Berita dan Info Bisnes ICT

Sebuah projek
Sebuah projek
Sebuah projek

Ahmad Amran Kapi CTO Wahdah, Menyediakan Platform Untuk Pengusaha Kereta Sewa

6.79K 5
Ahmad Amran Kapi CTO Wahdah, Menyediakan Platform Untuk Pengusaha Kereta Sewa

Jika Airbnb adalah sebuah syarikat hartanah tanpa memiliki hartanah, dan Uber adalah syarikat teksi tanpa memiliki sebuah teksi, apa nama syarikat kereta sewa tanpa memiliki sebuah kereta?

Jawapannya, Wahdah.my.

Berketinggian 189cm, suka bercakap kuat dan tidak berhenti jika kena pada topiknya, Ahmad Amran Kapi adalah seorang yang mudah mesra. CTO Wahdah.my yang berasal dari Batu Pahat, Johor, mempunyai banyak pengalaman dalam bidang perniagaan.

Memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dari UTM, beliau telah mula berniaga sejak 2003 dengan menubuhkan Art Ins Software Sdn Bhd, syarikat yang memfokuskan kepada konsultansi dan pembangunan perisian

Projek terkini beliau bersama rakan kongsi,  WahDah.my, telah melakukan transaksi RM 4juta hanya dalam masa satu tahun beroperasi. Ikuti temuramah Otakit.my bersama Ahamad Amran Kapi dibawah.

Sebelum Tuan membangunkan Wahdah.my, apa perniagaan yang diceburi? Boleh tuan senaraikan perniagaan yang telah dijalankan beserta sedikit penerangan?

Saya bermula dengan menubuhkan Art In Software Sdn Bhd yang memfokuskan kepada konsultansi dan pembangunan perisian pada tahun 2003 dan masih wujud sehingga sekarang.

Pada tahun 2005 sebagai bisnes sampingan saya menubuhkan Zenpipe Web Hosting yang memfokuskan kepada web hosting dan pendaftaran domain name di Malaysia. Kami juga membangunkan produk cloud ZenClouds cloud server (seperti Digital Ocean sekarang) di bawah bumbung yang sama.

Pada tahun 2013 satu lagi idea bisnes yang wujud kerana keperluan menjaga homestay sendiri di Melaka, saya bangunkan satu produk Bantal & Bilik, platform untuk homestay di Malaysia.

Banyak projek kecil-kecilan yang saya tubuhkan dalam masa itu yang terkubur seperti iOS game Epic Empire (2011) , NodeChatter Live Chat (2012) untuk website .

Boleh terangkan serba sedikit mengenai Wahdah.My dan posisi Tuan dalam perniagaan tersebut?

Pada tahun 2015 December saya berjumpa dengan partner saya Tuan Muhammad Raden Anwar di Konvensyen ABS dari situ bermulanya idea untuk membangunkan website kereta sewa beliau. Beliau secara kasarnya sudah menguruskan platform kereta sewa tetapi dengan sistem asas untuk tanpa sokongan pembangun aplikasi di belakang beliau. Setelah proses berkenalan dalam setahun, kami bersetuju untuk menubuhkan Wahdah Technologies Sdn Bhd di mana syarikat ini akan menjadi satu syarikat teknologi yang menjadi platform kereta sewa yang membantu menyelesaikan masalah pengusaha kereta sewa di Malaysia. Tuan Muhammad menjadi CEO dan saya menjadi CTO.

Wahdah kereta sewa johor

Apa inspirasi dan kenapa Wahdah.My ditubuhkan ?

Pasaran industri Kereta Sewa di Malaysia boleh dikatakan sebesar RM 500 juta padah tahun 2017  dan kebanyakan platform kereta sewa di Malaysia hanya menyelesaikan satu masalah iaitu memberi ‘sales’ kepada pengusaha kereta sewa. Tiada satu syarikat yang menyediakan solusi penuh dari tempahan, pemanduan dan pulangan untuk ekosistem kereta sewa.

