Beliau sendiri tidak tahu mengapa ramai yang mengelarnya cikgu termasuk kakitangan syarikatnya. Sedangkan beliau tidak pernah menjawat jawatan sebagai seorang guru. Katanya, mungkin beliau suka mengomel dalam banyak perkara.
Itulah Harisfazillah Jamel, Pengarah Urusan Syarikat SongketMail Sdn. Bhd yang berpengalaman lebih 25 tahun dalam bidang ICT. Beliau menjalankan perniagaan konsultant ICT melibatkan perisian sumber terbuka, Open Source Software (OSS), secara khususnya backend services terutama dalam bidang Big Data dan Cloud Computing.
Walaupun baru 2 tahun beroperasi, namun pengalaman 10 tahun sebagai Project Manager banyak membantu beliau membina perniagaan tersebut. Beliau juga orang kuat yang menggerakkan komuniti Open Source Software dan Malaysian Open Source Conference.
Teruskan bacaan untuk mengikuti temubual khas Otakit.my bersama Harisfazillah Jamel.
***
Difahamkan anda orang kuat penggerak OSS dan menjalankannya secara independent. Boleh terangkan serba sedikit mengenai OSS dan posisi anda dalam gerakan tersebut?
Open Source Software (OSS) adalah usaha sukarela secara komuniti dan gotong royong ramai individu bukan sahaja developers. Malah usaha ini adalah gabungan individu-individu dalam pelbagai bidang, sama ada coders, teknikal, pembuat dokumen, QA, pengurusan dan pelbagai lagi.
Usaha ini dijalankan secara atas talian, secara sukarela dan tanpa fikirkan tentang membuat keuntungan semata-mata. Ianya hobi.
Usaha komuniti sukarela inilah yang menghasilkan Kernel Linux, GNU tools, C Compiler yang kemudiannya berkembang menghasilkan ribuan perisian yang membentuk sistem operasi dan backend service. Bayangkan Internet yang kita guna ini dan Cloud service yang menjadi nadi kita adalah semuanya usaha komuniti sukarela. Asalnya adalah hobi.
Posisi saya dalam pergerakan pembangunan dan perkembangan perisian sumber terbuka (OSS) adalah untuk menjadi penyelaras kepada ramai lagi pengguna OSS dalam komuniti, perniagaan dan kerajaan.
Untuk tujuan itu, saya perlu independent daripada mana-mana pihak, agar dapat diterima oleh ramai pihak, dalam mana-mana komuniti OSS yang pelbagai, perniagaan yang bersaing antara satu sama lain, miskipun dalam perniagaan penyelesaian OSS yang sama dan yang utama, dengan kerajaan dan rakyat amnya (Sudah macam ucapan politik pula).
Apa inspirasi dan kenapa menggerakan OSS, bagaimana ia bermula?
Inspirasi saya bermula pada awal saya menggunakan Linux. Miskipun pada sekitar tahun 2000, saya telah biasa menggunakan Unix SVR4. Pada satu acara komuniti di mana, kami telah turun ke sekolah dan usahakan memasang Linux dalam komputer server sekolah, saya belajar penggunaan Linux dengan pelajar-pelajar sekolah menengah waktu itu.
Melihat kesungguhan mereka menyebabkan saya lagi bersemangat untuk belajar Linux dan backend services dan mulakan usaha untuk menjadikan Linux dan OSS sebagai tools atau alat kepada kerjaya ICT dan kemudian perniagaan saya.
Adakah terdapat dana atau pembiayaan untuk gerakan ini?
Minat dengan OSS dan aktiviti-aktiviti adalah dengan duit poket masing-masing. Sumbangan sama ada dalam bentuk wang ringgit dan masa atau dalam bentuk lain contoh tempat untuk aktiviti dan perkongsian maklumat dalam social media.
Untuk aktiviti-aktiviti, kami usahakan budget untuk tampung kos dengan tajaan, sama ada individu-individu atau syarikat-syarikat, yang mahu return back to community. Kami galakan sumbangan dengan sokongan penajaan kerana itu yang mengembirakan komuniti OSS, dapat berjumpa rakan-rakan yang sama minat dan dapat berbual dan gosip tentang OSS.
