Berita dan Info Bisnes ICT

Sebuah projek
Sebuah projek
Sebuah projek

Kereta Terbang Vs Air Mobility

2.16K 0

Baru-baru ini kecoh berkenaan isu model kereta terbang di Malaysia yang telah dipamerkan di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (Lima ’19). Dikenali sebagai Vector, kenderaan terbabit melakukan penampilan pertama di Pusat Pameran Antarabangsa (MIEC) dan ia adalah hasil rekaan daripada Aerodyne Group.

Vector bukan sebuah ‘kereta terbang’ sebaliknya ia adalah platform mobiliti udara lokasi ke lokasi yang direka untuk menyelesaikan masalah masa depan. Lebih tepat lagi, Vector direka untuk menjadi sistem pengangkutan udara dari satu destinasi ke destinasi lain.

Konsep Vector ini sebenarnya digunakan untuk membawa penumpang, penghantaran kargo dan juga tujuan pengawasan. Dengan perjalanan melalui udara, masa perjalanan dapat dipendekkan sebanyak 75%.

Namun begitu, Vector ini tidak direka bagi perjalanan jarak jauh dan tidak akan ditawarkan untuk pemilikan persendirian pada peringkat awal. Ia hanya akan ditawarkan model perkhidmatan serta diuruskan oleh entiti professional komersil demi keselamatan serta dapat menawarkan liputan yang menyeluruh.

Projek mobiliti udara ini bukanlah sesuatu benda yang baru sebaliknya ia telah dibangunkan oleh beberapa syarikat terkenal dunia seperti Airbus, Uber, Lillium, Rolls-Royce, Skydrive, A.L.I dan Volo sejak dua tahun lalu.

Pihak Aerodyne Group menyasarkan penawaran perkhidmatan ini kepada kawasan luar bandar terlebih dahulu sebelum ditawarkan di kawasan bandar menjelang pertengahan 2025.

Kajian daripada NASA dan McKinsey telah menunjukkan saiz pasaran bagi sistem mobiliti udara ini adalah bernilai USD500 bilion atau bersamaan RM2.03 trilion.

Forum Ekonomi Dunia serta agensi antarabangsa juga telah menjangkakan platform mobiliti udara ini akan menjadi salah satu pengangkutan utama menjelang 2030 dan era baru mobiliti pula akan tiba pada 2050 nanti.

Siapakah Aerodyne Group yang membangunkan rekaan Vector ini?

Aerodyne Group adalah syarikat penyedia perkhidmatan yang diasaskan oleh rakyat Malaysia dan telah beroperasi sejak empat tahun lalu. Setakat ini, Aerodyne Group mempunyai 260 kakitangan di seluruh dunia dan beroperasi di 24 buah negara seperti Jepun, Amerika Syarikat, Australia dan United Kingdom.

Dalam satu ‘ranking’ yang dikeluarkan oleh Drone Industry Insights, Aerodyne Group berada di kedudukan pertama di Asia dan ke-7 dunia dalam kategori penyedia perkhidmatan dron.

Model Vector yang dipamerkan dalam pameran tersebut sebenarnya adalah konsep model berskala 1:10 sahaja dan bukanlah prototaip. Setakat ini, prototaip sebenar dijangka akan disiapkan pada akhir tahun 2019.

Menurut Pengarah Kanan Perundingan dan Pembangunan Perniagaan Aerodyne Group, Imtyaz Mohd Azzat, Vector direka bagi menampung berat sehingga 200 kilogram dan mampu terbang pada ketinggian 50 meter dari permukaan darat dengan kelajuan sehingga 60 kilometer sejam.

Untuk pengetahuan umum, projek Vector ini adalah dibiayai atas inisiatif sektor swasta sepenuhnya tanpa ada sebarang pelaburan daripada pihak kerajaan atau pun dana awam yang digunakan bagi reka bentuk kejuruteraan dan pembangunan prototaip.

Manakala bagi pembangunan akhir nanti, pembuatan dan pelaksanaan Vector bakal dijalankan oleh kumpulan usaha sama yang akan diumumkan pada masa hadapan.

Projek pembangunan Vector oleh Aerodyne Group ini bukanlah ‘kereta terbang’ seperti yang dihebahkan. Ia adalah sitem mobiliti udara yang dibangunkan oleh banyak syarikat terkemuka dunia dan usaha Aerodyne

Group ini adalah pada masa yang tepat bagi meletakkan Malaysia sebagai perintis dalam memacu perubahan mod pengangkutan masa hadapan. Bukan itu sahaja, ia juga adalah peluang besar dalam perniagaan buat Aeerodyne Group berdasarkan nilai pasaran industri berjumlah RM2.03 trilion.

Sumber: Kapital

Leave A Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.