Berita dan Info Bisnes ICT

Sebuah projek
Sebuah projek
Sebuah projek

JomLaunch7 Tonjolkan Kehebatan Programmer Tanahair Bersama Projek Hasil Usaha Mereka

Sebahagian daripada peserta JOMLAUNCH
2.55K 0

Untuk kali ketujuh, JOMWEB telah menganjurkan JOMLAUNCH, sebuah acara yang menghimpun programmer dan penggiat ICT tempatan. Kali ini ianya dianjurkan dengan kerjasama Malaysian Global Innovation and Creative Centre (MaGIC) di ruang pejabat mereka di Cyberjaya.

Sepanjang hari tersebut, 20 projek telah dibentangkan, dan membuktikan kebolehan programmer tempatan. Berbeza dengan “demo day” ataupun “sesi pitching” yang biasa kita dengar untuk syarikat permulaan ataupun startup, JOMLAUNCH tidak memberi penekanan kepada ciri-ciri komersil sebuah projek. Apa yang lebih utama adalah teknologi yang digunakan dalam pembangunan. Pembentang boleh terdiri daripada kumpulan, syarikat, mahupun individu.

Oleh sebab itu, selain daripada projek komersil, kita berpeluang melihat projek yang dibina oleh programmer dalam perkhidmatan awam, yang dibina untuk kegunaan orang ramai, projek peribadi yang tiada “business model”, penuntut IPTA dan lain-lain.

Antara projek yang menarik perhatian adalah:

  • iQMS oleh Raja Hafiz, pegawai IT di Hospital Ampang
  • Buku Komunikasi CaknaAutisma oleh Persatuan Ibu Bapa & Ahli Intervensi (PIBI)
  • ProjekIOT oleh Shahrul Nizam dan Akmal Hazim
  • Critical Care Medical Devices IoT oleh NexoPrima Sdn Bhd

iQMS di Hospital Ampang

iQMS, yang juga memenangi Projek Pilihan semalam JomLaunch7 ini, dibangunkan oleh pegawai IT Hospital Ampang sendiri. Ianya dibangunkan untuk kegunaan dan kemudahan pengunjung ke hospital bagi mengurangkan masalah kesesakan di ruang menunggu di hospital. 

iQMS adalah sistem nombor giliran bagi mendapatkan rawatan. Yang menariknya tentang projek ini, selain daripada hasil inovasi pegawai hospital sendiri, Raja Hafiz, beliau mendedahkan tentang pelbagai kekangan yang dihadapi untuk menyiapkan projek ini. Antara yang utama adalah kekangan bajet dan juga perkakasan komputer yang sudah uzur. Namun berbekal perkakasan sedia ada, bajet yang kecil untuk beberapa perkakas baru dan idea kreatif beliau, sistem ini berjaya dibangunkan dan digunapakai pengunjung.

Dengan adanya iQMS, pengunjung boleh mendapatkan notifikasi tentang nombor giliran di telefon bimbit masing-masing. Pengunjung tak perlu berada di ruang menunggu dan sebalik boleh ke restoran dan kafe yang berhampiran. Raja Hafiz juga sempat berseleroh, “iQMS telah berjaya membantu perkembangan ekonomi setempat dengan memenuhkan kafe dan kedai mamak berhampiran.”

Hasilnya, ruang menunggu yang dahulunya sesak kini sudah sedikit lega dan selesa buat pengunjung.

Buku Komunikasi CaknaAutisma

Kehidupan sebagai ibubapa kepada anak autisma memang mencabar. Lebih mencabar lagi apabila anak-anak autisma mula bersekolah.

Aplikasi Buku Komunikasi ini bukan sekadar menggantikan buku kertas, namun ianya mempunyai ciri-ciri khusus bagi pengumpulan data perkembangan seorang anak autisma. Sebagai contoh, setiap hari, anak-anak Autisme perlu dinilai tingkahlaku mereka, latihan ke tandas, kemahiran bersosial, kebolehan meminta dan lain-lain penilaian yang tidak perlu direkodkan bagi anak-anak yang normal.

