Berita dan Info Bisnes ICT

Sebuah projek
Sebuah projek
Sebuah projek

Pelancaran Pusingan Pertama ASEAN Rice Bowl 2019 sempena Malaysia Rice Bowl Conference 2019

,
1.1K 0

The New Entrepreneurs Foundation (myNEF) hari ini telah berjaya menganjurkan persidangan Malaysia Rice Bowl Conference buat pertama kali dan melancarkan anugerah ekosistem keusahawanan teknologi ASEAN yang paling ditunggu-tunggu iaitu ASEAN Rice Bowl Startup Awards. Majlis gilang gemilang ini dimeriahkan dengan kehadiran Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

Persidangan sulung ini menampilkan panel perbincangan tentang pendanaan syarikat permulaan, perspektif daripada pelabur-pelabur dan panel perbincangan yang mengupas peranan agensi kerajaan dalam ekosistem syarikat permulaan Malaysia. Perbincangan tersebut disertai beberapa ketua agensi kerajaan iaitu Dzuleira Abu Bakar (MaGIC), Surina Shukri (Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Azmi Said (SME Corp)

Memasuki tahun kelima penganjurannya, Rice Bowl berhasrat untuk menghubung dan memperkasakan Komuniti Ekonomi ASEAN bagi memperkukuhkan ekonomi setempat mereka dengan syarikat permulaan dan syarikat yang sedang berkembang. Rice Bowl juga adalah laluan rasmi ke Global Startup Awards bagi rantau Asia Tenggara. Anugerah ini meraikan semangat inovasi dan keusahawanan dalam kalangan syarikat permulaan Asia Tenggara.

Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, “Anugerah ini adalah selari dengan aspirasi kementerian untuk melihat Malaysia muncul sebagai sebuah Negara Keusahawanan Unggul menjelang 2030. Kami berhasrat untuk memupuk budaya keusahawanan yang lebih kukuh merentasi semua segmen masyarakat Malaysia berlandaskan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 yang dilancarkan pada 11 Julai 2019. Saya yakin anugerah ini akan membantu melahirkan lebih ramai usahawan menerusi pengiktirafan terbuka kepada usahawan yang boleh menjadi suri teladan kepada yang lain. Kita perlu memastikan kewujudan lebih banyak pasaran, bakat dan syarikat permulaan untuk ekonomi berkembang.”

Hamdi Mokhtar, Pengerusi ASEAN Rice Bowl Startup Awards dan myNEF berkata, “Jika ada yang tertanya-tanya tentang sebab di sebalik nama Rice Bowl Awards ini, ia dinamakan demikian kerana ‘nasi’ adalah makanan ruji di negara-negara Asia Tenggara. Malah, ia juga adalah satu simbol kemewahan dan kekayaan merentasi rantau ini sekaligus menjadikan mangkuk yang berisi nasi sebagai satu simbol untuk rezeki yang tidak putus-putus dan kehidupan yang berterusan.

Syarikat permulaan (startup) sejak dulu lagi adalah ‘mangkuk nasi’ yang menjana pertumbuhan ekonomi Asia Tenggara dan kami percaya ia akan terus menjadi sumber mata pencarian ASEAN untuk generasi akan datang. Kami menghormati dan meraikan inovasi dan semangat keusahawanan syarikat-syarikat permulaan ini terutamanya keberanian, kecekalan, kerja keras dan semangat waja mereka yang membantu memperkasakan ekonomi dan kekayaan rantau ini.”

“Kami menerima lebih daripada 3,000 pencalonan tahun ini daripada seluruh pelusuk Asia Tenggara dan ia adalah peningkatan sebanyak 50 peratus daripada tahun lepas. Syarikat-syarikat permulaan ini datang daripada pelbagai industri dan latar belakang yang ghairah untuk menempa kejayaan buat syarikat mereka. Mereka adalah golongan yang berani mengambil risiko dan memajukan komuniti syarikat permulaan dengan kerja keras mereka” kata Hamdi.

Antara pemenang dari Malaysia pada tahun-tahun sebelum ini yang sudah pun menempa nama mereka sendiri adalah Carsome, Dropee, JomParking, dan iflix.

Berikut adalah pemenang & kategori bagi Malaysia Rice Bowl Startup Awards 2019:

  1. EasyParcel untuk “Best E-commerce & Supply Chain Startup”
  2. MedKad untuk “Best Life Helper”
  3. StixFresh untuk “Best Foodtech/Agritech Startup”
  4. Favoriot untuk “Best IoT Startup”
  5. Engage untuk “Best AI & Machine Learning Startup”
  6. Curlec untuk “Best Fintech Startup”
  7. Ventures untuk “Best Accelerator or Incubator Program”
  8. Common Ground untuk “Best Coworking Space”
  9. Gobi Partners untuk “Investor of The Year”
  10. GA Space untuk “People’s Choice”
  11. RunCloud untuk “Best Newcomer”
  12. Jeevan Kumar dari ZOOMS untuk “Founder of The Year”
  13. RunCloud untuk “Startup of The year”

Tiga kategori teratas dengan pencalonan terbanyak di Malaysia adalah Best Life Helper, Best E-commerce & Supply Chain Startup, dan Best Newcomer.

Pencalonan dibuka kepada semua syarikat yang ditubuhkan kurang dari 5 tahun di mana-mana negara ASEAN. Tempoh pencalonan adalah antara 27 Mei 2019 sehingga 9 Ogos 2019. Ia disusuli dengan satu pusingan penilaian oleh pakar industri dan pemenang bagi setiap negara akan diumumkan di pelbagai acara peringkat kebangsaan pada Oktober dan November 2019 di negara masing-masing.

Malaysia adalah negara pertama yang mengumumkan pemenang-pemenang Rice Bowl bagi 2019. Setiap pemenang dari Malaysia akan menerima Khidmat Nasihat Perhubungan Awam Strategik bernilai RM15,000 daripada Suppagood PR.

Pemenang di setiap negara akan mara ke peringkat serantau. Mereka berpeluang untuk mengambil bahagian dalam pertandingan akhir serantau, sebuah program pertukaran merentasi rantau yang diwujudkan untuk usahawan-usahawan yang serius. Pemenang akan dapat memanfaatkan jaringan syarikat permulaan ASEAN, mencari rakan kongsi di peringkat serantau, secara vertikal atau merentasi komersial untuk memacu perkembangan pasaran.

Peringkat akhir serantau anugerah ini pada tahun ini akan berlangsung di Kuala Lumpur pada Januari 2020.

Leave A Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.