Berita dan Info Bisnes ICT

Sebuah projek
Sebuah projek
Sebuah projek

Cukai Digital Tahun Depan

1.87K 0

Malaysia secara rasmi­nya merupakan negara kedua di Asia Tenggara mahu memperkenalkan cukai digital yang akan dikenakan kepada pengguna e-dagang. Ia dijangka bakal dilaksanakan mulai 1 Januari 2020 bertujuan untuk mewujudkan persaingan yang adil dalam sektor digital.

Pengumuman mengenai cukai digital di Malaysia juga dijangka menjadi model peranan bagi negara jiran dan seterusnya memperkenalkan skim cukai untuk ekonomi digitalnya.

Pengumuman Cukai digital.

Pengumuman Belanjawan 2019 termasuk pengenalan skim cukai khusus untuk produk dan perkhidmatan dalam talian yang diimport dari luar negara dikehendaki mendaftar dengan Jabatan Kastam mulai 1 Januari 2020. Ini termasuk perisian, muzik, vi­deo atau sebarang pengiklanan digital yang diberikan kepada rakyat Malaysia.

Ini bermakna penyedia perkhidmatan dalam talian yang memenuhi kriteria ter­tentu perlu mendaftar dengan Jabatan Kastam untuk mereka terus menawarkan perkhidmatan kepada pengguna di 
Malaysia.

Sama seperti Singapura, aplikasi video dan muzik seperti Netflix atau Spotify, yuran penyenaraian untuk kedai aplikasi Google Play Store, perisian daripada dan yuran langganan dalam talian mungkin bakal dikenakan cukai.

Sekiranya produk perisian dikenakan cukai, ini bermakna bahawa produk seperti set produktiviti Microsoft Office dan permainan yang dijual oleh Steam akan dikenakan cukai.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng juga mengesahkan bahawa cukai ini dikenakan kepada syarikat yang berasal dari luar negara. Oleh itu, perniagaan tempatan tidak perlu bimbang tentang cukai digital dan tidak akan dikenakan cukai beberapa kali.

Mengapa memperkenalkan cukai digital?

Menurut Guan Eng, cukai tersebut bertujuan bagi mewujudkan landskap perniagaan yang adil dan saksama antara perniagaan antarabangsa dan tempatan dalam sektor digital.

Perniagaan digital global seperti Amazon dan Steam sering mengelak daripada membayar cukai di Malaysia, atas alasan bahawa syarikat mereka tidak hadir secara fizikal di negara ini.

Oleh itu, firma-firma digital antarabangsa mengisytiharkan keuntungan mereka hanya di negara yang mana mempunyai ibu pejabat mereka, menyebabkan negara-negara seperti Malaysia kehilangan hasil cukai.

Ini juga menyebabkan persekitaran perniagaan yang tidak adil kerana peniaga antarabangsa mampu memberikan harga yang lebih kompetitif ke atas produk dan perkhidmatan tertentu berbanding peniaga tempatan yang perlu membayar cukai tempatan seperti cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan lain-lain.

Isu ini diiktiraf di peringkat global juga seperti Kesatuan Eropah (EU). Pada masa ini, menteri-menteri kewangan berhasrat untuk mendapatkan kelulusan dari semua negara EU bagi mempersetujui rancangan cukai digital menjelang akhir 2018.

Pengumuman cukai digital di Malaysia juga bertujuan untuk meningkatkan asas pendapatan kerajaan dan membantu mengurangkan hutang kerajaan seba­nyak RM1 trilion.

Selepas kerajaan Malaysia yang baru dipilih, Guan Eng membuat pengumuman mengejut, dengan menyatakan bahawa hutang negara adalah lebih tinggi berban­ding dengan yang telah diumumkan oleh pentadbiran terdahulu.

Sejak itu, kerajaan telah mengoptimumkan segala usaha untuk mengukuhkan dan memperluaskan asas pendapatan kerajaan.

Dengan pelbagai syarikat penyelidikan dan pakar yang meramalkan kadar pertumbuhan tinggi dalam sektor digital, ia tidak mungkin kerajaan akan mengabaikan cukai digital kerana ia memberikan peluang yang baik kepada kerajaan untuk memperbaiki keadaan hutang negara.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Malaysia sebelum ini menyatakan bahawa cukai daripada ekonomi digital dengan mudah boleh me­ngumpul beberapa bilion ringgit.

Potensi pertumbuhan e-dagang adalah jelas kerana Malaysia baru-baru ini telah meraih seba­nyak RM390 juta dalam jumlah dagangan kasar (GMV) bagi tempoh lima hari MyCyberSale 2018.

Ekonomi digital di Malaysia juga mendapat sambutan baik daripada jualan tahunan 11.11 (atau Singles’ Day), dan acara jualan yang akan datang seperti jualan 12.12 dan jualan akhir tahun.

Salah satu ramalan besar daripada Google dan Temasek yang mana e-dagang Malaysia dijang­ka menjadi pasaran bernilai RM34 bilion pada 2025, yang menunjukkan potensi besar untuk hasil cukai bagi kerajaan dalam masa akan datang.

Tanpa penjelasan mengenai bagaimana e-dagang akan dikenakan cukai, kita hanya boleh menjangkakan kemungkinan kesan negatif dan positif buat masa sekarang. Tetapi kita boleh merasa optimis mengenai masa depannya kerana kerajaan bekerjasama rapat dengan sektor swasta bagi membantu pertumbuhan industri digital.

Sumber: Utusan

Leave A Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.