Berita dan Info Bisnes ICT

Sebuah projek
Sebuah projek
Sebuah projek

RunCloud.io Bakal Takluki Dunia PHP

7.8K 3

Memasang, memantau dan melancarkan server ke internet bukanlah kerja yang mudah.

Malah, bagi seorang programmer PHP sekali pun, mereka lebih rela untuk duduk berjam-jam buat kerja-kerja programming ataupun mempelajari konsep baru dalam PHP. Untuk duduk dan melaksanakan kerja-kerja berkaitan pengurusan server, programmer PHP bukanlah orangnya.

Inilah masalah yang RunCloud akan selesaikan untuk programmer PHP. Walaupun mereka bukan pengurus server (server administrator), kerja-kerja sebegini tidak lagi menjadi masalah bagi seorang programmer. Dengan antaramuka yang cantik dan mudah digunakan, RunCloud menjanjikan segala urusan dalam pemasangan, pengurusan dan pemantauan server menjadi lancar.

Penyedia khidmat cloud hosting dan VPS berlumba-lumba dalam menawarkan ciri-ciri server yang tinggi dengan harga-harga yang sangat murah. Inilah sebabnya Digital Ocean, Vultr, Linode, Amazon Web Services dan lain-lain penyedia hosting cloud seangkatan menjadi pilihan programmer PHP masa kini.

Namun yang menjadi halangan, perkhidmatan sebegini mengandaikan programmer ini akan melaksanakan segalanya sendiri. Penyedia khidmat hosting menyediakan khidmat mereka kepada pelanggan secara layan diri. Apa yang kita dapat hanyalah sebuah server kosong. Tiada pelayan web, tiada PHP, tiada pengkalan data, dan lain-lain. Sememangnya ini memberi kebebasan kepada sesetengah yang mahir untuk memasang apa sahaja, dan apa jua cara ke dalam server. Namun bagi sesetengah yang lain tidak berkemahiran, walaupun berkeinginan, mereka semakin menjauhi cloud hosting.

Apabila kita memasang sesebuah server untuk kegunaan internet, biasanya kita perlu memasang sebuah pelayan web (web server) seperti Nginx atau Apache. Kemudian kita perlu pasangkan pula PHP. Dan kemudian pasangkan pula MySQL atau apa-apa pengkalan data. Setelah dipasang itu dan ini, ianya perlu dikemaskini dan diperbiaki dengan konfigurasi yang terbaik untuk kegunaan kita.

Ini semua memakan masa berjam-jam lamanya. Bagi seorang programmer PHP, ia bukanlah kerja-kerja yang biasa dilakukan setiap hari. Jadi apabila diperlukan, mereka terpaksa mencari di Internet panduan, artikel ataupun tutorial untuk melaksanakan semua ini. Itu pun belum lagi kalau tersilap konfigurasi. Maka terpaksalah si programmer ulang semula setiap langkah dalam tutorial. Memang renyah kerja-kerjanya.

Percaya atau tidak, dengan RunCloud segalanya selesai dalam masa 15 minit sahaja.

Dari selatan tanahair di Johor, Universiti Teknologi Malaysia menjadi tempat bertemunya tiga pemuda, lantas juga tempat lahirnya RunCloud. Mereka bertiga ini adalah Arif Tukiman, Ahmad Fikrizaman dan Amir Fazwan. Ketiga-tiga mereka, walaupun daripada latarbelakang perkomputeran dan pengaturcaraan, setiap seorang punyai keunikan dan personaliti yang berbeza yang menjadikan syarikat awal mereka, Sejuk Studio, lebih berdaya saing.

Arif Tukiman, yang mula menubuhkan Sejuk Studio punyai personaliti keusahawanan yang lebih menyerlah bertindak sebagai CEO. Ahmad Fikrizaman pula adalah yang paling hebat kemahiran teknikal perkomputerannya antara mereka bertiga, kini CTO dan juga pencetus kepada idea RunCloud. Amir Fazwan tidak kurang kemahiran pengaturcaraan terutamanya dalam pembangunan aplikasi mobail Android, kini menggalas tanggungjawab khidmat pelanggan dan pemasaran online.

Syarikat awal mereka, Sejuk Studio mulanya hanyalah sebuah pendaftaran perkongsian. Namun apabila diterima sebagai anak angkat program inkubator MAGICX UTM, mereka cuba mendaftarkan nama Sejuk Studio Sdn. Bhd. Atas sebab-sebab berkaitan nama, pendaftaran mereka ditolak dan mereka mendaftarkan nama Cool Code Sdn. Bhd., sebuah nama yang tidak kurang hebatnya.

Maka sekarang RunCloud bergerak maju sebagai salah satu produk Cool Code Sdn. Bhd.