Wahdah di sini menyelesaikan:

  • Tempahan dan bayaran secara online
  • Pengesahan tempahan dan kuota kereta secara ‘live’ dari pengusaha
  • Pengesahan nombor kereta dan orang hubungan untuk urusan kereta sewa dalam masa kurang dari 30 minit.
  • Proses pengambilan dan pemulangan yang fleksibel. Pelanggan boleh mengambil dan memulangkan kereta di mana-mana tempat di Malaysia sebagai contoh pelanggan boleh meminta kereta di hantar di Johor Bahru dan memulangkan kereta di Lapangan Terbang Pulau Pinang.
  • Pengusaha juga mendapat satu sistem pengurusan kereta sewa secara percuma. Ia secara tak langsung menyebabkan kami dapat mengetahui kereta-kereta yang boleh dijual di platform kami.

Walau pun nampak mudah apa yang kami tawarkan, tetapi Wahdah menyelesaikan ‘pain point’ pengusaha kereta sewa. Ini terbukti dengan kami sehingga kini mempunyai hampir 100 operator dan 800 kereta sewa yang bernaung di bawah platform WAHDAH.

Bagaimana tuan memperolehi dana untuk memulakan perkhidmatan ini?

Wahdah bertuah kerana kedua-dua founder sudah mempunyai perniagaan sendiri ketika ia ditubuhkan. Tuan Muhammad sudah mempunyai staff dalam pengurusan kereta sewa dan saya sudah mempunya staff dalam pembangunan perisian serta juga mempunyai infrastruktur web hosting (zenpipe) . Kebanyakan kos pembangunan adalah menggunakan sumber kedua-dua founder syarikat sedia ada.

Bagaimana laman web Wahdah.My dibangunkan, apa platform digunakan, adakah dibangunkan dari kosong?

Kami menggunakan konsep Kaizen (Continuous Improvement) dalam membangunkan Wahdah. Ia bukanlah platform yang dibangunkan dari kosong, tetapi bermula dengan aplikasi custom yang sudah wujud ketika Tuan Muhammad menggunakan untuk menguruskan kereta sewa beliau.

Website hadapan menggunakan Drupal dan sekarang sedikit demi sedikit platform belakang sudah dipindahkan kepada CakePHP. Kami juga menggunakan Telegram bot untuk pengusaha mengetahui tarikh tempahan kereta keluar dan balik tanpa memerlukan mereka login ke dalam sistem.

Berapa ramai kakitangan menguruskan perniagaan tersebut?

Setakat ini kami mempunyai 12 orang kakitangan yang menguruskan perniagaan ini dari pengurusan operasi, sokongan pelanggan dan banyak lagi. Boleh rujuk di http://www.wahdah.my/the-team

Kenapa perniagaan berkaitan kereta sewa?

Seperti sedia maklum CEO Wahdah, Tuan Muhammad mempunyai perniagaan kereta sewa dan beliau sudah masak dalam selok belok dunia kereta sewa. Saya pula nampak potensi dalam industri ini, kerana ia belum di ‘disrupt’ oleh mana-mana kuasa besar.

CarTrawler, platform kereta sewa terbesar di dunia dikatakan dinilai dalam RM 3.45 billion  dan bisnes mereka dimulakan pada tahun 2004. Walaupun besar mereka tidak dikenali langsung didalam dunia teknologi kerana apa ? Adaptasi mereka dengan teknologi baharu kami lihat tidak begitu aktif, mereka fokus kepada marketing dan hanya menyelesaikan masalah ‘sales’ sahaja bagi pihak industri.

Kami lihat industri kereta sewa ini adalah satu industri yang masih lagi ditakuk lama, dan Wahdah ingin menjadi agen perubahan bagi industri ini.

Saya rasa industri berkaitan dengan pengangkutan ketika ini adalah dalam zaman perubahan seperti ketika industri kereta kuda bertukar kepada kereta.

Bagaimana Tuan validate pasaran untuk pasaran kereta sewa?

