Berbekalkan pengalaman yang ditimba lebih 30 tahun dalam pengurusan perusahaan dan teknologi automasi industri, Hj.Ir. Aziz Ismail mengunjurkan langkah berani dengan menubuhkan Authentic Venture Sdn Bhd (AVSB) pada tahun 2002. Idea mengusahakan perniagaan sendiri ini tercetus semasa beliau masih mengetuai sebuah organisasi di Amerika Syarikat. Beliau, melihat sendiri kepentingan terhadap aktiviti berkaitan penyelidikan dan pembangunan (research & development) serta pemahaman yang kuat dalam senario pasaran global. Tersenarai sebagai salah satu calon perisian terbaik bumiputera ICT NEF-Awani pada tahun 2011. Melonjakkan nama Authentic Venture Sdn Bhd.
Semasa awal penubuhan AVSB, Hj.Ir. Aziz Ismail sudah menetapkan misi dan visi untuk menjadi peneraju utama dalam produk aplikasi teknologi awan (cloud technology) bagi kegunaan perindustrian kecil dan sederhana (IKS). AVSB berjaya menghasilkan produk aplikasi sendiri iaitu OfficeCentral. OfficeCentral merupakan aplikasi canggih yang memudahkan perjalanan perniagaan sesebuah syarikat menerusi pengurusan perakaunan, sistem gaji, sumber manusia dan sistem jualan. Keberkesanan sistem ini terbukti dengan bilangan pengguna yang semakin meningkat sejak ianya mula dilancarkan. Tidak hairanlah, pada hari ini puluhan ribu orang telah pun menggunakan OfficeCentral sebagai sebahagian daripada rutin bekerja mereka.
Hj.Ir. Aziz Ismail menghasilkan OfficeCentral yang berteraskan cloud technology, ianya menggunakan server sendiri yang memakan kos tinggi dimana hanya syarikat besar sahaja mampu mengeluarkan perbelanjaan tersebut.
Penggunaan teknologi cloud telah menyelesaikan masalah tersebut. Hj.Ir. Aziz Ismail turut mengubah strategi perniagaannya dan menetapkan sistem pembayaran sebelum penggunaan bagi mengelakkan masalah kegagalan pengguna melunaskan caj perkhidmatan.
Pengenalan sistem ini turut mengurangkan kerugian syarikat dan membolehkan operasi diteruskan tanpa kekangan kewangan.
Selain OfficeCentral, AVSB turut menawarkan aplikasi lain termasuk AssetCentral dan Zioola yang membantu meningkatkan tahap kecekapan sesebuah syarikat beroperasi supaya lebih mampan dalam industri masing-masing. AssetCentral adalah sistem yang berfungsi untuk pengurusan aset, pengurusan fasiliti dan sistem penyelenggaraan aset. Manakala Zioola adalah sistem pengurusan projek.
“Kita mesti menawarkan produk yang unik dalam menghadapi persaingan khususnya dari luar negara. Menariknya, OfficeCentral menggunakan cloud technology yang boleh dicapai tanpa mengira lokasi. Ini termasuk menerusi penggunaan telefon mudah alih,” kata Hj.Ir. Aziz Ismail. Beliau juga yakin, aspek kebebasan berurusan yang ada pada OfficeCentral menjadi tunggak utama kejayaan produk ini dalam pasaran selain harganya yang berpatutan.
Beliau memberitahu lagi, produk yang unik perlu melalui penambahbaikan yang berterusan (continuous improvement) agar terus relevan dengan perkembangan semasa. Aspek pemasaran yang kukuh juga penting supaya pelanggan mengenali dan terus memilih produk tersebut.
Kejayaan seperti ini tidak datang sekelip mata. Menurut beliau, pada awal penubuhan AVSB, beliau terpaksa mengeluarkan dana sendiri daripada hasil titik peluh bekerja sebelum ini. Penghasilan produk penyelidikan dan pembangunan lazimnya memerlukan dana besar bagi menampung keperluan tersebut. Hj.Ir. Aziz Ismail turut berterima kasih kepada pihak kerajaan yang membantu dengan berkongsikan data pembangunan produk yang berjaya.
Sebagai usahawan, Hj.Ir. Aziz Ismail menekankan kepentingan membina jaringan (network) yang meluas. “Jaringan memerlukan usaha yang jujur untuk berjaya. Sebenarnya, ia merupakan proses yang memakan masa. Oleh itu, kita perlu bersabar,” katanya lagi.
Selain itu, Hj.Ir. Aziz Ismail memberitahu, semangat bekerja dalam pasukan (strong team work) turut memainkan peranan dalam mengembangkan sebuah perniagaan. Setiap kakitangan perlu bekerjasama dengan baik dan menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan cekap. Kakitangan di AVSB turut berkongsi visi yang sama dalam menjadikan syarikat tersebut, terunggul di rantau Asia. Hj.Ir. Aziz Ismail tidak menafikan, demi mencapai kejayaan, kakitangan perlu mempunyai persekitaran pekerjaan yang kondusif diikuti ganjaran yang setimpal dengan usaha gigih mereka sejajar dengan suasana kompetitif semasa.
