Bermula dari eBay, kemudian jual beli di sosial Media Facebook, terjebak pula aktiviti dropship, agen dan stokist beberapa produk kecantikan dan kesihatan; Hasnol Mizam Hashim merupakan seorang graduan Sarjana Muda dari UKM dalam bidang Sains Komputer.
Selepas tamat pengajian, beliau pernah bekerja di 3 buah syarikat IT sebagai Jurutera Perisan dari tahun 1997 hingga 2018. Beliau banyak terlibat dengan projek-projek pembangunan sistem untuk agensi kerajaan dan awam seperti Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran, Tourism Malaysia, Finas, Telekom Malaysia, dan lain-lain.
Idea membangunkan aplikasi BIZAPP bermula pada tahun 2016. Ketika itu beliau menjadi stokis dan mempunyai bilangan agen yang agak ramai. Seperti kisah-kisah syarikat permulaan yang lain, beliau menyedari wujudnya satu masalah ketika menguruskan tempahan-tempahan dari agen dan pelanggan. Dari situ, beliau mendapat inspirasi untuk bangunkan sebuah aplikasi yang dinamakan sebagai BizApp.
“Saya dapati cara untuk saya menguruskan tempahan-tempahan dari agen dan pelanggan agak tidak sistematik, dan banyak masa terbuang untuk perkara-perkara yang remeh seperti pertanyaan tentang stok ada atau tidak, harga, juga proses-proses yang terlibat dalam memproses tempahan-tempahan agak lambat dan mengambil masa yang lama …”
Dipenghujungnya, beliau bangunkan sebuah aplikasi mobile untuk diguna-pakai oleh agen-agen dibawah pengurusannya. Aplikasi yang dibangunkan membolehkan beliau proses tempahan dengan lebih sistematik, memeriksa stok, mencetak slip, mengemaskini nombor pengesan dan lain-lain fungsi yang memudahkan beliau dan agen serta pelanggan.
Menurut Hasnol Mizam, BizApp dibangunkan dari kosong dalam masa 2 minggu, sebelum diguna-pakai secara menyeluruh oleh agennya.
“BIZAPP mula digunapakai oleh saya & agen-agen saya selepas 2 minggu saya bangunkan from ‘scratch’. Dari situ, saya tambah fungsi sedikit demi sedikit. Selepas beberapa ketika, saya sedar aplikasi ini sebenarnya sangat2 diperlukan oleh ramai usahawan-usahawan online yang lain, jadi saya mula komersialkan sedikit demi sedikit, dan fungsi ditambah dari hari ke hari sehingga ke hari ini.
Pada bulan ketiga, versi web disiapkan dimana terdapat permintaan ramai pengguna yang mahukan menyerahkan pengurusan kepada kakitangan yang lebih selesa menggunakan komputer.
Menurut Hasnol Mizam, pada 2 tahun yang pertama, BizApp diuruskan secara bersendirian. Dari pengaturcaraan pada pelantar Android, iOS dan web sehinggalah pemasaran di Facebook dan juga sistem bantuan sokongan pelanggan melalui email, WhatsApp dan telefon.
Bermula 2018, Syarikat Sdn. Bhd ditubuhkan dan beliau membawa masuk seorang rakan kongsi, En. Taib sebagai CMO dan seorang admin untuk membantu pengurusan syarikat.
Sedikit demi sedikit, Hasnol Mizam bekerjasama dengan rakan kongsi yang lain untuk kembangkan BIZAPP kepada sistem-sistem yang lain seperti BIZAPPMedia, yang sedang dalam pembangunan, dan BIZAPPay, sebuah payment gateway yang akan diguna pakai dalam BizApp dalam masa terdekat (www.bizappay.com).
Sehingga kini, sebanyak RM650 juta transaksi telah berlaku dengan jumlah 2.8 juta rekod jualan dan data menunjukkan sebanyak 10 ribu tempahan berlaku dengan nilai jualan kira-kira RM1.5 juta sehari.
” Jumlah orang yang berniaga online di Malaysia semakin bertambah dari sehari ke sehari. Teknik dan tektik berniaga pula semakin hari semakin canggih, kreatif. Jualan atas talian makin lama makin dapat diterima. Jualan seorang seller sambilan boleh capai hingga puluhan ribu sehari. “
Beliau membangunkan BizApp kerana melihat peluang dan adanya satu sistem yang mampu menguruskan tempahan pada telefon pintar yang mempunyai kelebihan berbanding laman web.
“Saya memilih untuk membangunkan BIZAPP dalam platform Mobile Apps kerana tiada lagi sistem order yang ada ketika itu yang dibangunkan dalam platform mobile apps. Kelebihan mobile apps berbanding web adalah dari segi fungsi push notification, scanner, sms, panggilan dan lain-lain … “
Sehingga kini, terdapat lebih 140,000 pengguna berdaftar dan 40,000 pengguna aktif. Dengan jumlah pengguna yang ramai, cabaran terbesar menguruskan BizApp adalah keupayaan server yang sentiasa dipantau dan dinaiktaraf memandangkan data dan modul semakin lama, semakin membesar.
Beliau mensasarkan BizApp menjadi satu nama yang tidak asing dalam ekosistem ecommerce di Malaysia dan di Asia. Beliau juga menjangka pada masa hadapan, pembayaran secara manual di Malaysia akan berkurang dan tidak menjadi pilihan utama penjual. Pada masa yang sama, penghantaran barangan menjadi lebih cepat atau “same day delivery.” Begitu juga dengan penggunaan teknlogi AR dalam marketplace yang lebih menarik pelanggan.
Buat masa sekarang, Hasnol Mizam lebih banyak berkolaborasi dengan pihak lain terutamanya yang terlibat secara langsung atau tidak di dalam ekosistem seperti pasaran sedia ada, (lazada,shopee, dan lain-lain), production house, gudang dan kurier servis.
“Setakat ini kami telah berjaya berkolaborasi dengan Ninjavan, EasyParcel, J&T Express, & beberapa syarikat lain yang akan datang.”
Disamping itu juga, Hasnol Mizam sibuk bekerjasama dengan agensi-agensi yang melibatkan pembangunan usahawan, membangunkan BizAppay, menambah fungsi dan intergrasi dengan sistem-sistem lain seperti perakaunan, sumber manusia perbankan dan telekomunikasi.
BIZAPP – Sistem paling mudah & best untuk menguruskan bisnes anda.