Sebenarnya, sebelum kelahiran RunCloud, mereka telah mencuba dan melancarkan beberapa projek. Namun ianya tidak mendapat sambutan yang menggalakkan. Malah RunCloud itu sendiri pun pada mulanya adalah sebuah projek lain bernama WHOP. WHOP pada mulanya adalah sebuah produk yang mensasarkan syarikat web hosting sebagai pelanggan, dan bukannya programmer. Namun mereka dapati pasaran untuk produk berupa sebuah panel web hosting terlalu sengit. Malah produk seperti CPanel dan WHM telah lama bertapak dan sukar untuk ditandingi.

Namun kemudian, sebagai programmer PHP sendiri, mereka merasakan yang produk seperti RunCloud berpotensi untuk dipasarkan. Pesaing itu ada, namun tidak banyak. Malah kewujudan pesaing yang ada sekarang ini membuktikan bahawa produk sebegini boleh diterima oleh pasaran. Apa yang menyebabkan mereka lebih yakin untuk membangunkan RunCloud adalah apabila mereka merasakan tiada satu jenama atau produk yang begitu menonjol dalam sektor ini. Ini berbeza dengan WHOP di mana jenama CPanel sudah menjadi begitu sinonim di kalangan pengguna.

Maka daripada WHOP, ianya diolah menjadi RunCloud. Walaupun banyak perubahan dilakukan, setidak-tidaknya ia tidak perlu dibangunkan daripada kosong.

Tempoh masa setahun digunakan untuk mengolah WHOP menjadi RunCloud. Dan pada November 2016, RunCloud membuat kemunculan pertama di JOMLAUNCH4. Pada Januari 2017, ianya dilancarkan kepada umum secara rasmi.

Dalam tempoh masa tiga bulan, RunCloud kini menguruskan lebih kurang 500 server untuk pelanggan-pelanggan mereka. Jumlah ini dijangkakan akan meningkat lagi dalam tempoh yang singkat. Pelanggan hadir dari seluruh pelusuk internet hasil daripada hebahan rakan-rakan, blog, forum, media sosial dan juga carian di Internet.

Mungkin ada yang masih kurang faham apa yang RunCloud tawarkan.

Pada mulanya ianya membantu memasang server kita dengan Apache, Nginx, PHP dan MySQL. Dengan ini, kita akan punyai sebuah server untuk memasang aplikasi web yang dibangunkan dengan PHP. Selepas itu, melalui RunCloud terdapat macam-macam lagi yang kita boleh lakukan seperti menjadualkan kerja-kerja aplikasi tertentu untuk dilancarkan, memeriksa status kesihatan server, menambah ahli dan lain-lain lagi.

Sebagai contoh ringkas, sebuah server mesti mampu untuk membawa lebih daripada satu laman web dan satu nama domain. Tetapi sekiranya kita ingin membuat konfigursi ini apabila terdapat sebuah laman web baru yang ingin ditambah, ianya agak remeh dan memakan masa.

Seseorang programmer itu mungkin perlu menggunakan “shell” atau “command line interface” dan kemudian menaip pelbagai arahan, satu persatu semata-mata untuk menambah satu laman web lagi. Sekiranya anda pernah menonton mana-mana filem berkenaan “hacker” yang sedang mengerjakan komputernya, gambarannya begitulah si programmer perlu bekerja.

Tetapi dengan RunCloud ini menjadi mudah. Terdapat modul di dalam RunCloud yang membantu pengguna untuk menguruskan laman web dan domain. Dengan beberapa klik dan sekadar 3 hingga lima minit, segalanya boleh selesai.

RunCloud juga boleh membantu pengguna untuk memantau lebih daripada satu server di mana sahaja server itu berada. Iyalah, kadang kala ada keperluan di mana server yang diuruskan menggunakan Digital Ocean, dan sebuah lagi menggunakan Linode. Kita boleh melihat kedua-dua server ini dari RunCloud. Maka tidak perlu login untuk ke server. Malah menguruskan nama pengguna dan katalaluan juga agak rumit sebenarnya. Jadi tidak perlu lagi dengan RunCloud.

Ini semua hanyalah beberapa sahaja ciri-ciri yang terdapat di dalam RunCloud. Dengan antaramuka yang cantik dan mudah digunakan, tidak hairan sekiranya programmer PHP jatuh cinta dengan aplikasi ini.

Sekiranya anda adalah seorang programmer PHP, saya syorkan anda cuba, setidak-tidaknya dengan pakej percuma.

Bagi saya, tidak mustahil sekiranyg RunCloud menjadi satu nama yang besar dan dikenali di kalangan programmer PHP seluruh dunia tidak lama lagi. Saya pasti akan memerhatikan perkembangan syarikat ini dengan lebih teliti dan menantikan hari itu.

Semoga RunCloud lebih maju dan berdaya saing. Syabas RunCloud!

3 Comments

Leave A Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.