Berita dan Info Bisnes ICT

ASPIRASI: “THE PEOPLE’S” SHAHIZAM IBRAHIM – KUMPULAN ENERGETIC POINT SDN BHD

492 0

‘THE PEOPLE’S’
Shahizam Ibrahim
Kumpulan Energetic Point Sdn. Bhd.
http://epsb.com.my/

BIOGRAFI

Shahizam Ibrahim merupakan pengasas merangkap Pengarah Eksekutif Kumpulan Energetic Point Sdn. Bhd. (ENERGETIC POINT). Beliau juga adalah Pengarah Urusan di E-Transact Technology Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat milik penuh ENERGETIC POINT. Berpengalaman lebih 12 tahun dalam bidang ICT, beliau turut mempunyai kepakaran yang tinggi dalam industri pengangkutan awam tempatan. Graduan Keusahawanan IT dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ini juga memiliki semangat yang tinggi untuk mengembangkan ENERGETIC POINT sebagai hab penyedia perkhidmatan terunggul khusus dalam industri pengangkutan awam di Malaysia.

ENERGETIC POINT merupakan syarikat milik penuh Bumiputera yang telah ditubuhkan pada Disember 2004. Pelbagai projek mega telah dikendalikan dan antaranya adalah Terminal Bersepadu Selatan, Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS) dan Hab Pengangkutan Awam KLIA2 khusus dalam penstrukturan sistem terminal, pembelian tiket berkomputer serta pengurusan operator-operator pengangkutan awam darat. Keberkesanannya itu terbukti apabila projek-projek tersebut telah menaiktaraf kemudahan pengguna sekaligus meningkatkan tahap kecekapan dalam pengurusan terminal setanding dengan kelas dunia.

Sehubungan dengan itu, penganugerahannya sebagai pemenang Best Software NEF-AWANI ICT Awards 2013 adalah tepat dan seiring dengan kredibilitinya dalam menyelesaikan isu-isu berbangkit membabitkan pengangkutan awam di Malaysia. Beliau mempunyai matlamat untuk melonjakkan kecekapan industri tersebut seiring dengan pembangunan negara.

Ternyata anak jati Selangor ini berjiwa besar, di mana selain menerajui perniagaan, beliau juga mempunyai misi tersendiri untuk membantu lebih ramai masyarakat. Baginya perniagaan bukanlah platform mengaut keuntungan semata-mata, tetapi ianya adalah jambatan yang boleh menghubungkan sumbang bakti usahawan kepada orang lain yang lebih memerlukan.

Perjalanan anda sebagai usahawan.

Sebenarnya, ENERGETIC POINT telah bermula semasa saya masih menuntut di UTM, Skudai, Johor. Pada ketika itu saya bersama lima orang rakan sekadar mencuba berjinak-jinak di dalam bisnes IT.

Alhamdulillah ianya berhasil dan kami berjaya mendapatkan beberapa projek ketika itu. Setelah tamat pengajian kami memutuskan untuk berpindah ke Kuala Lumpur bagi mengembangkan lagi potensi syarikat, di samping mengintai peluang-peluang baru yang lebih besar di sana. Operasi pertama kami bermula di Petaling Jaya, Selangor.

ENERGETIC POINT ditubuhkan secara rasminya pada Disember 2004 di mana kami bermula dengan projek-projek berskala kecil. Sehinggalah suatu hari kami diberi peluang oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) menerusi Bahagian Kenderaan MARA untuk membantu mereka mewujudkan semula Ekspres MARA yang telah diswastakan. Kini ianya dikenali sebagai MARA Liner.

Di dalam projek tersebut kami telah dipertanggungjawabkan oleh pihak MARA untuk membangunkan sistem tiket berkomputer pada perkhidmatan bas-basnya. Ia sememangnya sesuatu yang baru kerana ketika itu pengurusan bas di Malaysia masih lagi menggunakan kaedah manual.

Lebih dari setahun perbincangan dan rundingan tersebut berlangsung, sehinggalah akhirnya kami berjaya menyediakan solution yang menepati kehendak mereka untuk menghubungkan seluruh kaunter dan operasi MARA Liner secara seragam di setiap negeri. Ternyata ia tidak mudah kerana sebagai sebuah syarikat start-up, tempoh dua bulan yang diperuntukkan oleh MARA agak singkat untuk kami menyiapkan keseluruhan projek ketika itu.

Walau bagaimanapun ia bukanlah penghalang dan bagi melicinkan pergerakan projek, kami telah menambah dua lagi rakan kongsi yang mempunyai kapasiti serta berpengalaman dalam bidang-bidang tersebut. Alhamdulillah, usaha tersebut ternyata berbaloi dan sehingga hari ini ENERGETIC POINT masih diberi kepercayaan untuk mengendalikannya.

Shahizam Ibrahim, Kumpulan Energetic Point Sdn Bhd

Petikan dari buku Aspirasi Unikorn Bumipreneur- Stories From the Frontline terbitan NEF. Penulisan asal oleh Ain A. Patakon. Untuk terus membaca kisah pengalaman Shahizam Ibrahim, dapatkan salinan buku ‘Aspirasi Unikorn Bumipreneur – Stories From the Frontline‘ sekarang. Untuk versi e-Book, muat turun di e-Sentral.com.

Leave A Reply

Your email address will not be published.