Kalau kita mencari video pasal Silat di YouTube pasti kita tak akan terlepas video daripada Maul Mornie dan Silat Suffian. Dalam arena Silat, memang Maul Mornie ini agak terkenal, dan mendapat jemputan serata dunia untuk mengadakan seminar dan latihan.
Tetapi apa yang membuatkan video YouTube Maul Mornie begitu popular dan mengangkat dirinya sebagai authority dalam persilatan antarabangsa?
Untuk itu, kita kena tengok dan perhatikan video-video silat yang lain. Tok Guru kita hebat-hebat belaka, tapi tiada yang menghasilkan video seperti Maul Mornie. Banyak kita jumpa video persilatan, baik dari Malaysia ataupun Indonesia, ianya akan menunjukkan sama ada:
- Demo teknik dengan pantas dan tangkas
- Persembahan buah dan jurus berseorangan atau berkumpulan
- Demo persembahan seperti di pertandingan atau majlis
Maka, tiada video daripada perguruan Silat di Malaysia ataupun Indonesia yang dibuat dalam bentuk tutorial, yang mana:
- Tekniknya dilaksanakan dengan baik
- Tekniknya dijelaskan dengan baik
- Setiap langkah diperhalusi dan diterangkan dengan terperinci
- Tekniknya praktikal dan masuk akal
- Penerangan dapat difahami oleh penonton
- Teknik dikupas, dibahas, dibincangkan untuk setiap langkah
- Teknik diterangkan kenapa, mengapa
- Teknik mengambil kira situasi dan kebarangkalian
Apa Yang Kita Boleh Rumuskan Di sini?
Ini yang saya boleh rumuskan. Dan mungkin kita boleh mengambil ini sebagai strategi penting dalam pemasaran internet dan video online. Video-video persilatan dari Malaysia dan Indonesia saya anggap (secara sedar ataupun tidak) hanya dibuat untuk memperlihatkan kehebatan diri.
Namun video-video daripada Maul Mornie dibuat untuk penontonnya.
Betul? Tak percaya? Cuba buat balik carian di YouTube dan bandingkan secara amnya video-video yang kita jumpa pasal silat dan persilatan. Dan pastinya penonton lebih menghargai video yang lebih memberi manfaat kepada mereka. Video ini yang dikongsi dan viral serata dunia. Maka Maul Mornie pun terkenal dan kepakarannya ini dihargai ramai.
Pada saya, dalam dunia sekarang ini, untuk menjadi authority, kita perlu membuktikan kepakaran kita. Untuk membuktikan kepakaran, kita bukan hanya perlu buat demonstrasi tunjuk kehebatan. Apatah lagi kalau ramai umum dah biasa melihat demonstrasi yang sama. Kita perlu kongsikan pengetahuan kita yang membuka pemikiran orang lain.
Ramai yang kata, teknik Silat Maul Mornie tu biasa. Tapi penerangan dia yang terperinci itu yang luar biasa. Dia dapat menerangkan kenapa teknik itu boleh jadi, kenapa boleh gagal. Dia akan terangkan benda yang kita tak perasan dilakukan apabila melaksanakan teknik.
Saya beri contoh, nak buat sapuan dan jatuhkan musuh, bukan boleh sekadar buat sapuan. Tapi ada satu proses yang dia panggil “breaking posture”.
Saya beri contoh lain, Maul juga pernah menerangkan teknik tertentu berjaya apabila kita dapat berada di tempat yang betul. Dan dia menerangkan bagaimana untuk mempengaruhi musuh supaya kita boleh dapat posisi yang terbaik untuk teknik dilaksanakan.
Ini semua yang tidak ada dalam video Silat lain di YouTube. Saya tak tak tahu sama ada ianya disengajakan ataupun tidak. Mungkin ini semua dianggap “rahsia tok guru” ataupun “rahsia perguruan”. Maka kita “kedekut” untuk berkongsi. Atau mungkin kita tak ada pihak yang berupaya untuk menerangkan silat secara saintifik, dengan pemahaman kepada body mechanic, posture, atau sebagainya.
Namun di era global dan info di hujung jari, berkongsi sesuatu yang bermanfaat kepada umum adalah cara untuk meletakkan kita sebagai authority.
Saya kira, sama ada kita membuat video silat, seni mempertahankan diri, ataupun video untuk bisnes kita, cuba lebihkan usaha untuk menghasilkan sesuatu yang akan memberi manfaat kepada penonton. Jangan hasilkan sesuatu sekadar nak “tunjuk kehebatan”.
Pasti penonton akan menghargai sesuatu yang memberi mereka manfaat, dan lambat laun kita akan diangkat sebagai authority dalam bidang tersebut. Kita akan jadi hebat apabila ramai menghargai sumbangan kita kepada mereka.
Selamat maju jaya!