Hobinya menulis puisi dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Ramai yang menyangka beliau adalah seorang yang pakar IT. Hakikatnya, Ketua Pegawai Eksekutif Neusoftpro Sdn Bhd Ahmad Zahirudin Bin Ahmad Fauzi, pernah menjadi seorang guru Bahasa Inggeris dan memegang ijazah sarjana muda, Pendidikan; B.Ed. TESL dari Universiti Malaya.
Merancang untuk membangunkan Content Management System sendiri yang proprietary , Ahmad Zahirudin menawarkan perkhidmatan menawarkan perkhidmatan rekaan penjenamaan seperti logo, kad nama, profil syarikat, laman web, video korporat dan sebagainya sebelum membangunkan Pasar.Cloud dibawah anak syarikat Neusoftpro Sdn Bhd, Neusoftpro Media Sdn. Bhd. Anak syarikat ini diusahakan sepenuhnya oleh usahawan wanita.
Pasar.Cloud adalah inisiatif Neusoftpro Media Sdn. Bhd. untuk membolehkan para usahawan 1Malaysia memiliki laman web komersil yang murah tetapi berkesan untuk memajukan perniagaan masing-masing di persada online. Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat Neusoftpro Media Sdn. Bhd., Ahmad Zahirudin dipertanggungjawabkan untuk memacu syarikat berkenaa untuk berjaya di peringkat komersil.
Ikuti temuramah Otakit.my dengan Ahmad Zahirudin, Ketua Pegawai Eksekutif Neusoftpro Sdn. Bhd.
Apa inspirasi dan kenapa Pasar.Cloud, bagaimana ia bermula?
Saya anjurkan Pasar.Cloud kerana saya percaya semua perniagaan dilonjakkan ke Internet dan teknologi mobil untuk mengekalkan dayasaing perniagaan itu. Walaubagaimanapun, bagi para peniaga kecil, terutamanya golongan Bumiputera, kos untuk memiliki sesuatu laman web yang tampak professional dan komersil agak tinggi berbanding pendapatan mereka, iaitu sekitar RM1,000.
Jumlah ini adalah terlalu besar untuk para peniaga kuih, yang rata-rata pendapatan bulanan mereka adalah juga RM1,000. Kini, dengan Pasar.Cloud, sekecil-kecil peniaga kuih boleh berniaga online dengan hanya RM25 sebulan. Lebih dari itu, dengan adanya laman web sendiri yang boleh terima bayaran secara online, seseorang peniaga di Pasar.Cloud boleh meluaskan lagi pasarannya untuk meraih lebih keuntungan.
Contoh peniaga Pasar.Cloud
- www.pasar.cloud/biglittlestore (pakaian kanak-kanak)
- www.pasar.cloud/flykidz (paragliding equipment)
- www.pasar.cloud/qukoos (kuih-muih)
- www.pasar.cloud/edprotra (english editing, proofreading and translation service)
Dulu, AirAsia merangka semula model perniagaannya untuk menawarkan harga yang jauh lebih kompetitif. AirAsia telah memenangi pelbagai anugerah kerana membolehkan semua orang beli tiket kapal terbang untuk ke destinasi masing-masing.
Saya harap Pasar.Cloud boleh memperkasakan lebih ramai peniaga 1Malaysia untuk majukan perniagaan masing-masing secara online, dan meraih lebih keuntungan supaya mereka boleh bawa seisi keluarga terbang naik AirAsia ke destinasi idaman masing-masing lebih selalu lagi, untuk menikmati lebih banyak masa kualiti bersama keluarga tercinta.
Apa Pasar.Cloud sebenarnya?
Pasar.Cloud adalah laman web komersil berkonsepkan e-dagang, untuk dilanggan oleh para peniaga kecil dan sederhana dengan kadar RM25 sebulan. Tidak ada kontrak disyaratkan, jadi tidak ada risiko. Para peniaga boleh tamatkan akaun pada bila-bila masa jika ada kekangan kewangan, dan sambung balik langganan bila kembali mampu.
