Berita dan Info Bisnes ICT

Sebuah projek
Sebuah projek
Sebuah projek

Dropee Menang Geran SUPERB RM500,000 daripada TERAJU

1.91K 0

Kuala Lumpur, 6 Disember 2017 – Pasaran B2B dalam talian Dropee hari ini mengumumkan bahawa ia telah berjaya memenangi geran bernilai RM500,000 baru-baru ini di bawah program yang dikenali sebagai SUPERB (Skim Permulaan Usahawan Bumiputera) yang ditawarkan oleh TERAJU (Unit Peneraju Agenda Bumiputera). Geran ini diuruskan oleh Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), salah sebuah agensi yang bekerjasama dalam Program SUPERB. Geran ini diperolehi semasa ia benar-benar diperlukan kerana Dropee, yang dimulakan pada tahun 2016, kini sudah pun dalam fasa pengkomersialan. Tambahan lagi, ia juga penting untuk menyokong langkah Dropee mengembangkan jumlah peruncit SME di platformnya dari lebih 300 pada masa ini hingga sekurang-kurangnya 1,000 menjelang pertengahan tahun 2018.

Aizat Rahim, ketua pegawai operasi Dropee berkata, “Kami amat gembira kerana terpilih sebagai salah satu daripada 12 pemenang geran SUPERB. Kami telah pun mencuba untuk mendapatkan geran yang sama tahun lalu, tetapi tidak berjaya. Kegagalan tersebut, bagaimanapun, tidak menjejaskan usaha kami untuk terus mencuba. Selepas beberapa pusingan ‘pitching’ untuk meyakinkan para pengadil baru-baru ini, akhirnya kami berjaya. Geran SUPERB ini merupakan testimoni kepada usaha kami ke arah membawakan kesan yang positif dalam sektor rantaian bekalan serta memperkasakan peruncit SME tempatan. Kami bersyukur kerana mendapat sokongan TERAJU.”

“SUPERB diwujudkan terutamanya untuk membantu individu atau syarikat baru, memupuk dan mengembangkan penemuan, idea, atau ciptaan mereka supaya menjadi model perniagaan yang berjaya,” kata pengarah kanan Pembangunan Perniagaan dan Usahawan TERAJU, Megat Mohd Yatim Megat Hamid.

“Geran tersebut adalah antara yang terbesar yang pernah ditawarkan untuk membantu mendorong bakat-bakat dari golongan Bumiputera untuk turut serta dalam menjalankan usaha niaga,” sambung Megat Mohd Yatim.

Katanya lagi, “Sebilangan daripada usahawan muda ini telah beroleh kejayaan besar dalam mengembangkan idea mereka, malahan berjaya memasuki pasaran eksport antarabangsa, dan dapat mengukir nama bagi jenama keluaran tempatan dari Malaysia.”

Dropee tertumpu kepada membawakan barangan berpek bagi pengguna (CPG) menerusi platformnya dan selepas setahun beroperasi, ia telah menyertakan lebih 200 jenama termasuklah 100Plus, Anakku, Cadbury, F&N dan Red Bull.

Dalam bulan Januari tahun ini, Dropee berjaya mendapatkan ‘angel investment’ sebanyak RM300,000 dan dalam bulan Mac ia menerima geran sejumlah RM150,000 di bawah program yang dikenali sebagai CIP 150 oleh Cradle.

“2017 merupakan tahun yang begitu sibuk bagi kami. Selain daripada mengumpul dana, kami juga telah bekerja keras untuk menambah baik sistem dalam talian kami yang turut melibatkan pelancaran siaran lengkap pasaran kami baru-baru ini. Kami juga telah memperkenalkan antara muka web baru yang bertujuan untuk memperbaiki cara peruncit menemukan produk, untuk pembekal melancarkan kempen promosi tertumpu dan untuk mendapatkan faedah lain. Kami tidak merancang untuk memperlahankan operasi menjelang tahun 2018,” kata Aizat.

Sebagai sebahagian daripada rancangan pertumbuhannya, kini Dropee juga sedang mencari bakat baru dengan keutamaan diberi kepada pemasaran dan pembangunan teknologi, untuk membantu mereka membina ekosistem B2B dalam talian yang lebih baik untuk pembekal dan peruncit.

Mengenai Dropee:

Dropee merupakan pasaran B2B yang menemukan pembekal dan peruncit pada sebuah platform tunggal. Dengan Dropee, peruncit kini boleh mendapatkan produk secara terus daripada pemborong, pengeluar dan prinsipal yang layak dengan lebih cepat, murah dan boleh dipercayai. Platform kami memudahkan pembekal dan peruncit merekodkan tempahan jualan secara digital, menjejaki inventori dan penunaian barangan, serta mendapatkan akses kepada laporan analitikal.
Dropee adalah jenama yang dimiliki oleh Macro Tech Ventures Sdn. Bhd. Layari laman web kami di www.dropee.com.

Mengenai SUPERB:

SUPERB, Skim Permulaan Usahawan Bumiputera yang diadakan oleh TERAJU, menyediakan geran sehingga RM500,000 untuk menyokong idea perniagaan yang kreatif dan inovatif. Program ini dibuka kepada golongan Bumiputera yang berhasrat untuk menjadi usahawan terkemuka. Mereka yang layak adalah individu atau syarikat yang beroperasi kurang daripada tiga tahun.

Pemilihan penerima geran SUPERB dijalankan menerusi program ‘pitch’ seperti yang diadakan dalam program realiti TV yang berteraskan perniagaan. Para peserta dikehendaki mengajukan merit idea, penemuan atau ciptaan mereka kepada panel pengadil yang terdiri daripada usahawan perniagaan yang berjaya. Selain itu, mereka juga perlu menunjukkan bagaimana mereka merancang untuk mengkomersialkan produk atau perkhidmatan mereka dalam arena yang kompetitif.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2014, SUPERB telah berjaya mempersiapkan 152 orang usahawan muda yang telah menerima geran permulaan sehingga RM74 juta.
TERAJU begitu teruja kerana ramai di antara usahawan muda ini telah memperoleh kejayaan besar dalam mengembangkan idea mereka, malahan berjaya memasuki pasaran eksport antarabangsa, dan mengukir nama bagi jenama keluaran tempatan mereka dari Malaysia.

SUPERB telah membangunkan namanya dalam menarik bakat-bakat untuk memperlihatkan rangkaian penemuan, idea dan ciptaan mereka, yang setiap satunya mempunyai ciri-ciri yang unik dan potensi untuk pengkomersialan, untuk tampil ke hadapan di peringkat kebangsaan, serantau dan dunia.

Untuk maklumat terperinci, sila log masuk ke http://www.teraju.gov.my/skim-permulaan-usahawan-bumiputera/?lang=en

print

Leave A Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.