Validasi cukup mudah jika kita ada ‘tikus makmal’ untuk diuji dan syarikat rakan saya Tuan Muhamad digunakan untuk validasi pasaran ini di Johor Bahru. Sebelum ini syarikat beliau hanya memfokuskan kepada sewaan korporat dan mendapat sedikit tempahan harian dan kami menggunakan pelanggan tempahan harian beliau untuk validasi market ini. Perubahan sedikit demi dalam sistem meningkatkan tempahan harian terus meningkat dalam masa setahun.

Bagaimana tuan membawa masuk atau menghampiri operator/syarikat kereta sewa untuk mengunakan platform Wahdah.my?

Pada permulaan hanya beberapa operator yang menyertai platform kami, kunci utama platform adalah situasi ayam dan telur. Operator akan letak di Wahdah jika ada tempahan dan pelanggan tidak akan tempah jika tiada kereta atau variasi kereta yang banyak.

Langkah pertama adalah memberi operator satu aplikasi pengurusan kereta sewa dan jualan mereka. Ini adalah seperti sistem invois + pengurusan kenderaan dalam satu. Jadi mereka gembira walaupun tiada sales dari pada kami, mereka masih boleh menggunakan sistem kami secara percuma.

Langkah kedua kami menggiatkan promosi secara online seperti Adwords (pelanggan baharu), promosi mingguan (pelanggan sedia ada) dan menyediakan sokongan online secara intensif. Kami berada di mana pelanggan berada live chat, telefon, email, facebook. Bahkan kami juga aktif di Twitter dan Instagram.

Kami juga fokus advocate operator-operator dengan update mingguan, perjumpaan, latihan secara personal dengan operator untuk meyakinkan mereka bahawa kami serius untuk membantu operator ke tahap yang lebih baik. Bugs dan cadangan juga dengan cepat kami selesaikan.

Saya difahamkan Wahdah.my baru setahun jagung, namun transaksi telah mencapai 4 juta. Bagaimana tuan melakukannya?

Secara kasarnya, sistem kami memproses lebih RM 400 ribu sebulan dalam platform kami samada offline (sistem operasi operator sendiri) dan juga online (menggunakan platform kami) dengan nisbah ¾ adalah offline.

Jika ditanya bagaimana? memilih niche yang betul dalam industri membolehkan kami berjaya. Kami memilih lautan biru yang mudah kami kuasai. Selepas itu satu demi satu niche kami pecahkan untuk menambah transaksi dalam platform kami.

Apa cabaran terbesar pernah tuan hadapi sepanjang tempoh tersebut?

Banyak cabaran yang dilalui dalam tempoh pembangunan dan validasi platform Wahdah, tetapi dengan mengecilkan keputusan validasi yang dibuat kami mengecilkan risiko yang diterima dalam bisnes ini.

Antara yang besar adalah apabila PayPal, melabelkan akaun kami sebagai akaun berisiko tinggi kerana volume transaksi yang tinggi setiap bulan. Mereka menyimpan jumlah reserve duit kami (6 bulan) di dalam Paypal dan juga setiap transaksi akan diambil sedikit kemudian dilepaskan setelah 90 hari. Dengan margin yang tidak tinggi untuk setiap transaksi, ini boleh menyebabkan kos operasi kami paras-paras hidung juga !.

Sepanjang operasi Wahdah.my, siapa telah anda berjumpa?

Jika anda tanya tentang selebriti yang pernah menyewa kereta kami belum ada lagi 🙂 , tetapi kami masih mencari VC (Venture Capital) yang berminat untuk bekerjasama dengan Wahdah.

Apabila rakan-rakan / keluarga anda mengetahui bahawa anda menjalankan perniagaan tersebut, apa yang mereka katakan atau bertanya?

Kebanyakan keluarga atau rakan-rakan tidak berapa mengetahui tentang bisnes-bisnes saya. Cuma tahu saya membangunkan perisian sahaja. Malah anak saya apabila ditanya tentang apakah pekerjaan bapa oleh guru beliau, dia masih terpinga-pinga untuk menjawab :))

kereta sewa johor

Apa yang akan anda memberitahu orang yang berminat untuk menyertai Wahdah?

