Berita dan Info Bisnes ICT

Sebuah projek
Sebuah projek
Sebuah projek

Faizal Ismail Lebih 13 Tahun Bantu Daftar Paten Hak Cipta Harta Intelek

2.89K 0

Rupa-rupanya sesuatu idea atau harta intelek (IP) yang hendak didaftar untuk dipatentkan hendaklah sesuatu yang rahsia dan tidak diketahui oleh sesiapa sebelum difailkan. Kemudian, apabila hendak didaftarkan segala perkara rahsia mengenai IP tersebut perlulah dibongkarkan kesemuanya semasa difailkan.

Apabila ia telah difailkan, maka ia akan disimpan kedalam sebuah database yang boleh diakses oleh sesiapa sahaja secara percuma. Mungkin itu salah satu sebab kenapa apabila Apple mengeluarkan iPhone X, tidak lama kemudian, banyak pengeluar telefon pintar mengeluarkan rekaan yang hampir sama.

Apa-apapun, Faizal Ismail, Ketua Pengarah Eksekutif Teraju IP Sdn. Bhd, mempunyai pengalaman lebih 15 tahun memeriksa dan meluluskan permohonan pendaftaran Harta Intelek. Bermula sebagai Patent Examiner di MyIPO, beliau mengambil keputusan berhenti dan mengasaskan Teraju IP apabila timbul conflict of interest.

Konflik ini wujud apabila beliau mendapati ramai yang menghadapi masalah kekangan masa untuk mendokumentasikan sesuatu harta intelek. Beliau melihat masalah tersebut sebagai satu peluang untuk memberikan perkhidmatan penulisan paten dan pendaftaran harta intelek.

“Saya pernah mengelolakan kursus penulisan paten ini semasa masih berkhidmat di MyIPO, alhamdulillah disambut baik oleh pihak universiti tempatan. Pun begitu, masih banyak yang tiada masa untuk belajar, apatah lagi untuk menulis. Kerja hakiki pun tak terbuat, bagaiman nak buat sesuatu yang mereka tak mahir. Jadi saya fikir, saya harus tumpu kepada perkara ini 100%. Saya terpaksa berhenti dari MyIPO. Tak bolehlah saya yang tulis dan saya juga yang luluskan paten itu, conflict of interest pula nanti…”

Menurut Faizal, statistik pendaftaran paten menujukan kadar kelulusan sangat rendah. Lebih kurang 15% saja yang lulus. Ketika beliau menjadi Patent Examiner, hampir 90% permohonan akan ditolak, atas pelbagai jenis kesalahan.

“Sebagai patent examiner, tugas kami lebih kepada cari kesalahan pemohon, dan reject…”

Kursus harta intelek

Tugas menolak permohonan ini bukan atas dasar suka-suka, tetapi mengikut piawaian berdasarkan kursus Regional Patent Examination Training (RPET) anjuran Australia dan New Zealand. Ia bertujuan  supaya satu keputusan pemeriksaan paten akan diteima pakai oleh semua negara Asia.

Selama dua tahun mengikuti kursus tersebut, Faizal telah belajar banyak perkara. Antaranya melibatkan keputusan meluluskan permohonan. Sesuatu keputusan yang dibuat haruslah ada alasan yang tepat dan spesifik. Harus jelas apa kesalahan yang dibuat supaya pemohon mudah perbaiki dan meningkatkan peratusan kelulusan.

“Jika tak jelas, muka surat berapa yang tak jelas itu? Baris keberapa? Jika tak memenuhi syarat novelty, dokumen apa yang menceritakan perkara yang sama, muka surat berapa, baris ke berapa…

 

…jika tidak menemui apa-apa kesalahan, luluskan sajalah. Memang sesuatu permohonan wajib diluluskan jika tidak ada alasan untuk ditolak. Setakat salah ejaan satu perkataan itu boleh dimaafkan saja, selagi mana semua boleh faham…”

Inspirasi menubuhkan Teraju IP juga adalah disebabkan oleh kadar kelulusan permohonan yang amat rendah. Katanya, masyarakat tak tahu apa yang patent examiner mahukan. Atas alasan tersebut, beliau wujudkan Teraju IP untuk mengurangkan risiko penolakan dan meningkatkan potensi lulus.

15 tahun bukan satu tempoh masa yang singkat. Pastinya Faizal telah menerima banyak permohonan yang menarik.

“…Bukan takat beratus, malah beribu. Maklumlah 13 tahun buat kerja yang sama hari-hari. Yang melekat dalam kepala saya ialah teknik memotong rambut guna gunting di kedua belah tangan. Macam Edward Scissorhand lakonan Johny Depp. Lagi satu, lampin pakai buang untuk lelaki dewasa. Lampin itu ada belalai macam gajah!”

Mendaftar ciptaan untuk patent juga terdapat pantang larangnya. Menurut Faizal, ciptaan mestilah ada masalah yang hendak diselesaikan. Ia tidak dikira sebagai ciptaan jika tak ada masalah dan penyelesaian masalah tersebut hendaklah menggunakan teknologi. Ia adalah perkara pertama yang diperiksa oleh patent examiner.