Maklumat laporan yang begini dalam bentuk digital memberi beberapa manfaat. Pertamanya, perkembangan dan pencapaian anak boleh divisualkan dalam bentuk graf. Kedua, apabila anak bertukar kelas atau sekolah, guru baru lebih mudah untuk mengenal tahap anak dengan hanya membaca ringkasan laporan dan yang ketiga, data terkumpul ini boleh digunakan sebagai data analitik oleh pegawai intervensi untuk menganalisa corak dan tingkah laku perkembangan anak-anak Autisme.

Inilah yang dibangunkan oleh Nazmi Najib, juga AJK dalam Persatuan Ibubapa & Ahli Intervensi di Pusat Genius Kurnia. Beliau sendiri punyai seorang anak autism berusia 6 tahun. Atas keperluan anak, beliau berhijrah dari Terengganu ke Kuala Lumpur untuk mendaftarkan anaknya ke Pusat Genius Kurnia.

Aplikasi Buku Komunikasi ini juga akan digunakan secara pilot di Pusat Genius Kurnia yang menghimpunkan 500 anak-anak autisma. Kos pembangunan aplikasi telah disumbangkan oleh ibubapa dan juga melalui laman web LaunchGood.com, di mana mereka berjaya mengumpul $6000 USD.

Sewaktu penulisan ini, kempen mencari dana melalui LaunchGood masih aktif. https://www.launchgood.com/campaign/autism_parents__teachers_communication_book_apps#!/ 

Buku Interaktif Belajar Bahasa Isyarat (BIMO)

Bagi membantu ibubapa dengan anak-anak OKU pekak dan bisu, Dr Ruzimi dari IMICreative telah mengambil inisiatif membangunkan Buku Interaktif Belajar Bahasa Isyarat. Produk ini adalah sebuah jilid 10 buah buku beserta aplikasi mobail yang memudahkan proses pembelajaran bahasa isyarat.

Dr. Ruzimi (depan kiri) bersama Datuk Wan Suraya, KSU MED.

ProjekIOT

https://projekiot.com

Di JOMLAUNCH tahun lalu, Akmal Hazim telah mendapat liputan meluas dari media tempatan selepas dikenali sebagai genius IT berusia 13 tahun. Projek yang beliau bangunkan setara malah mungkin melebihi jangkauan seorang penuntut kolej dan universiti dalam bidang komputer sains.

Tahun ini, Akmal Hazim muncul sekali lagi dengan sebuah projek baru. Namun kali ini dengan seorang rakan kongsi, Shahrul Nizam. Shahrul Nizam memang dikenali di kalangan komuniti JOMWEB sebagai seorang jurutera elektronik yang banyak berkongsi tutorial dan pembelajaran projek elektronik di blog beliau. Dan dalam era Internet-of-Thing (IoT), yang mana pelbagai alatan dilengkapi sensor dan menghantar data ke “server”, Shahrul mencadangkan ProjekIOT sebagai platform pengumpulan data setempat bagi peranti (IoT).

Walaupun terdapat platform IoT lain di dunia, ProjekIOT dikatakan lebih mudah digunakan dan mesra newbie. Contoh penggunaan adalah yang diberikan adalah di mana Shahrul telah memasang peranti Arduino di rumah yang dapat menghantar maklumat penggunaan elektrik ke ProjekIOT. Dengan data yang dikumpul, maklumat boleh dipaparkan terus kepada umum (boleh dikawal akses) di ProjekIOT.

Contoh paparan data : https://projekiot.com/energy-monitoring

Artikel projek pemantauan penggunaan elektrik dengan IoT:  http://shahrulnizam.com/web-project-rpi-iot-energy-monitoring

Image may contain: 1 person, indoor
Akmal Hazim memberi penerangan di pentas.

Critical Care Medical Devices IoT

https://nexoprima.com

Pasti kita pernah melihat secara langsung di hospital ataupun melalui drama TV atau filem, apabila di wad kritikal, terdapat sebuah peranti dengan skrin monitor di sebelah katil. Peranti ini merakam dan memaparkan graf denyutan jantung dan mungkin lain-lain data penting pesakit.

