Berita dan Info Bisnes ICT

Sebuah projek
Sebuah projek
Sebuah projek

Soal Jawab Menggaji Pekerja Pertama Untuk Syarikat Permulaan

7.47K 0

Dalam bisnes, untuk kembangkan sebuah syarikat kita perlukan lebih banyak tenaga kerja untuk pastikan segala kerja dalam syarikat dapat dijalankan dengan baik.

Untuk pemilik bisnes yang masih di fasa startup, selalunya mereka ada masalah untuk bangun dan kembangkan bisnes mereka.

Kenapa? Selalunya pemilik bisnes startup ini sudah biasa sibuk berbisnes sendiri.

Lebih parah, gaji untuk diri sendiri pun tidak ambil, kerana bagi mereka, duit syarikat, adalah duit mereka.

Kesudahannya, jualan syarikat itulah gaji, itulah duit untuk balik modal, dan itulah duit untuk bayar kos overhead syarikat.

Bila duit syarikat bocor, pening fikir, mana hilangnya duit syarikat.

Kenapa jualan yang masuk banyak, tetapi duit baki yang tinggal tidak nampak bayang sampai hendak adakan modal bisnes balik pun “semput”.

Mentaliti ini yang membuatkan ramai pemilik bisnes lambat untuk berkembang kerana di fasa startup, mereka dah terperangkap dengan mentaliti sendiri.

Padahal, bila sudah tidak menang tangan, sibuk mengeluh, penat buat bisnes sendiri kerana tiada pekerja.

Padahnya, anda menanggung rugi sebab tidak dapat penuhi kehendak pelanggan.

Jangan takut nak ambil pekerja, kononnya kerana tidak mampu membayar gaji pekerja disebabkan syarikat yang masih kecil.

Percayalah, jika anda ada pekerja yang berkualiti, automatik syarikat anda juga akan makin berkembang.

Bagaimana nak ambil pekerja untuk kali pertama? Apa yang perlu anda ketahui? Teruskan membaca..

Siapa yang saya perlu ambil dahulu?

Mungkin anda keliru siapa yang perlu anda ambil dahulu untuk bersama bangunkan syarikat.

Untuk permulaan, ambil pekerja di bahagian jualan terdahulu.

Ini adalah kerana apabila ada pekerja ini, jualan syarikat akan meningkat, kemudian anda boleh ambil lebih ramai pekerja untuk bantu anda.

Selepas jualan syarikat semakin meningkat, ambil pekerja di bahagian kerja operasi syarikat pula.

Apakah tugasan kerja pekerja di bahagian operasi?

Pekerja operasi ini akan melakukan kerja yang sama dilakukan setiap hari, seperti memasak, mengendalikan bungkusan produk untuk penghantaran, atau mereka yang ada kemahiran sama seperti anda jika anda buka bisnes berasaskan servis perkhidmatan.

Kemudian, bila operasi syarikat semakin teratur, jualan semakin baik, carilah pekerja dibahagian admin untuk bantu anda pastikan segala rekod dokumentasi syarikat dijaga dengan baik.

Selepas itu, barulah anda ambil pekerja untuk sumber manusia, pemasaran, akauntan, mengikut perkembangan syarikat anda.

Bagaimana hendak tapis dan pilih pekerja berkualiti?

Kerisauan kedua selepas takut tidak mampu untuk membayar gaji, adalah “ketakutan tersalah menggaji pekerja yang bermasalah”.

Tidak dinafikan, menguruskan pekerja lebih rumit kerana anda perlu berhadapan dengan banyak ragam. Lain pekerja, lain ragamnya.

Tetapi, anda harus tahu bagaimana untuk tapis calon pekerja yang terpilih untuk menjadi pekerja anda, bermula dari proses temuduga.

Pastikan anda tidak tertipu dengan resume calon yang hadir temuduga, atau kata-kata dan janji manis yang diberi oleh calon.

Silap ambil pekerja, anda sendiri yang pening kepala.

Ketika proses temuduga, pastikan anda uji kemahiran dan kelakuan calon.

Pastikan masa yang ditetapkan untuk temuduga ditepati dengan baik oleh calon, dan pemakaian mengikut etika yang bersesuaian dengan bisnes anda.

Sebagai contoh, anda nak ambil pekerja di bahagian jualan, anda boleh buat role play bagaimana calon cuba membuat jualan dengan pelanggan.

Jika anda jumpa yang calon pekerja bagus, jangan teragak-agak untuk ambil mereka sebelum calon pekerja ini disambar syarikat lain.

