Berita dan Info Bisnes ICT

Sebuah projek
Sebuah projek
Sebuah projek

Kerjasama Untuk Capai Lebih Ramai Penonton Digital

2.04K 0

KUALA LUMPUR: Media Prima Bhd (MPB), kumpulan media bersepadu terbesar di Malaysia, bekerjasama dengan YouTube melalui perkhidmatan ‘Player for Publishers’ dalam usaha mengukuhkan lagi kedudukannya dalam industri media digital di Malaysia.

Menerusi kerjasama itu, kandungan video bermutu tinggi yang dihasilkan oleh MPB termasuk dari rangkaian televisyen, radio, The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) dan Media Prima Digital kini boleh didapati di YouTube.

Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Datuk Kamal Khalid, berkata kumpulan kini sedang memperluaskan kewujudan digitalnya dan kerjasama itu akan mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai syarikat media digital paling besar di Malaysia.
Katanya, ketika ini terdapat permintaan yang tinggi untuk kandungan digital daripada penonton dan pengiklan mereka.

“Dengan kandungan tempatan kami yang popular dan juga penggunaan YouTube yang popular dalam kalangan penonton Malaysia, kami melihat ini sebagai penyelesaian mampan untuk menyerlahkan potensi penuh kandungan kami bagi menjana pendapatan lebih tinggi.

“Selain itu, kerjasama ini juga membolehkan kumpulan mengurangkan kos dengan memasukkan pemain video di dalam platform milik MPB di samping memberi peluang kepada penonton untuk menikmati tontonan video yang lebih baik melalui pelbagai peranti.

“Langkan ini akan membolehkan MPB menjana pendapatan mampan melalui periklanan programatik, satu daripada segmen pendapatan digital yang pesat berkembang,” katanya pada sidang media mengumumkan kerjasama itu di sini, sebentar tadi.

Hadir sama Pengarah Urusan Google Malaysia, Vietnam, Filipina dan Pasaran Baharu Muncul, Sajith Sivanandan; Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN), Johan Ishak.

Ditanya sama ada kerjasama itu akan menjejaskan perkhidmatan penyiar kandungan ‘over-the-top’ (OTT), tonton, Kamal menjelaskan kedua-duanya menawarkan perkhidmatan kepada penonton yang berbeza.

“Buat masa ini saya fikir tonton ditonton oleh penonton yang berbeza, kerana ia menawarkan perkhidmatan berasaskan langganan. Malah, terdapat beberapa kandungan ekslusif yang hanya akan boleh diakses di tonton.

“Tetapi, akan tiba pada satu tahap nanti kami perlu memutuskan apakah model yang paling berkesan dari segi membolehkan penonton mengakses kandungan video kami,” katanya.

Mengulas lanjut Kamal berkata, pihaknya menyasarkan pertumbuhan sektor digital kumpulan untuk berkembang sebanyak dua angka pada tahun ini.

Katanya, bagi memastikan sasaran itu dapat dicapai pada tahun ini dan tahun yang mendatang, maka adalah penting untuk pihaknya sentiasa berinovasi.

Sementara itu, menyentuh mengenai kerjasama dengan MPB, Sajith berkata, lebih banyak kandungan tempatan di YouTube, maka lebih banyak inventori untuk pengiklan mencapai pelanggan mereka.

“Kerana itu kami berterima kasih kepada Media Prima kerana membantu merancakkan lagi landskap YouTube Malaysia.

“Ini kerana, kami di Google dan YouTube adalah peminat utama untuk kandungan tempatan dan mengiktiraf yang kita semua adalah sebahagian daripada ekosistem yang sama,” katanya.

Player for Publishers YouTube dilancarkan buat pertama kali di Eropah pada tahun 2015 dan kini telah digunakan oleh lebih 100 penerbit di 25 negara.

Di Malaysia, MPB adalah syarikat media pertama menggunakan perkhidmatan berkenaan.




Sumber: Harian Metro, Berita Harian

Leave A Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.