“Jika nak tahu sesuatu itu boleh patent atau tidak, pastikan ia ada masalah, ada penyelesaian, dan ada melibatkan teknologi. Tak ada buku tulis perkara ini, tapi ini sangat penting…”

Penulisan paten bukan sekadar mengenai dokumentasi produk ciptaan. Ia mesti disertakan ulasan kenapa ciptaan yang hendak didaftarkan lebih baik dengan ciptaan yang sedia ada. Kajian perlu dilakukan terhadap ciptaan lain yang memberikan penyelesaian yang sama.

“Pemohon perlu tunjukkan yang dia sudah buat kajian, yang orang lain punya penyelesaian tak bagus, ada kelemahan di sana sini. dan ciptaannya dialah yang paling bagus sekali. Ini kena jelas. Perlu masukkan contoh ciptaan orang lain yang tak bagus itu”

Patent search juga perlu dilakukan.

“Patent serach ini ada tekniknya. Jjika main hentam saja rugi masa, hasilnya pun tak memuaskan…”

Faizal berkongsi, terdapat lebih 100 juta dokumen dalam database paten yang boleh diperolehi secara percuma dengan dokumentasi penuh.

“…Tapi tak ramai yang tahu. Malah di Universiti, ada penyelidik langsung tak buat carian paten. Rugilah.”

Satu lagi pantang dalam penulisan paten yang dikongsikan oleh Faizal adalah ayat-ayat berbunyi komersil.

“Pantang larang paten ini, jangan ada ayat-ayat komersil. Contohnya berus gigi yang ada kuasa magis boleh bersihkan semua gigi dengan cemerlang dengan beberapa kali gosok saja. Jadi kena ceritakan bagaimana ia boleh jadi begitu hebat. Kena ceritakan semuanya. Apa ciri yang membezakan berus gigi itu dengan yang lain. Semuanya kena jelas dan terang. Tak boleh berahsia.”

Faizal yang pernah menerima anugerah perkhidmatan cemerlang semasa berkhidmat di MyIPO pada tahun 2011, berkongsi 3 syarat untuk daftar paten.

  1. 1- Baru didunia. Ianya meslilah rahsia sebelum ia difailkan. Tak pernah didedahkan di mana-mana. jika terdedah, pencipta itu diberi tempoh 12 bulan untuk failkan patent. Jika orang lain yang dedahkan, Maka habislah. Ciptaan itu tidak dikira baru lagi.Patent examiner mentafsirkan baru, sekiranya tidak ada mana-mana penulisan yang menceritakan tentang cipataan itu sebelum tarikh penfailannya. Tak kira dalam bahasa apa pun. Semuanya dikira.
  2. Tidak obvious. Obvious ini terbahagi kepada dua pula. Pertama dua ciptaan yang sedia ada digabungkan tanpa ada kesulitan pun. Kedua, perbezaan yang wujud tidak memberi sebarang kemajuan atau peningkatan potensi kepada hasil.Contohnya basikal yang bertayar warna merah. Adakah warna merah itu menyumbang kepada prestasi basikal itu? Jika tidak, ia dikira obvious. Apa warna pun boleh jika begitu, tak semestinya merah.
  3. Boleh diindustrikan. Maksudnya, jika diulang prosesnya, ia sentiasa memberikan hasil yang sama setiap kali.

Beliau juga menerangkan paten adalah suatu proses yang panjang dan ia boleh ambil masa bertahun-tahun. Tonton video perkongsian beliau mengenai proses pendaftaran paten di bawah.

Teraju IP mempunyai hala tuju yang jelas. Sebagai ketua pegawai eksekutif, beliau mempunyai matlamat untuk menjadikan Teraju IP pemudahcara pendaftaran harta intelek yang paling mesra pengguna.

“Kami gunakan ayat yang mudah difahami, perbincangan juga dijalankan secara terus. Kami tidak pernah outsource penulisan paten keluar negara, kami tulis dengan tangan kami sendiri…

“100% jentera Teraju IP adalah semuanya pernah bekerja di MyIPO. Kami yakin dapat berikan servis yang terbaik. (dan untuk trademark kami tawarkan 100% moneyback guarantee, kami satu-satunya yang menawarkan macam itu)…”

Dalam masa 5 tahun akan datang, beliau berpendapat pengetahuan masyarakat tentang harta intelek akan meningkat jika ada banyak kes mahkamah melibatkan perebutan harta intelek berprofil tinggi.

“Saya sebenarnya sangat bersyukur jika ada kes mahkamah. Ia akan jadi rujukan, masyarakat juga akan buka mata. Malah MyIPO sendiri akan jadikan kes mahkamah untuk baiki sistem yang sedia ada. Sebab itu saya selalu sebut, kes mahkamah sangat penting untuk mematangkan sistem paten di sesebuah negara. Trademark dan copyright juga begitu.”

Beliau juga merancang untuk menubuhkan akademi harta intelek untuk melahirkan lebih ramai agen harta intelek di Malaysia.

Sepanjang 15 tahun dalam arena harta intelek ini, beliau melihat harta intelek bukan lagi topik golongan elit. Ia adalah membawa faedah kepada seluruh masyarakat.

“Sekurang-kurangnya masyarakat dapat belajar dari teknologi yang didedahkan oleh sistem paten.”

Leave A Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.