Jika anda menemuduga mereka yang berpotensi, ambil dan asah bakat mereka.

Bangunkan kemahiran mereka jika mereka ada kelakuan dan disiplin yang bagus.

Selain itu, jangan lupa untuk lihat usaha calon untuk tahu bisnes apa yang anda jalankan.

Jika mereka sendiri tidak tahu apa bisnes yang anda jalankan, bagaimana mereka hendak jelas samada posisi yang mereka pohon di syarikat anda itu tepat atau tidak untuk diri mereka.

Kemudian, jangan lupa semak dan hubungi rujukan yang diberi dalam resume calon.

Hubungi rujukan yang diletakkan untuk mengenali serba sedikit kelakuan dan kualiti kerja calon pekerja tersebut di tempat kerja mereka yang mereka berkhidmat sebelum ini.

Apakah tanggungjawab hakiki majikan kepada pekerja?

Sebagai majikan, tanggungjawab kepada pekerja bukan semata-mata untuk membayar gaji sahaja.

Jika anda ingin staff yang anda ambil itu terus membangun, berprestasi tinggi, anda sendiri kena bantu kembang dan tambah kemahiran mereka.

Jangan kedekut untuk hantar pekerja anda ke kelas atau latihan yang boleh membantu mereka perbaiki kualiti kerja mereka.

Apabila kemahiran mereka bertambah, prestasi kerja juga semakin baik, jualan syarikat anda juga tidak mustahil untuk meningkat.

Jangan takut untuk bangunkan pekerja anda kerana takut mereka akan pergi ke syarikat lain selepas pandai semua benda.

Jika anda tunjuk bagaimana kerjaya mereka boleh berkembang dan membangun dengan syarikat anda, sudah pasti mereka akan kekal lebih lama dengan syarikat anda.

Macam mana nak pastikan pekerja anda boleh menghasilkan kerja yang berkualiti seperti anda buat?

Ramai pemilik bisnes terutamanya bisnes servis, mereka takut untuk mengagihkan kerja yang mereka biasa buat sebelum ini kepada pekerja.

Ini adalah kerana, mereka takut pekerja mereka tidak mampu untuk menghasilkan kerja yang berkualiti sama, seperti mereka buat sebelum ini.

Untuk mengelakkan masalah ini terjadi, sediakan Standard Operational Procedure (SOP) sama ada dalam bentuk video, bergambar, atau bertulis dan berikan kepada pekerja untuk ikut satu persatu langkah untuk siapkan sebuah tugasan.

Sebelum anda berikan SOP kepada pekerja, pastikan anda cuba terdahulu SOP yang anda buat, sama atau tidak hasilnya dengan kualiti kerja yang anda mahukan.

Jika sama, anda boleh terus bagi SOP tersebut kepada pekerja anda.

Jika tidak, anda perlu perketatkan dan perbaiki lagi SOP tersebut, sehinggalah hasilnya sama seperti kualiti yang anda inginkan.

Berapa gaji bulanan yang perlu dibayar kepada seorang staff?

Contoh anda mengambil seorang pekerja di bahagian operasi, bergaji RM 1000 sebulan.

RM1000 itu adalah gaji kasar.
Belum masuk caruman yang perlu anda bayar lagi.

Ada tiga caruman wajib yang perlu majikan jelaskan setiap bulan.

1- EPF atau KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja)

Daripada gaji kasar seorang pekerja, anda perlu membayar 13% daripada gaji mereka untuk skim simpanan wang saraan pekerja tersebut, manakala pekerja ditolak 11% dari gaji mereka.

Ini bermakna:
RM 1000 x 13% = RM 130
Ini adalah jumlah untuk caruman KWSP.

2- Caruman SOCSO

Untuk SOCSO, majikan perlu bayar syer mengikut tangga gaji yang telah ditetapkan oleh PERKESO.

Untuk gaji RM 1000, syer majikan yang perlu dibayar adalah RM 18.35.

Anda boleh rujuk link ini untuk semak kadar caruman yang perlu anda bayar mengikut gaji pekerja anda :
https://www.perkeso.gov.my/index.php/ms/kelayakan-majikan-pekerja/kadar-caruman

3- Caruman SIP (Sistem Insuran Pekerja)

Caruman SIP adalah caruman baru yang diperkenalkan oleh PERKESO pada Januari 2018.

Kadar caruman yang perlu dibayar oleh majikan untuk SIP adalah 0.2% daripada gaji pekerja anda.

