir adalah berbentuk web based system. Kemudian, penasihat industri kami berkata, dia dah jemu nak tengok web based system. Selepas ini, dia tak nak tengok lagi projek akhir berbentuk web based, dan projek akhir mestilah melibatkan device.
Mulai semester ini, pelajar kami tidak dibenarkan membangunkan web based system. Silibus juga telah diubah. Kursus web bukan pra-syarat kepada projek akhir. Malah, mengunakan device merupa satu syarat wajib kepada projek akhir.
Maka, gelabahlah para pensyarah web, terpaksa meninggalkan html, php, jsp dan asp.net; beralih kepada python dan adruino
[…] Bagi yang tidak tahu pucuk pangkal kenapa catatan ini wujud, bolehlah merujuk portal Otakit. […]
Teringin juga jadi lecturer uni/kolej ni.
Hehehe.
Bagi saya cpanel tu satu benda yang wajib untuk di pelajari kerana dunia cyber ni sangat luas pengusaan nya. Kalau tak faham domain dan hosting dan bagaimana nak gabungkan tu satu masalah besar. Kerana tanpa mempelajari asas penting ini tak bermakna sijil yang dimilki. Hinggakan kan cpanel pun mereka tak tahu apa benda lansung bagi saya tu dah kira satu masalah besar dan dalam erti kata ilmu yang dimiki tu kosong tanpa nilai.
Sebagai seorang programmer laman sesawang professional bagi saya tanpa cpanel maka satu masalah besar untuk saya malakukan tugas besar dan penting kerana ia tidak berakhir di situ, Cpanel adalah satu laluan untuk kita sampai ke tempat untuk kita teruskan kepada cms script java script dan belbagai nya untuk terus ke dunia luar.
Jadi cuba bayangkan kalau tanpa kapal terbang dan kapal laut untuk ke negeri china ianya satu yang mustahil untuk kita sampai ke sana kalau dengan hanya ada tayar kapal terbang dan pendayung saja.
Renung renung kan lah jangan apa yang kita miliki tu hanya sekadar tertulis di sijil saja.
[…] “CPanel Pun Tak Tahu?” Realiti Pengetahuan Pensyarah IT & Sains Komputer Di Kolej &… […]
[…] “CPanel Pun Tak Tahu?” Realiti Pengetahuan Pensyarah IT & Sains Komputer Di Kolej & Univ… […]
Dahlan ghani