Berita dan Info Bisnes ICT

Sebuah projek
Sebuah projek
Sebuah projek

Kereta Tak Digunakan, Wahi Abd. Rashid Atasi Masalah Dengan GoCareta

,
7.9K 0

Pernah dengar Green Matrix? Bukan filem The Matrix yang dibintangi oleh Keanu Reaves, Lawrance Fishburn dan Carrie-Anne Moss. Tapi sebuah syarikat kereta sewa yang mempunyai cawangan di seluruh negara, di usahakan oleh pasangan suami-isteri, Wahi Abd. Rashid dan Nurshirley Kamilia Abdullah.

Saya sempat bertemu dengan kedua pasangan ini semasa menghadiri seminar yang dianjurkan oleh Wahi Abd. Rashid beberapa tahun yang lepas. Orangnya bersemangat dan teruja apabila bercakap mengenai keusahawanan. Perkongsian beliau mengenai perniagaan kereta sewa amat menarik dan jika anda ingin berguru dalam bidang perniagaan kereta sewa, beliau orang yang anda cari. Anda boleh follow beliau di Facebook.

Kejayaan syarikat Green Matrix membolehkan beliau membangunkan syarikat kedua GoCareta Sdn. Bhd, yang diterajui isteri beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.

Sebelum anda membaca temuramah ini, tonton video dibawah untuk faham apa GoCareta sebenarnya.

Sebelum anda membangunkan GoCareta, apa perniagaan yang diceburi? Boleh anda senaraikan perniagaan yang telah dijalankan beserta sedikit penerangan?

Kami adalah bekas penjawat awam di sebuah universiti di Sarawak yang telah memilih untuk meletak jawatan pada tahun 2011. Kami telah menjalankan bisnes kereta sewa sejak 2006 secara kecil-kecilan tanpa ilmu, 2008 baru beroperasi menggunakan enterprise dan terus komited untuk menubuhkan syarikat sendirian berhad dengan menggunakan nama GREEN MATRIX pada tahun 2011.

Boleh terangkan serba sedikit mengenai GoCareta dan posisi anda dalam perniagaan tersebut?

GoCareta merupakan satu sistem dan platform yang dibangunkan oleh syarikat kami dalam usaha mengetengahkan “sharing economy” dan membolehkan pemilik kereta berkongsi penggunaan kereta milik mereka dengan ahli berdaftar GoCareta. Usaha ini juga adalah untuk memanfaatkan lebihan kereta sedia ada secara maksima selain mengurangkan kos untuk menggajikan staff buat pengusaha kereta sewa kecil-kecilan.

Sistem ini juga dikenali sebagai carsharing dan sudah berkembang di banyak negara maju. Kami mensasarkan untuk memasang 30,000 unit kereta dengan sistem GoCareta. GoCareta kini diterajui oleh Puan Nurshirley Kamilia Abdullah sebagai CEO di mana saya merupakan salah seorang Co Founder syarikat ini.

Apa inspirasi menubuhkan GoCareta, bagaimana ia bermula?

Setiap tahun, trend perilaku penyewa telah berubah dengan perkembangan teknologi. Mereka inginkan perkhidmatan kereta sewa yang dapat dicapai dalam masa yang lebih pantas. Dari perspektif pemilik kereta sewa pula, mereka menghadapi masalah kerana ia memerlukan sumber manusia yang ramai untuk tugas penghantaran. Kami juga selalu diajukan persoalan dari individu seperti “Saya mempunyai kereta yang tidak digunakan, bagaimana saya ingin menyewakan kereta tersebut?”

Ramai ingin menambah pendapatan, jadi kami dalam usaha membantu lebih ramai untuk menggunakan sumber sedia ada yang dimiliki seperti kereta sebagai “Money Making Machine”. Perkara paling kritikal yang kami jadikan asas adalah ramai rakyat Malaysia diisytiharkan bankrap kerana hutang kenderaan. Justeru GoCareta diwujudkan untuk menyelesaikan masalah pengguna yang mahu perkhidmatan kereta sewa yang lebih pantas, menyelesaikan masalah pengusaha kereta sewa yang mahu mengurangkan kos tenaga manusia dan pemilik kereta boleh mengurangkan beban pemilikan kereta.