Bagaimana pula idea mewujudkan MOSC, apakah ia sebenarnya?
Idea MOSC atau Malaysia Open Source Conference ini adalah dimulakan oleh Saudara Ritz Ramli dan rakan-rakan dalam MDeC pada tahun 2009. Pada masa itu tiada program khusus dalam industri ICT yang melibatkan OSS.
Kerajaan pada masa itu sedang melaksanakan perkembangan OSS dengan projek Open Source Copentency Center (OSCC) oleh MAMPU, JPM.
Maka usaha dalam industri ICT juga perlu dijayakan. Untuk mengambil pengisian komuniti, persidangan adalah satu acara yang sesuai untuk kumpulkan semua pengiat dan peminat OSS dalam komuniti, kerajaan dan industri.
Dan pada tahun 2009, bermulalah MSC Malaysia Open Source Conference dan kemudiannya Malaysia Open Source Conference. Pertukaran nama itu selaras dengan hasrat rakan-rakan dalam MDeC, acara komuniti perlu diusahakan sendiri oleh komuniti.
Saya sama pendapat dengan rakan-rakan yang lain, untuk bebas kami perlu usahakan sendiri. Kami banyak belajar tentang pengurusan acara dan mendapat banyak pengalaman dengan kerja sama dengan MDeC pada masa itu. Ia satu yang berharga, secara peribadi, ia telah membentuk saya sekarang dalam membina perniagaan dan pengurusan projek.
Apa pendapat anda mengenai sambutan OSS di Malaysia?
Sambutan OSS di Malaysia adalah meluas. Sama ada dalam sektor kerajaan dan industri. Apa yang kita lihat, ramai yang tidak tahu bahawa disebalik penyelesaian ICT mereka, adalah penggunaa OSS.
Sebagai contoh laman web yang menggunakan CMS seperti Joomla dan Drupal, yang tentu daripada projek OSS PHP dan juga CMS itu sendiri.
Untuk sektor kerajaan boleh merujuk kepada projek Open Source Development and Capabilities (OSDeC).
Kenapa OSS? Kenapa tidak CSS?
Saya dengan OSS adalah kerana komunitinya. Komuniti yang bergerak secara sukarela dalam menghasilkan perisian-perisian yang merubah dunia. Ia tidak bermaksud saya tidak menyokong CSS. Saya percaya ia boleh digandingkan sekali bagi menjadi penyelesaian yang bersesuaian dengan kehendak client.
Apa cabaran terbesar pernah anda hadapi sepanjang menggerakkan OSS, lebih-lebih lagi secara independent?
Cabaran utama adalah sukarela yang sepenuh masa dapat tumpukan perhatian dalam menjalankan tugasan. Oleh kerana ramai daripada kami adalah bekerja sepenuh masa atau menjalankan perniagaan, masa khusus untuk kerja-kerja sukarela adalah terhad.
Ini menyebabkan, jangka masa untuk sesuatu kerja akan mengambil masa. Kita perlukan berikan ruang masa untuk rakan-rakan yang sukarela untuk melaksanakan kerja, disamping mereka tugasan hakiki yang mereka perlu laksanakan.
Saya dengan beberapa rakan OSS sedang usahakan pendaftaran pertubuhan yang bersesuaian untuk komuniti OSS. Buat masa ini kami dalam perbincangan kedai kopi dan menunggu maklum balas daripada yang lain. Kita sedia maklum, untuk pertubuhan memerlukan ahli-ahli yang aktif bergerak dalam dunia nyata. Ia satu cabaran bagi kita yang biasa dengan berkomuniti secara virtual melalui social media dan Internet chats.
Apabila rakan-rakan / keluarga anda mengetahui bahawa anda menggerakkan OSS, apa yang mereka katakan atau bertanya?
Oleh kerana kalangan rakan-rakan dan keluarga saya adalah dalam bidang ICT, pertanyaan banyak berkisar tentang perlesenan OSS. Ia merupakan topik utama dalam perbincangan. Free bukan percuma. Open Source Software masih ada perlesenan yang kita perlu patuhi dan hormati.
Bilakah MOSC edisi seterusnya dan apa temanya, objektif dan sasaran?