Namun tahukah anda data ini tidak menyimpan data ini ke mana-mana? Apa yang diusahakan oleh Adzmely Mansor dan Faizal dari Nexoprima Sdn. Bhd. adalah di mana mereka berjaya mendapatkan data daripada peranti-peranti ini yang sedia ada dan menyimpannya di server untuk analisa dan juga paparan di tempat lain.

Sekiranya kita biasa melihat bilik keselamatan dengan belasan skrin monitor untuk kamera litar tertutup (CCTV), dengan projek hasil inovasi Nexoprima, mereka berupaya membangunkan sebuah pusat kawalan yang memaparkan belasan (atau puluhan) skrin monitor hasil data daripada peranti di bilik pesakit. Ini pastinya memudahkan kerja petugas kesihatan memantau pesakit, tanpa perlu membuat lawatan ke bilik. Selain dari itu, dengan data yang disimpan, kita berupaya membuat analisa. Ini dahulunya mustahil kerana data ini tidak dikumpulkan secara berpusat.

Selain dari itu, pelbagai protokol dan teknologi telah digunapakai Nexoprima untuk meminimumkan kelawatan paparan data atau lag.

Adzmely memberi penerangan produk kepada Datuk Wan Suraya.

Lain-lain Projek di JOMLAUNCH7

Berikut adalah lain-lain projek di JOMLAUNCH7. Setiap satu daripada punyai keunikan dan kehebatan masing-masing.

  • WeNiaga oleh Data Brain Sdn Bhd. Ianya adalah sistem CRM untuk merekodkan jualan khusus untuk pengasas produk kesihatan dan kecantikan.
  • WinApp adalah aplikasi permesejan untuk perniagaan dan pelanggan
  • Mesolitica adalah syarikat yang membawakan algoritma NLP bahasa Melayu dalam projek IT.
  • Throwkeys membolehkan anda mengunci pintu dengan aplikasi mobail.
  • DIAudit adalah sistem untuk pengurusan pemeriksaan keselamatan api di bangunan.
  • RaudhahPay sebuah payment gateway.
  • Automatic Timetable Generation System dibangunkan oleh Shamsul membawakan algoritma untuk penjanaan jadual waktu untuk sebuah sekolah yang mengambil kira pelbagai kekangan seperti jumlah kelas, darjah, guru, dan lain-lain.
  • Low-cost NAS with Management System memberikan alternatif untuk anda membina NAS anda sendiri pada harga yang lebih rendah.
  • Eeceipt boleh disambungkan dengan mana-mana sistem POS untuk memberi pelanggan resit dalam format digital.
  • PomenApp adalah sebuah aplikasi yang membantu pemilik kereta mendapatkan khidmat mekanik.
  • DelyvaX adalah sistem pengurusan untuk sebuah perniagaan penghantaran barangan dengan penunggang motor.
  • NakRide adalah platform crowdsharing untuk pemilik motor.
  • cHEART adalah platform rekod kesihatan pesakit berasaskan blockchain.
  • MakanBurger.com adalah sistem pesanan dan pengurusan untuk gerai burger.
  • Pandai ialah sebuah aplikasi pembelajaran alaf baru yang menawarkan pendidikan berkualiti dan personalized kepada pelajar-pelajar sekolah

Majlis juga turut dimeriahkan dengan kehadiran Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Usahawan, dan juga Dzuleira Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysian Global Innovation and Creative Centre (MaGIC). Mereka sempat bersoal jawab dengan pengunjung dan mengutarakan beberapa maklumat tentang halatuju kementerian dan juga MaGIC. Sejurus selepas itu, Dzuleira mengiringi Datuk KSU mengunjungi pameran sebelum berangkat.

Peserta bergambar bersama Datuk Wan Suraya dan Dzuleira Abu Bakar.

Semoga JOMLAUNCH dapat diteruskan lagi bagi mengetengahkan lagi lebih banyak inovasi tempatan, dan memberi inspirasi kepada umum.

Leave A Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.