Adakah terdapat apa-apa teknologi/perisian digunakan untuk membangunkan laman ini dan berapa ramai yang terlibat dalam bahagian pengurusan belakang tadbir serta proses yang terlibat?
Pasar.Cloud menggunakan teknologi sedia ada di Internet seperti Bootstrap, WordPress, WooCommerce dan sebagainya. Walau bagaimanapun, memang ada perancangan untuk bangunkan sistem Pasar.Cloud yang tersendiri sebagai kemudahan untuk para pelanggan di masa akan datang.
Setakat ini, Pasar.Cloud diuruskan oleh 3 orang (saya, Yani, dan Anne). Sejak minggu lepas, kami akan bergabung tenaga dengan Yayasan Bina Insan Malaysia (YBIM) untuk memantapkan lagi pengurusan Pasar.Cloud.
Untuk setiap peniaga yang ingin melanggan Pasar.Cloud, kami akan meneliti butiran perniagaannya untuk memastikan perniagaan itu sahih. Proses yang terbabit melibatkan pelbagai sistem, dari pengumpulan data ke dalam pengkalan data Pasar.Cloud, hingga kepada komunikasi secara individu di peringkat Whatsapp.
Bagaimana Pasar.Cloud membantu pengguna?
Pasar.Cloud membolehkan seseorang peniaga meluaskan pasaran masing-masing secara online dengan menyebarkan URL laman web mereka di media sosial, Google, Whatsapp dan lain-lain saluran. Ia membolehkan seseorang peniaga kutip bayaran dari para pelanggan menggunakan kemudahan pembayaran online senangPay, yang boleh terima pembayaran kad kredit/debit dan perbankan Internet (FPX); dan Pasar.Cloud tidak membebankan dari segi kewangan, hanya RM25 sebulan!
Berapa ramai pengguna setakat ini sejak ia dilancarkan dan apakah cabaran terbesar pernah anda hadapi sepanjang menguruskan Pasar.Cloud?
Sejak Pasar.Cloud dilancarkan pertengahan Januari 2018, kami telah terima dalam 30 langganan. Dengan kerjasama YBIM, kami mensasarkan untuk memperoleh 2,000 langganan untuk Pasar.Cloud dalam tahun pertama ini. InsyaAllah. Amin.
Setakat ini, cabaran terbesar adalah untuk memasarkan Pasar.Cloud supaya lebih ramai yang tahu. Bila dah tahu, kami yakin ianya akan menepati citarasa, keperluan dan kehendak ramai.
Setakat ini, kami telah berjumpa dengan Dato Seri Nor Hilmi Firdaus dari Yayasan Bina Insan Malaysia (YBIM) untuk mendapatkan sokongan beliau dan YBIM kepada Pasar.Cloud, yang mana telah pun dipersetujui.
Ke mana arah tuju Pasar.Cloud dan apa yang anda rasa akan berubah tentang eCommerce/kedai online dalam tempoh masa lima tahun akan datang?
Pasar.Cloud mensasarkan untuk menjadi antara penyedia perkhidmatan e-dagang yang terbesar di Asia Tenggara, dengan sasaran langganan lebih 10,000 setahun. Dan untuk makluman, Pasar.Cloud secara rasminya akan berkembang ke Indonesia.
Dalam masa lima tahun akan datang, kami harap bila dunia sebut dan bincang e-dagang, Pasar.Cloud telahpun menjadi satu kebiasaan bagi semua, sebagaimana kita semua sudah biasa dengan Whatsapp hari ni (“Bro, PC je payment tu kat aku ye?”)
Walaupun Pasar.Cloud ini inisiatif Neusoftpro Media Sdn Bhd, saya mengalu-alukan penglibatan pihak-pihak yang berkemampuan untuk berbincang dengan pihak pengurusan Pasar.Cloud untuk memperkasakan ekonomi negara menerusi perniagaan online.