MOSC edisi ke 10 akan di adakan pada November 2018 di Kuching Sarawak. Pasukan sukarela sedang ditubuhkan, jika ada yang berminat untuk menimba pengalaman, boleh berhubung dengan saya.
Ke mana arah tuju OSS dan apa yang anda rasa akan berubah tentang dalam tempoh masa lima tahun akan datang?
OSS adalah satu yang normal dan umum sekarang, dan peningkatan penerimaan OSS sebagai penyelesaian Enterprise dengan sokongan dan kepelbagai enteprise.
Namun, OSS perlu sentiasa dikekalkan sebagai solusi untuk mereka dan organisasi yang mahukan diri bebas daripada harga perlesenan dan pakej yang mahal dan terikat. Disini perlu wujud komuniti atau platform yang dapat melaksanakan tujuan itu.
Apa lagi projek dalam perancangan?
Projek dalam perancangan adalah untuk penyediakan satu platform berpusat untuk kalangan pakar OSS dan freelancer seluruh dunia. Masih dalam perbincangan dengan pelbagai pihak yang perlu disatukan dalam satu platform. Yang utama, platform ini perlu dilaksanakan secara komuniti, oleh komuniti, untuk komuniti dan kerana komuniti.
Sebagai pioneer apa trend yang yang anda lihat?
Trend sekarang daripada segi industri banyak ke arah cloud dan container. Budaya Devops. Dan ia membawa kesan yang khusus. Jika kita perhatikan dalam kalangan rakan-rakan kita, telah mula bergerak sendiri secara freelancer untuk menjayakan pelbagai projek yang menggunakan kemudahan Cloud.
Trend Cloud dan budaya freelancer ini menular di Malaysia. Ia satu yang bagus, tapi ia perlukan koordinasi.Budaya Devops menggunakan cointaner seperti docker untuk melepaskan perisian dalam Cloud perlu menjadi budaya dikalangan freelancer Malaysia.
Jika anda tidak menggerakkan OSS, apa yang akan anda lakukan atau bagaimana kehidupan anda?
Rasanya saya masih seorang yang pendiam dan tidak banyak bercakap dengan orang lain. Ditolak untuk menjalankan aktiviti-aktiviti dalam OSS telah merubah saya. Asalnya seorang sahabat perlukan seorang pengajar Linux dan memaksa saya mengajar kerana pada sekitar tahun 2002 tiada ramai mahir Linux boleh mengajar. Bermulalah saya dengan OSS dan komunitinya.
Apa yang menarik mengenai anda yang mungkin orang lain tidak sangka?
Saya ini minta berkebun. Ya, adalah sekangkang kera kebun ditanam beberapa jenis pokok. Sebenarnya berkebun buat tempat saya hilangkan stress dan tekanan harian kerja. Ia mengajar saya kesabaran menunggu pokok membesar dan penerimaan bila ada yang ditanam mati atau perlu dipotong dan buang.
Apa lagi yang anda ingin kongsikan mengenai OSS atau MOSC?
OSS kini adalah satu yang normal dan umum dalam industri ICT dunia. Syarikat-syarikat besar dunia pasti ada pasukan khusus yang menyumbang dalam komuniti OSS dalam pelbagai bentuk terutama dalam pembangunan perisian OSS.
Kita di Malaysia perlu giat dalam meneruskan dan meningkatkan sumbangan OSS terutama dalam menonjolkan diri dalam pembangunan OSS dan juga sumbangan dokumentasi dan terjemahan dalam bahasa Malaysia.
Adalah satu menyedihkan, apabila ramai yang memperjuangkan Bahasa Malaysia sekarang, tapi hanya berkokok, mana sumbangan dalam perkara melibatkan terjemahan? Ia boleh dimulakan dengan sumbangan dalam Wikipedia dan juga terjemahan dalam perisian OSS itu sendiri.
Untuk MOSC, Malaysia Open Source Conference and Malaysia Open Source Community, kita sekarang perlu sentiasa aktif bergerak sekarang menonjolkan diri. Perkara utama sekarang adalah mengadakan aktiviti-aktiviti kecil yang semua dapat sertai pada masa lapang mereka. Dan biasanya dalam aktiviti-aktiviti inilah dapat kembangkan kepada acara-acara yang lebih besar lagi.