Berita dan Info Bisnes ICT

Sebuah projek
Sebuah projek
Sebuah projek

Memahami Blockchain: Aplikasi dalam Perniagaan dan Kewangan

2.02K 2

Apakah itu blockchain? Secara literalnya, blockchain bermaksud rantaian blok dalam Bahasa Melayu. Blockchain (rantai blok) ialah satu cara menyimpan maklumat yang terpencar (decentralized) menggunakan lejar elektronik yang selamat dari ubahan yang tidak sah (data tampering). Ia juga merupakan sistem yang disalin serta diagih ke berjuta-juta komputer dan server yang juga dikenali sebagai nod-nod. Blockchain merupakan teknologi yang menjadi tulang belakang kepada bitcoin, sejenis mata wang kripto yang harganya mencanak naik baru-baru ini.

Kepencaran (decentralization) merupakan suatu proses dimana sebuah sistem perjanjian dan verifikasi tidak memerlukan hanya satu atau beberapa set entiti untuk mendapatkan pengesahan mengenai sebuah perjanjian atau transaksi. Untuk lebih menjelaskan konsep ini, mari kita mengambil contoh sistem kewangan kita hari ini.

Dalam sistem matawang, sesuatu nota RM10 hanya mempunyai nilai RM10 kerana bank mengakui dan mengesahkan kenyataan atau perjanjian yang menyatakan nota tersebut mempunyai nilai RM10. Maka, disebabkan itu, duit palsu tidak mempunyai nilai dari sisi undang-undang dan tidak boleh digunakan. Apabila seorang penjual dengan seorang pembeli membuat satu transaksi, pemindahan harta atau asset daripada seorang ahli dalam sistem kewangan tersebut diiktiraf oleh bank, dengan pemindahan nilai yang disimbolisasikan oleh nota-nota kewangan (atau apa-apa mekanisma kewangan yang lain). Tanpa bank, pemindahan nota-nota tersebut tidak membawa makna atau nilai.

Di dalam sistem rantai blok, entiti bernama bank tidak wujud. Semua transaksi disahkan oleh algoritma matematik yang membentuk sistem rantai blok itu sendiri. Tambahan pula, setiap kali sebuah transaksi berlaku, informasi mengenai transaksi tersebut diagihkan kesemua nod didalam rangkaian sistem yang membentuk rantai blok tersebut. Rantai blok juga mempunyai mekanisma enkripsi maklumat (encryption) yang canggih. Kedua-dua ciri ini menyebabkan rantai blok menjadi sistem yang sangat kebal serta ampuh-silap (fault-tolerant).

Rantai blok mempunyai kebolehan yang pelbagai yang menyebabkan ia digunakan dalam transaksi bitcoin. Setiap kali sebuah transaksi yang melibatkan bitcoin berlaku, maklumat pihak yang terlibat dan jumlah bitcoin yang dipindahkan dienkripsikan (encrypted) dan disimpan dalam rantaian transaksi-transaksi lain yang telah berlaku sebelum itu. Rantai blok (blockchain) mendapat namanya kerana semua transaksi ini disimpan dalam bentuk rantai, dimana setiap rantai menghubungkan blok (transaksi) dengan blok yang lain.

Rantai-rantai ini juga bersifat kekal dan tidak boleh diubah dari segi susunannya (immutable). Hanya dengan merujuk kepada sesuatu rantai blok, seorang pemilik akaun bitcoin boleh menyemak jumlah assetnya dalam nilaian bitcoin. Jika terdapat seorang penggodam atau pencuri yang cuba untuk mengubah maklumat yang terdapat dalam mana-mana maklumat transaksi yang wujud dalam rantai blok tersebut, penggodam atau pencuri ini akan terpaksa mengubah kesemua transaksi yang telah berlaku sebelum transaksi itu, kerana jika dia hanya mengubah satu transaksi sahaja, kiraan jumlah dan semak timbang akaun sistem rantai blok akan rosak dan menjadi tidak masuk akal, dan ini boleh disemak oleh sesiapa sahaja.

Untuk menambah lagi kemustahilan pengubahan data seperti ini, penjahat tersebut juga perlu mengubah informasi di dalam semua nod yang mempunyai salinan sistem rantai blok berkenaan. Jumlah nod ini sangatlah banyak, dan kadang-kadang boleh mencapai berjuta-juta server dan komputer. Proses enkripsi (encryption) pula mempertahankan data itu daripada boleh dibaca dan diubah dengan mudah. Secara praktikalnya, adalah mustahil untuk maklumat di dalam rantai blok itu diubah, dan kekebalan ini tercipta dengan kecerdikan pencipta rantai blok yang asal menggunakan matematik dan kriptografi yang kompleks.