RM1000 x 0.2% = RM 2.00.

Oleh itu, jumlah komitmen anda secara kasar untuk seorang pekerja yang bergaji RM 1000:
Gaji + EPF + SOCSO + SIP
RM 1000 + RM 130 + RM18.35 + RM 2 = RM 1150.35 sebulan.

Ini tak termasuk dengan elaun, komisyen, claim pekerja.

Untuk elakkan kadar caruman dibayar tinggi, anda jelaskan segala elaun, komisyen dan claim pada pertengahan bulan.

Perlu ke ambil gaji untuk bisnes sendiri?

Ya, jika tidak bagaimana duit syarikat hendak stabil.

Jualan syarikat baru saja nak berkepuk anda sudah ambil duit syarikat untuk reward diri.

Kalau tiada gaji yang anda ambil untuk diri anda, secara tidak sedar nanti anda akan “tercuri” duit syarikat sendiri kerana apabila hendak pakai duit, anda ambil tanpa membuat kira-kira.

Tidak salah untuk reward usaha anda, tetapi pastikan anda asingkan siap-siap bajet anda, ataupun cuba gunakan kira-kira ini:

Jumlah jualan bulanan – kos pemasaran- kos overhead – kos operasi = keuntungan bulanan syarikat.

Daripada keuntungan tersebut, anda buat pecahan sebagai contoh seperti ini..
15 % simpanan tetap
15 % simpanan untuk pembangunan syarikat

10 % reward diri dan pekerja

Apabila anda sudah pecahkan, anda boleh simpan siap-siap keuntungan syarikat dan lagi mudah untuk anda kawal duit syarikat.

Apakah alternatif untuk urus pekerja, tanpa perlu ambil pekerja HR?

Di fasa startup memang agak sukar untuk ambil pekerja HR untuk terus masuk dalam syarikat.

Jangan risau, anda boleh menggunakan sistem-sistem HR yang boleh bantu anda untuk uruskan pekerja dalam pengiraan gaji, cuti, caruman dan banyak lagi.

Di antara sistem yang boleh anda gunakan adalah :

Kakitangan.com, Orisoft, HR 2000, sumbermanusia.my dan banyak lagi.

Selalunya, sistem-sistem ini perlu di bayar untuk subscription setahun terus.

Kenapa anda perlu ada sistem HR ini untuk uruskan pekerja?

Dalam kesibukan menguruskan syarikat, adakah anda rasa anda mempunyai masa untuk menjaga rekod gaji, rekod cuti, maklumat pekerja dengan baik?

Sekurang-kurangnya jika ada sistem, anda ada backup dokumen-dokumen yang berkaitan dengan pekerja anda.

Sebagai contoh, melalui sistem HR ini, anda boleh mengira gaji pekerja dengan lebih mudah.

Lebih menarik, slip gaji juga anda tidak perlu buat secara manual, kerana terdapat sistem HR yang terus membuat slip gaji pekerja, malah terus hantar ke email pekerja anda.

Masa anda lebih banyak, dan sistem ini juga lebih mesra alam, anda dapat kurangkan kos untuk cetak slip gaji pekerja.

Malah, untuk permohonon cuti juga dapat dikawal daripada masalah pekerja mohon cuti berlebihan.

Ramai majikan tidak sedar mereka dengan baik hatinya memberi cuti berlebihan kepada pekerja mereka.

Mengapa?

Sebab bila pekerja mohon cuti, anda tiada masa untuk merekod berapa hari cuti tahunan yang telah digunakan, berapa hari cuti sakit yang dimohon oleh pekerja anda.

Sekurang-kurangnya sistem HR secara tidak langsung menyimpan rekod-rekod ini bukan sahaja untuk mudahkan anda, malah untuk memantau prestasi dan disiplin pekerja.

Paling tidak, anda tahu siapa di kalangan pekerja anda yang betul-betul berkualiti, siapa yang tidak.

Daripada anda hendak kira gaji pekerja seorang demi seorang , semak cuti pekerja tinggal berapa, perlu uruskan bisnes lagi, semuanya makan masa yang banyak.

Kesimpulannya, jangan terlalu lama takut untuk ubah kebiasaan anda biarkan bisnes anda bergantung “harap” sepenuhnya pada diri anda.

Jangan bila anda sakit, bisnes anda ikut sakit, bila anda cuti, bisnes turut bercuti.

Ambil pekerja untuk bantu anda kembangkan bisnes, kembangkan syarikat, okay? Selamat bangunkan syarikat!

Leave A Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.