Bagaimana anda memperolehi dana untuk memulakan penubuhan ini?

Awal penubuhan, dana adalah secara “in house” yang disuntik oleh pemegang saham. Walau bagaimanapun, untuk lebih “scalable” dengan lebih pantas, kami berusaha untuk mencari geran dan funding daripada kerajaan dan para pelabur yang berminat dari dalam dan luar negara.

Apa teknologi yang digunakan. Bagaimana ia dibangunkan dari idea hingga produk akhir?

GoCareta mengaplikasikan teknologi mobileapp Android dan iOS. Ia dibangunkan menggunakan teknologi Hybrid. Disamping itu, kami juga mengaplikasikan sistem SMS bagi meningkatkan lagi ciri-ciri keselamatan sistem kami. Sistem dan platform ini turut membangunkan sistem referral kepada pelanggan setia dan ahli GoCareta.

Bagaimana pula operasi belakang tadbir? Berapa ramai kakitangan untuk menguruskan GoCareta?

Fasa awal pembangunan sistem GoCareta ini, syarikat hanya ada 5 orang penting yang menerajui pengurusan dan pembangunan sistem. Walau bagaimanapun, GoCareta ini akan dipacu dan dibantu oleh network Rakan Niaga Green Matrix seluruh Malaysia. Mereka adalah sistem sokongan utama GoCareta.

Apa kelebihan GoCareta jika dibandingkan dengan pesaing yang ada?

GoCareta boleh beroperasi secara automatik 24 jam tanpa tenaga kerja yang ramai kerana konsep ini lebih kepada Kereta Sewa Layan Diri. Pengguna lebih pantas mendapatkan kereta sewa yang terdekat dengan lokasi mereka di mana saja mereka berada.

Bagaimana anda validate pasaran untuk khidmat tersebut dan proses yang terlibat?

Konsep carsharing ini mula popular sejak tahun 2010 di beberapa negara maju. Di Malaysia ada beberapa syarikat sudah memulakan konsep carsharing. Walau bagaimanapun bisnes model GoCareta berbeza daripada syarikat lain di mana GoCareta lebih kepada sharing economy yang membolehkan pemilik kereta menjana pendapatan melalui platform GoCareta.

Berapa banyak download/tempahan GoCareta sudah terima setakat ini?

GoCareta masih dalam proses penambahbaikan dari segi sistem aplikasi atas talian dan juga teknikal serta proses dari awal pendaftaran sebagai ahli sehingga pemulangan kereta. Buat masa ini, kami belum secara agresif untuk mempromosikan penggunaan apps GoCareta kepada orang ramai.

Apa proses yang perlu dilakukan jika saya berminat untuk menggunakan khidmat GoCareta?
Bagi mereka yang berminat dengan GoCareta boleh menghantar email kepada [email protected].
Bagaimana perkembangan dan kedudukan GoCareta sekarang?

Apa cabaran terbesar pernah anda hadapi sepanjang membangunkan GoCareta tersebut?
Cabaran utama adalah dalam fasa pemasaran dan pembangunan aplikasi mobile kerana kami perlu mengambil kira pelbagai aspek keselamatan pengguna, kereta dan menjamin khidmat terbaik diberikan kepada pelanggan.

Sepanjang operasi atau pembangunan GoCareta, siapa telah anda berjumpa?

Sistem GoCareta baru sahaja disiapkan, setakat ini kami telah membentangkan idea ini kepada seorang pengurus dana di Bangkok, Alhamdulillah beliau memberi maklum balas positif mengenai projek ini dan berpotensi untuk mendapatkan suntikan modal melalui Venture Capital. Walau bagaimanapun kami perlu menyiapkan kertas kerja yang lengkap supaya mereka dapat menilai projek ini.