Mengapa Rantai Blok Boleh Mengubah Lanskap Pedagangan Dunia?

Di dalam dunia bisnes, pemasaran, dan kewangan secara umum, suatu nilai yang kita sering hiraukan ialah nilai kepercayaan. Kesemua transaksi, rekod, jualan, serta belian hanya dikira sah kerana terdapatnya elemen kepercayaan antara semua pihak yang terlibat dalam sesuatu aktiviti.

Mengambil contoh bank tadi, seorang penyimpan A mempercayai bahawa bank G sedang bantu ‘menyimpan’ RM 10000 di dalam akaun A. Jika disemak atas talian, akan tertera jumlah RM10000 tersebut. A mempercayai bahawa bank G mampu memberikannya nota wang yang berjumlah RM10000 pada bila-bila masa. Kerajaan H yang sedang mentadbir negara yang didiami A memastikan bahawa setiap perusahaan, perniagaan dan kedai akan menerima wang nota A yang dikeluarkan tadi untuk ditukarkan dengan barang-barang atau perkhidmatan yang A ingini.

Di dalam sistem seperti ini, korupsi maklumat adalah sangat mungkin. Katakanlah bank G digodam atau mengalami kesilapan atau kerosakan. Insiden ini menyebabkan jumlah yang direkodkan dalam sistem bank G mengenai akaun penyimpan A diubah kepada RM 100. Jika ini berlaku, G tidak akan mampu memberi kenyataan atau jaminan yang A masih mempunyai asset berjumlah RM10000.

Hal ini kerana, satu-satunya institusi yang bertanggungjawab menjamin nilai harta A telah digodam dan diubah datanya secara tidak sah. Dalam dunia kewangan kini, pelbagai langkah berhati-hati telah diambil seperti menyimpan rekod-rekod sensitif kewangan itu dalam bentuk fizikal dalam peti-peti kebal, membuat salinan sandaran berkala (backups) dan sebagainya.

Namun, bagaimana jika institusi-institusi ini sendiri yang ‘mengubah’ maklumat-maklumat serta rekod-rekod ini mengikut selera hati mereka? Undang-undang memperuntukkan mekanisme supaya ini tidak berlaku, namun, undang-undang juga digubal oleh kerajaan yang memerintah negara atau domain sistem tersebut. Pokoknya, masih terdapat satu punca dan asas sumber autoriti yang berkebarangkalian menjadi korup dan menkhianati kepercayaan yang telah diberikan kepada mereka, lantas menyebabkan mereka berlaku tidak jujur dalam menyimpan maklumat-maklumat sensitif ini.

Di dalam sistem rantai blok, tiada siapa perlukan bank, kerajaan ataupun agensi-agensi audit. Semua perkiraan dan urutan transaksi dipelihara oleh kecerdikan matematik yang dibantu kriptografi. Sistem ini diregulasikan dan boleh disemak oleh orang awam sendiri. Mereka hanya perlukan algoritma dan kaedah untuk mentafsir rantai blok tersebut.

Di samping itu, masa untuk memproses satu transaksi di dalam rantai blok adalah jauh lebih cepat daripada sistem kewangan sekarang. Jika hendak dibandingkan dengan sistem kewangan sekarang, ada transaksi yang boleh mengambil masa berminggu-minggu untuk didaftarkan dalam sistem. Kos untuk membina sistem rantai blok ini pula hanyalah kuasa pemprosesan komputer.

Dalam dunia serba canggih hari ini, kuasa pemprosesan ini boleh diperolehi dengan mudah. Kerana sifat rantai blok yang teragih ke berjuta-juta nod lain, jika salah satu nod gagal berfungsi atau rosak, maklumat di dalam nod lain masih boleh digunakan.

Contoh-Contoh Aplikasi Rantai Blok Dalam Pelbagai Bidang.

