Berita dan Info Bisnes ICT

Sebuah projek
Sebuah projek
Sebuah projek

Geran Pendigitalan SME 2020 Dan Kesan Terhadap Startup Malaysia

3.53K 1

Dalam Belanjawan 2020 yang diumumkan tahun lalu, antara insentif yang menjadi perhatian adalah Geran Pendigitalan SME.

Ini memang langkah yang bijak daripada kerajaan untuk memperkasakan usahawan kecil dan sederhana bagi menghadapi dunia yang semakin moden ini. Perisian dan perkakasan terkini pastinya akan membantu usahawan agar lebih berdaya saing, produktif dan efisien. 

Geran yang ditawarkan kerajaan ini membolehkan pihak SME untuk menuntut sehingga RM5000 untuk perisian dan sistem seperti point-of-sales, ERP, sistem sumber manusia, dan lain-lain.

Namun antara aspek lain yang perlu diperhalusi adalah bagaimana inisiatif ini dilaksanakan.

Serampang Dua Mata

Selain daripada usaha untuk memperkasakan industri, kerajaan juga harus mengambil peluang ini untuk membantu SME dalam industri ICT yang akan membekalkan khidmat mereka kepada SME ini. Dan ini menjadikan inisiatif ini sebagai usaha serampang dua mata.

Ianya membantu:

  • Pendigitalan SME
  • Usahawan ICT 

Sememangnya banyak sistem dan perisian yang berada di pasaran. Dan di Malaysia ini, kita tidak pernah menghalang syarikat perisian besar dari luar negara untuk memasarkan produk mereka di Malaysia. Dengan modal yang besar untuk pemasaran, mereka hadir ke dalam negara kita Malaysia ini dan mula memberi kesan ke atas usahawan dalam negara. 

Terdapat banyak syarikat tempatan yang mengusahakan sistem POS, sumber manusia, perakaunan, ERP dan lain-lain lagi. Bagi usahawan ICT tempatan yang kebanyakkannya bermodal kecil, mereka kini terpaksa bersaing dengan Xero, Quickbooks, Sage, dan lain-lain yang hadir dari luar negara dengan modal yang besar.

Maka saya berpendapat, dengan Geran Pendigitalan ini, bagi membantu industri ICT tempatan, keutamaan harus diberikan kepada syarikat ICT tempatan seperti SimpanKira, SumberManusia.my, GetSlurp.com, Bizappay, Urusniaga, Instaweb, OfficeCentral, DIAudit, MySyarikat.com, Works25, Jejahit.com, GeekyPay.my, Ejen2u, Avana dan banyak lagi. Sekiranya Geran Pendigitalan ini memberi keutamaan kepada syarikat tempatan sebagai penyedia perkhidmatan, kita berharap agar mereka kelak juga berupaya bersaing di persada antarabangsa.

Syarikat Penyedia Geran Pendigitalan

Mengikut maklumat yang saya tahu, usaha Geran Pendigitalan ini dilaksanakan oleh BSN, SMEBank dan MDEC. Namun senarai syarikat penyedia yang ada pada MDEC hanyalah terhad kepada syarikat MSC, sedangkan banyak syarikat yang saya senaraikan sebentar tadi bukanlah daripada syarikat MSC.

Perbualan bersama rakan-rakan industri, mereka tidak nampak manfaat pendaftaran MSC untuk mereka. Maka tidak hairanlah sekiranya mereka tidak mendaftar menjadi sebuah syarikat MSC. Lanjutan daripada itu, MDEC tidak mempunyai senarai syarikat yang komprehensif yang berupaya untuk menyediakan perkhidmatan kepada SME dalam negara ini.

MDEC menyedari hakikat ini dan ia telah mengeluarkan borang pendaftaran untuk syarikat-syarikat ICT tempatan yang berminat untuk menyediakan perkhidmatan bagi usaha Geran Pendigitalan ini.

Borang MDEC ini boleh didapati di https://mdec.my/news/businessdigitalisationgrant/ 

Namun ada beberapa perkara yang saya khuatiri.

Pertama, borang ini baru dibuka pada 12 Januari 2020, dan bakal ditutup 24 Januari 2020. Saya rasa ini tempoh yang singkat untuk hebahan dan mengumpulan permohonan.

Kedua, melihat kepada kelayakan yang disenaraikan, saya rasa ianya mengekang pertumbuhan syarikat startup negara kita.  Kriteria-kriterianya ialah:

  1. Syarikat mesti mempunyai modal berbayar sekurang-kurangnya RM50,000.
  2. Mempunyai sekurang-kurangnya 100 pelanggan bagi sistem untuk Geran Pendigitalan

Anak Di Rumah Mati Kelaparan

Melihat kepada kriteria ini, banyak daripada syarikat yang saya senaraikan tadi pasti hilang kelayakan. Ada di antara mereka telah menggembeling tenaga dan modal untuk kaji selidik dan pembangunan di antara 2 hingga 4 tahun. Namun usaha mereka pasti sia-sia sekiranya mereka tidak layak menjadi syarikat penyedia untuk Geran Pendigitalan ini. 

Syarikat startup ini perlu diberikan peluang untuk menyemarakkan lagi industri digital tempatan. Sekiranya Geran Pendigitalan ini diteruskan tanpa penglibatan mereka sebagai syarikat penyedia, pastinya ini adalah satu usaha berimpak negatif kepada startup Malaysia. Tanpa kelebihan menawarkan Geran Pendigitalan untuk sistem yang mereka telah bangunkan, SME akan beralih kepada syarikat lain. Sekaligus mengekang perkembangan startup yang kita cuba pupuk dan perkasakan ini. 

Malaysia begitu berusaha keras untuk membawa pelaburan ke dalam negara. Namun sekiranya pelaksanaan Geran Pendigitalan ini dilaksanakan sebegini, tidak hairan sekiranya rakan-rakan startup kita lari dan beroperasi dari negara-negara jiran. Manakan tidak, sekiranya kita semua merasakan ini semua seperti “kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan”. 

Pastinya ini menjadi kerugian yang besar kepada negara.

Cadangan

Melihat kepada situasi startup di Malaysia yang berkebolehan untuk menjadi penyedia Geran Pendigitalan, saya mencadangkan agar kriteria-kriteria berikut diguna pakai dalam pemilihan syarikat yang layak:

  1. Syarat pendaftaran Kementerian Kewangan bagi syarikat yang berminat untuk mendapatkan kontrak kerajaan adalah dengan RM5,000 modal berbayar. Namun, sekiranya ini terlalu rendah, mungkin ianya boleh dinaikkan ke RM10,000, dan diturunkan dari RM50,000.
  2. Telah mempunyai sekurang-kurangnya 20 pelanggan berbayar. Jumlah ini berpatutan kerana ianya menunjukkan perkembangan yang sihat ke atas perkhidmatan yang ditawarkan syarikat startup 

Demi memenuhi pelan pendigitalan yang hebat diwar-warkan oleh kerajaan, startup-startup tempatan haruslah didahulukan kerana sememangnya mereka mampu menawarkan perkhidmatan setanding dengan negara luar. 

Khairil Iszuddin bin Ismail
Presiden
Persatuan Usahawan dan Industri ICT Bumiputera Malaysia (NEF)

Photo by Ishan @seefromthesky on Unsplash

One Comment

Leave A Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.