Apabila rakan-rakan / keluarga anda mengetahui bahawa anda menjalankan perniagaan tersebut, apa yang mereka katakan atau bertanya?

Alhamdulillah, rakan-rakan dan keluarga sentiasa positif dan memberi sokongan padu kepada saya. Pada mulanya ada juga ahli keluarga yang agak skeptikal dengan perniagaan ini. Walau bagaimanapun setelah melihat perubahan kepada diri saya dan keluarga, mereka semakin yakin dengan bidang yang saya pilih.

Apa yang akan anda memberitahu orang yang berminat untuk menyertai GoCareta?

GoCareta merupakan konsep perniagaan kereta sewa yang baru diperkenalkan. Kami mengalu-alukan orang ramai menggunakan sistem ini. Maklum balas pengguna amat kami perlukan untuk menambah baik sistem supaya ia dapat memberi manfaat kepada pengguna dan juga pemilik kereta.

Ke mana arah tuju GoCareta dan apa yang anda rasa akan berubah tentang perkhidmatan kereta sewa dalam tempoh masa lima tahun akan datang?

Kami mensasarkan dalam tempoh 5 tahun GoCareta mempunyai lebih 30,000 kereta yang tersenarai di dalam sistem secara aktif. Pengguna boleh mendapatkan kereta di mana sahaja mereka berada terutamanya di Malaysia. Seterusnya kami juga merancang untuk mengembangkan sistem GoCareta di negara asis.

Apa lagi projek dalam perancangan?

Buat masa ini kami mahu fokus kepada GoCareta dan meneruskan perniagaan sedia ada di bawah jenama Green Matrix.

Sebagai pioneer apa trend yang yang anda lihat?

Trend pada masa hadapan adalah lebih kepada teknologi tinggi dan “digitalization”. Kereta ke arah “autonomous” dan staff diganti dengan A.I “Artificial Intelligent” jika boleh. Pengguna pula inginkan semua perkara mudah dan pantas. Selain itu, pengguna semakin bijak, bila berbelanja mereka juga boleh menambah pendapatan atau mendapat faedah tambahan apabila berbelanja.

Jika anda tidak menguruskan GoCareta, apa yang akan anda lakukan atau bagaimana kehidupan anda?

Saya tetap komited meneruskan memimpin dan membawa brand Green Matrix kepada satu tahap yang lebih jauh secara global dan terus berusaha menghasilkan pemimpin entreprenur dan intraprenur dalam organisasi syarikat kami untuk membantu syarikat berkembang secara mampan dan eksponen sehingga bersedia untuk penyenaraian di Bursa Saham.

Saya ingin membimbing lebih ramai staff dan Rakan Niaga membina kekayaan untuk kehidupan yang lebih baik dan lebih Freedom bila sudah tidak mampu bekerja dengan membina pendapatan pasif bagi tujuan pencen dan kebajikan masyarakat di kemudian hari.

Apa lagi yang anda ingin kongsikan mengenai GoCareta?

Secara purata rakyat Malaysia membeli lebih 600,000 unit kereta setiap tahun. Sekiranya keadaan ini berterusan, negara akan menghadapi masalah lambakan kereta yang terlalu banyak. Ia juga akan mengundang masalah kesesakan lalu lintas, pencemaran udara, peningkatan kos untuk pembinaan jalan dan pembaziran ruang untuk penyediaan tempat letak kereta.

GoCareta adalah solusi terbaik di mana pengguna boleh berkongsi kereta dan tidak perlu dibebankan dengan kos pemilikan kereta. Pemilik kereta pula dapat mengoptimumkan penggunaan kereta sedia ada dan pengusaha kereta sewa juga dapat meningkatkan keuntungan dengan mengurangkan kos penggunaan sumber manusia.

Leave A Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.