Kepada sesiapa yang ingin menceburkan diri dalam dunia kereta sewa bolehlah kunjungi https://partners.wahdah.my . Di situ anda boleh live chat, mendaftar atau membaca tips-tips di blog untuk menjalankan bisnes kereta sewa.

Ke mana arahtuju Wahdah Technologies Sdn. Bhd dan apa yang anda rasa akan berubah tentang sewa kereta atau Wahdah.my dalam tempoh masa lima tahun akan datang?

Pengangkutan yang kita lihat sekarang mungkin akan berubah. Konsep ‘ownership’ kenderaan mungkin tidak wujud pada zaman akan datang dan mereka memerlukan pengangkutan hanya sebagai satu cara untuk pergi dari poin A ke B. Tangungjawab Wahdah adalah bersedia untuk menjadi penyelesai masalah tersebut.

Apa lagi projek dalam perancangan?

Kami sedang validasi beberapa produk vertikal dalam industri.

  • WaHero – Operator kereta boleh ‘outsource’ penyerahan, pemulangan, cucian, servis juga menjadi pemandu untuk kereta sewa mereka di dalam platform (dilancarkan Ogos 2017)
  • WaLimo – Kami juga sedang ‘memasak’ satu produk di tengah-tengah antara Uber dan Blacklane. Di mana anda pengusaha kereta sewa boleh menambah nilai dengan menyediakan pemandu untuk kereta mereka (Oktober 2017)

Kami juga sedang eksperimen dengan konsep ‘kongsi kereta’ yang sedang popular sekarang . Satu platform berkongsi kereta yang menyelesaikan masalah tuan punya kereta-kereta ‘idle’ mereka untuk menjadi sumber pendapatan tambahan.

Sebagai pioneer apa trend yang yang anda lihat?

Uber, Grab, Google, dan banyak lagi syarikat pembuat kereta sudah bersedia untuk zaman kenderaan tanpa pemandu. Britain akan melarang jualan kereta petrol pada tahun 2040 dan adakah kereta elektrik, hidrogen yang mengambil alih kita tidak akan tahu. Tetapi yang pasti banyak teknologi AI (Artificial Intelligence) akan mengambil alih kerja-kerja yang sebelum ini dikatakan tidak mampu di ambil alih oleh robot.

Malah AI juga akan ambil alih pembangunan perisian. Kereta akan bergerak sendiri, makanan akan datang ke depan pintu. Rumah akan dibersihkan oleh robot. Apa yang kita perlu fikir adakah cerita Wall-E  akan menjadi kenyataan ? 😉 .

Jika anda tidak menguruskan Wahdah.my, apa yang akan anda lakukan atau bagaimana kehidupan anda?
Kehidupan saya cukup tenang di Melaka. Saya mengimbangi antara syarikat saya sendiri Art In Software, Zenpipe dan juga aktviti harian masih berlaku ketika tidak menguruskan Wahdah.my. Kunci utama, yakin kepada lantikan staf-staf dan beri mereka kuasa untuk membuat keputusan yang betul bagi pihak syarikat.

Apa lagi yang anda ingin kongsikan mengenai Wahdah.my?

Wah Dah sampai soalan yang terakhir ! Terima kasih kerana membaca sehingga ke perenggan yang terakhir dan jangan lupa rekemen kepada sesiapa yang nak sewa kereta, sewa di Wahdah 😀


Apabila ditanya, bagaimana kehidupannya jika Wahdah.my tidak wujud, barangkali beliau menjadi seorang jurulatih badminton kerana mempunyai sijil Jurulatih BAM level 1. “Saya merasakan diri saya dilahirkan menjadi ahli sukan. Tetapi tidak cukup rajin untuk berlatih.” memberikan senyuman.

Mengakhiri temubual, Amran sempat berbuat jenaka “Saya seorang yang hensem jika dilihat dari jarak dekat, jadi ramai orang yang tidak sangka betapa berbezanya apabila mereka melihat gambar secara online dan berjumpa dengan saya.”

5 Comments

Leave A Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.