Sistem Bayaran Pintar (Smart Payment)

Anda pernah mengalami ‘double charge’ (pengecasan dua kali) ketika berbelanja melalui kredit kad? Kaedah rantai blok mampu menyelesaikan masalah anda. Di barat, sebuah syarikat sedang menguji suatu sistem pembayaran pintar yang menggunakan identiti pintar yang ditawarkan sistem rantai blok.Seperti bitcoin juga, setiap pemilik akaun mempunyai identiti yang unik dan tidak boleh dirosakkan. Mereka sedang menguji pembayaran menggunakan kad yang hanya perlu menggunakan lambaian (wave) ataupun tanpa sentuh (contactless). Pembayaran ini berbeza dengan kredit kad konvensional.

Dalam sistem kad kredit konvensional, apabila anda mencucuk kad anda ke dalam peranti pembaca kad kredit, data anda dihantar dan dilambung-lambung dalam kalangan banyak entiti seperti bank, penyedia perkhidmatan kad kredit, sistem pintu masuk bayaran (payment gateway) dan sebagainya. Jika transaksi di mana-mana peringkat dalam sistem ini gagal, ia mungkin menjadi penyebab casan dua kali tadi. Dengan rantai blok, semua maklumat disatukan dalam satu ‘rantai’ dan proses penyimpanan berlaku hanya dalam satu perkiraan. Ia menyebabkan setiap pembelian mejadi lebih cepat, selamat dan meyakinkan.

Sistem Penjejakan dalam Pengurusan Rantaian Bekalan (Supply Chain Management)

Beberapa syarikat sedang menjalankan eksperimen menggunakan rantai blok untuk menjejak sumber sumber setiap barangan mentah dalam rantaian bekalan global. Sistem ini membolehkan syarikat-syarikat ini mengesan jika sesuatu bahan mentah itu diperoleh secara haram atau tidak mengikut piawaian yang ditetapkan.

Sebagai contoh, jika barang mentah itu ialah ikan, syarikat-syarikat ini mampu mengesan jika ikan-ikan tersebut ditangkap oleh pihak-pihak yang sepatutnya atau tidak. Mereka juga mampu menyemak jika terdapat penyalahgunaan kemudahan-kemudahan yang disediakan kepada nelayan yang ditugaskan untuk menangkap ikan-ikan tersebut. Semua ini dilakukan dengan menggunakan sistem elektronik dan mudah alih yang pintar.

Pengundian Atas Talian

Sistem rantai blok bukan hanya ekslusif untuk transaksi kewangan. Ia boleh digunakan untuk menyimpan apa saja jenis maklumat. Antara masalah terbesar dalam sistem pengundian atas talian ialah kepercayaan terhadap entiti yang menguruskan urusan dan sistem pengundian tersebut. Terlalu banyak lompongan dalam sistem atas talian yang boleh menyebabkan data pengundian diubah atau dirosakkan. Melalui penggunaan rantai blok, semua ini mampu disimpan dengan selamat tanpa campur tangan pihak tidak bertanggungjawab.

Selain itu, penggunaan rantai blok juga menghapuskan keperluan entiti autoriti yang sepatutnya menjadi penguatkuasa atau penjaga data-data pengundian. Lebih sedikit titik kebergantungan pada manusia, lebih boleh dipercayai sistem tersebut.

Sistem Pengagihan Royalti Automatik Dalam Dunia Seni

Dalam bidang seni muzik, terdapat pelbagai pihak yang terlibat dalam proses pembikinan walau hanya sebuah lagu. Sistem rantai blok sedang digunakan untuk menjejak semua pihak yang terlibat dalam rantaian ini, dan secara automatik, keuntungan yang diperoleh oleh setiap klik atau belian sesuatu lagu boleh diagihkan kepada mereka dengan cepat, pantas, dan meyakinkan. Jika idea ini dikembangkan kepada industri lain yang juga menghasilkan produk berbentuk abstrak seperti seni lukisan dan sebagainya, ia mampu menggegarkan pasaran industri tersebut.

Kesimpulannya, rantai blok merupakan suatu teknologi yang akan mengubah banyak sistem konvensional menjadi lebih selamat, bersih dan telus. Jika dahulu internet menjadi sensasi kerana ia membolehkan maklumat tersebar bebas dan luas, rantai blok mungkin akan menjadi pengubah dunia dalam memelihara data-data sensitif dan mengembalikan kepercayaan pengguna kepada sistem-sistem yang kian dihantui korupsi pada zaman ini. Anda punya idea aplikasi yang mampu menggunakan kuasa rantai blok? Kongsikan bersama kami!

Sumber: Computerworlduk.com/

Sumber Gambar magazine.Seats2meet.com

print

2 Comments

Leave A Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.