Menyentuh tentang pasaran global, AVSB telah mula menembusi pasaran di Indonesia sejak tahun lalu. “Sebenarnya saiz pasaran di Indonesia adalah 10 kali ganda pasaran di negara kita. Malah, kita merancang untuk meluaskan pasaran asia seperti Singapura, Thailand dan Vietnam,” tambah Hj.Ir. Aziz Ismail. Menurutnya lagi, masyarakat luar bersikap lebih terbuka dalam perniagaan. Produk yang bagus dan ditambah dengan perkhidmatan sokongan yang cemerlang merupakan kriteria utama pilihan pelanggan dari luar negara.
Terbaru tentang Authentic Venture Sdn Bhd
Hj.Ir. Aziz Ismail membahagikan masa yang sama rata di Malaysia dan Indonesia setiap bulan sebagai langkah mengembangkan perniagaan ini ke peringkat wilayah (regional). Dalam masa terdekat, AVSB melatih kira-kira empat puluh kakitangan dari syarikat rakan kongsi mereka di Indonesia dalam bidang jualan dan sokongan pelanggan. Buat masa ini, AVSB beroperasi dengan 30 kakitangan di Malaysia dan Indonesia. Syarikat ini juga mempunyai lebih daripada 30 pengedar dan agen jualan di kedua-dua negara.
Beliau berharap, dalam masa lima tahun, AVSB dapat mencapai sasaran 1 juta pengguna. Tambah beliau lagi, syarikatnya sedang bekerjasama dengan universiti tempatan dan di Asia untuk penggunaan OfficeCentral yang lebih meluas. Authentic Venture telah melancarkan Outsourcing initiative yang berfungsi mengambil alih tugas kerja-kerja akaun dan gaji kakitangan melalui outsourcing. Usahasama seperti ini dijangka dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
Kenali Ir Hj.Ir. Aziz Ismail Ismail
Ir Hj.Ir. Aziz Ismail Ismail merupakan graduan dalam bidang kejuruteraan elektronik dan elektrikal dari Universiti Loughborough di United Kingdom sebelum melanjutkan pelajaran peringkat Sarjana dalam Pengurusan Perniagaan di Universiti Malaya. Usahawan kelahiran Muar, Johor ini pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di sebuah syarikat di Amerika Syarikat sebelum menubuhkan perniagaan sendiri.
Beliau memulakan perniagaan pada usia 44 tahun. Ini berbeza dengan kebanyakan usahawan yang bermula sejak usia muda, beliau mengumpul idea dan pengalaman dengan bekerja di beberapa syarikat lain dahulu. Baginya, kepuasan sebenar hanya boleh dinikmati dengan kejayaan hasil usaha dari perniagaan sendiri. Beliau turut bernasib baik kerana mendapat sokongan padu daripada setiap ahli keluarga.
Sebagai seorang ketua keluarga, Hj.Ir. Aziz Ismail kini, lebih bijak menguruskan masa untuk kehidupan peribadinya. Beliau mencari peluang untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga dan insan tersayang.
Kini, tiga orang anaknya turut membantu beliau dalam mengusahakan Authentic Venture Sdn Bhd. Menurut beliau, banyak kelebihan bekerja bersama darah daging sendiri. Antaranya, mereka sekeluarga lebih mudah membahaskan idea baharu dan melontarkan pandangan tanpa rasa kekangan jurang antara majikan dan pekerja. Walaupun ada kalanya, perbahasan tersebut menjadi ‘panas’, namun, ia membuka ruang untuk membolehkan mereka mencari jalan penyelesaian yang lebih sesuai.
Anak, Ir Hj.Ir. Aziz Ismail
Kesempatan penulis untuk menemuramah anak beliau mengenai perasaan bekerja dengan bapanya, Khairun Nisa Aziz. Dari segi perasaannya, “saya rasa seronok dapat membantu ayah saya mengembangkan perniagaan beliau dan diharapkan perniagaan ini dapat dikembangkan ke taraf antarabangsa dan menjadi salah satu nama yang terkenal dan terbaik dalam industri ini. Saya ingin bekerja di tempat yang saya dapat memberikan impak yang besar kepada tempat tersebut dan peluang bekerja bersama ayah saya memberikan kepuasan ini kerana apa sahaja yang dilakukan dalam syarikat akan memberikan impak yang besar.” Seperti ayahnya, Nisa juga bercita-cita untuk mengembangkan AVSB serta melonjakkan nama negara dalam industri IT dan juga menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat.
Penekanan budaya kerja di AVSB mengimplemen aspek kekeluargaan seperti yang dikehendaki oleh bapanya. Tiada jurang antara ahli keluarga dan pekerja. Bagi Nisa, pekerja juga adalah ahli keluarga AVSB. Di sini, pekerja selesa untuk berkongsi idea kreatif dan bekerjasama untuk membangunkan syarikat ke arah lebih baik.
Tips Keusahawanan daripada Ir Hj.Ir. Aziz Ismail
- Tetapkan sasaran dan kenalpasti sasaran utama dalam perniagaan
- Belajar dari kesilapan dan fokus untuk bangun semula dari kegagalan
- Fikir selangkah kehadapan. Jadilah pemain nombor satu dalam bidang (niche) kita.
- Kerja keras dan nikmati setiap apa yang kita lakukan.
- Fikir secara jangka panjang dan kukuhkan kedudukan syarikat anda.