Berita dan Info Bisnes ICT

Sebuah projek
Sebuah projek
Sebuah projek

Persediaan Kerajaan Menghadapai Revolusi Industri 4.0

4.31K 0

Belanjawan 2019 melihatkan Kerajaan mengumumkan beberapa insentif khas berkaitan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET). Langkah ini dilihat bertepatan dengan kesediaan yang ditunjukkan Kerajaan untuk mendepani Revolusi Industri 4.0.

Untuk tahun 2019, Kerajaan mengumumkan peruntukkan RM206 juta disediakan untuk membangun dan menyediakan program latihan di politeknik dan kolej komuniti. Selain itu, Kerajaan juga memperkenal Dana Wibawa TVET berjumlah RM30 juta bagi menggalakkan institusi latihan awam bersaing untuk menawarkan program latihan lebih kompetitif dan memenuhi keperluan industri.

Selain itu, Kerajaan juga menyediakan peruntukan berjumlah RM20 juta untuk Program Bootcamp TVET bagi meningkatkan tahap kecekapan golongan belia dalam bidang ini.

Selain itu, untuk meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan di pasaran kerja, khasnya bidang-bidang yang berkaitan dengan Revolusi Industri 4.0, kerajaan telah mengumumkan insentif potongan cukai dua kali kepada biasiswa yang diberi oleh syarikat kepada pelajar dalam bidang teknikal dan vokasional di pelbagai peringkat pendidikan termasuk diploma dan ijazah.

Potongan cukai juga akan diberikan ke atas perbelanjaan pembangunan kursus baharu dalam bidang kejuruteraan dan teknologi oleh institusi pendidikan tinggi. Namun begitu, setiap bidang baharu ini perlu mendapatkan pengesahan daripada Kementerian Pendidikan.

Potongan dua kali juga akan dilaksanakan ke atas perbelanjaan yang dilakukan syarikat bagi membangun dan meningkatkan kemahiran pekerja dalam TVET. Malah potongan cukai juga akan diberikan kepada sumbangan peralatan dan mesin oleh mana-mana syarikat kepada Pusat Pembangunan Kemahiran, Politeknik atau Kolej Vokasional.

Kredit: Aberdeen

Itu kisahnya dalam Belanjawan 2019, namun apakah pada hakikatnya yang berlaku dalam bidang TVET di Malaysia? Adakah Malaysia benar-benar bersedia untuk Revolusi Industri 4.0 dengan memiliki kelompok pekerja mahir berkualiti tinggi? Setiausaha Agung Gerakan TVET Nasional (GTN), Nordin Abdul Malek menganggap proses transformasi bidang TVET di Malaysia sentiasa ada naik dan turun, malah ia juga tidak sunyi daripada dilanda krisis dan masalah.

Nordin melihat masalah tidak cukup dana sentiasa menghantui perkembangan TVET di Malaysia, walaupun Kerajaan telah memperkenalkan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

Masalah ini menyebabkan banyak pusat latihan TVET tidak dapat bertahan lama kerana tidak mampu menampung kos operasi. Malah beliau juga berpandangan wujud kecelaruan dalam pelaksanaan program TVET di Malaysia kerana terlalu banyak agensi yang terlibat dan tidak dapat dijernihkan fungsi yang boleh dimainkan oleh setiap agensi berkenaan.

Nordin turut menggariskan beberapa isu utama yang menjadikan pelaksanaan program TVET di Malaysia dianggap berada dalam keadaan tidak menentu.

“Pertamanya kerana terdapat begitu banyak Kementerian yang terlibat dalam pelaksanaan TVET. Hal ini menimbulkan pelbagai masalah termasuk penyelarasan dan isu kewangan,” kata beliau.

Nordin juga menyebut bahawa di negara-negara maju TVET hanya diuruskan oleh satu Kementerian sahaja dan ini dapat memastikan pengurusan program mampu dilaksanakan dengan lebih cekap dan teratur.

Beliau juga berpandangan Malaysia sering kehilangan fokus dalam TVET kerana terlalu banyak bidang yang mahu diberikan perhatian dan ini menyebabkan negara hilang fokus. Nordin juga menyimpulkan bahawa tiadanya penyelarasan yang baik antara pusat TVET swasta dan yang dimiliki Kerajaan membuatkan TVET di Malaysia tidak berkembang dengan baik.

“Sewajarnya wujud satu usaha untuk menyeragamkan program-program yang dilaksanakan di pusat TVET ini. Ada yang boleh diserahkan kepada swasta dan ada yang boleh dijalankan di pihak Kerajaan,” kata beliau.


Kredit: The Star

Nordin melihat hal berkaitan masalah pembangunan TVET di Malaysia ini boleh diselesaikan, namun terdapat keperluan mendesak untuk semua pihak yang terlibat sentiasa jujur dalam mengemukakan masalah dan bersedia mendengar pandangan masing-masing demi kepentingan negara.

Walaupun dana yang diterima kecil, namun bagi Nordin ia bukanlah alasan untuk kita gagal memberikan kualiti dan akses latihan TVET yang terbaik. Sewajarnya pendekatan penyelesaian kreatif wajar diambil untuk melihat isu TVET dalam persekitaran kewangan Kerajaan yang kurang sihat pada ketika ini.

Di samping itu, tanpa berkompromi dengan kualiti dan standard, penyesuaian boleh dibuat terhadap sistem pentauliahan, agar ia menepati kedudukan kewangan negara pada ketika ini. Keterbukaan dalam menggunakan pusat-pusat latihan Kerajaan dan swasta merupakan antara kaedah baik yang boleh digunakan untuk memastikan program TVET di Malaysia dapat berjalan baik.

Bercakap mengenai kesediaan Malaysia terhadap keperluan Revolusi Industri 4.0 pula, Nordin melihat Malaysia memiliki kesedaran, namun belum wujud kesungguhan jitu untuk menyediakan kemudahan dan keperluan yang wajar ada untuk mendepani era berkenaan.

Selain itu, Kerajaan juga harus mempunyai kesungguhan politik untuk membaiki segala kepincangan yang wujud dalam perancangan TVET negara. Perkara terpenting ialah meletakkan TVET di bawah seliaan satu Kementerian dan melaksanakan mana-mana penyesuaian dan penyeragaman bagi memastikan pelaksanaan program kemahiran ini memberikan impak besar.

Malaysia mempunyai potensi besar untuk maju dan menjadi antara pemangkin utama TVET di rantau Asia Tenggara. Namun sebelum bergerak ke arah lebih jauh, Malaysia wajar melihat hal-hal utama berkaitan pengurusan dan pentadbiran TVET itu sendiri. Ini kerana melalui kecekapan pentadbiran dan pengurusan, kita akan memiliki sistem TVET yang terbaik.

 

Sumber Asal

Leave A Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.