Berita dan Info Bisnes ICT

Sebuah projek
Sebuah projek
Sebuah projek

Wan Hairul Azzuan Berhenti Kerja Notis 24jam, Fokus Kepada Terapi

4.52K 0

Wan Hairul Azzuan Bin Wan Hanudin membuat satu keputusan drastik yang mendapat tentangan dari keluarga dan rakan. Keputusan berhenti kerja 24 jam yang menyebabkan beliau meninggalkan pendapatan yang selesa semasa bekerja disebuah bank koperasi. Walaubagaimanapun, inilah keputusan yang menyebabkan beliau terpilih untuk menyertai e@Standford Program oleh MaGIC dan berada dalam senarai “Startups To Watch For In 2018.”

Beliau mengambil keputusan untuk mewujudkan sebuah syarikat permulaan yang tertumpu kepada pemodenan industri perkhidmatan urutan setelah beliau dan isteri mengalami kesukaran untuk mendapatkan bidan bagi perkhidmatan urutan selepas bersalin.

“Bermula dari situ, saya telah mendapat idea untuk mewujudkan platform Terapi.my yang dapat menghubungkan pelanggan dan Juru Urut. Selepas dibangunkan, kami dapat tahu begitu ramai sekali Juru Urut di sekitar Lembah Klang.”

Idea perkhidmatan urut ini menyebabkan Terapi.my dipilih sebagai penerima geran TERAJU menerusi program SUPERB pada akhir tahun 2015. Pada tahun berikutnya, Terapi.my terpilih untuk e@stanford Program oleh MaGIC.

Industri perkhidmatan urutan bukanlah sesuatu yang baru. Ia telah wujud sejak sekian lama dan dikenali di seluruh tempat. Namun, persepsi masyarakat terhadap industri ini tirus kearah persepsi yang negatif. Walaubagaimanapun, Terapi.my tidak diam begitu sahaja. Apa yang mereka lakukan adalah memodenkan indusrti ini dan mengubah persepsi pelanggan terhadap perkhidmatan yang ditawarkan.

Sebelum membangunkan Terapi.my, Wan Hairul Azzuan sebelum ini merupakan penganalisa data di sebuah bank koperasi terbesar di Malaysia. Beliau juga pernah menjalankan perniagaan F&B pada tahun 2011. Namun menurutnya, “hasilnya tidak memuaskan.“

Memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Statistik (UPM), Wan Hairul Azzuan mengambil masa hampir setahun untuk melakukan validasi terhadap pelanggan dan Juruterapi.

“Proses validasi dilakukan lebih tertumpu kepada permintaan dari sudut pelanggan. Dari sudut supply, kami tidak mengalami masalah disebabkan bilangan Juru Urut yang mencukupi.”

Menurutnya lagi, “Disebabkan urut adalah perkhidmatan yang sering dijadikan bualan negatif dikalangan orang ramai terutamanya golongan lelaki, kami mengambil banyak pendekatan dengan memberikan “Free Trial” dan diskaun kepada pelanggan pada awal operasi bagi mendapatkan respon dan feedback daripada pelanggan.”

“Terapi.My bermula sebagai sebuah platform tempahan rawatan tradisional pada akhir tahun 2016. Antara servis yang ditawarkan adalah Urutan, Bekam dan Refleksologi.”

Langit tidak sentiasa cerah, Terapi.my terpaksa terpaksa mengugurkan perkhidmatan bekam dan refleksologi atas beberapa faktor kekangan daripada Akta Perubatan Tradisional & Komplementari 2016.

“Kami kini hanya memberi fokus kepada servis urutan sahaja. Untuk servis urut ke rumah dan di pejabat.”

Pada 6 bulan pertama penubuhan Terapi.my, beliau terpaksa menjalankan operasi secara seorang diri. Kini beliau  dibantu oleh Ahmad Munawar sebagai CMO, Helmi Ruza sebagai CTO dan seorang Fatin Amylia sebagai Admin Executive.

Menurutnya, antara cabaran yang beliau terpaksa hadapi hampir setiap hari adalah melayan pelanggan yang tidak senonoh.

“Kami terpaksa melayan hampir setiap hari pelanggan “gatal” yang ingin urutan batin. :p”

Meskipun Terapi.my adalah pelantar yang dibangunkan untuk menghubungkan pelanggan dengan Juru Urut seperti aplikasi Grab, tidak semua individu yang mempunyai kemahiran mengurut dapat menyertai pelantar ini.

Disebabkan perkhidmatan urutan di Malaysia diletakkan di dalam industri perubatan, segala tapisan dan kelayakan untuk menjadi Juru Urut dikawalselia oleh Kementerian Kesihatan.

“Kami mengadakan kerjasama dengan Institut Pengajian Tinggi seperti Institute of Pysical Science, Culture & Arts bagi mendapatkan pemegang Sijil Urut Melayu yang diiktiraf. Terbaru, kami telah mengadakan kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan menerusi IKBN Kuala Langat bagi mendapatkan Juru Urut terlatih di dalam Urutan Sukan dan Urutan Korporat.”

Sehingga kini lebih daripada 2000 pelanggan di sekitar Lembah Klang telah mendapatkan perkhidmatan urut ke rumah daripada Juru Urut melalui pelantar Terapi.my.

Terap.my melangkah setapak lagi dengan memperkenalkan perkhidmatan Corporate Massage (Urutan Korporat) di mana perkhidmatan mengurut dilakukan di pejabat-pejabat.

“Kami di dalam tempoh mempromosikan servis Corporate Massage kami untuk syarikat-syarikat di sekitar Lembah Klang. Harganya bermula serendah RM900 sahaja dan layak untuk mendapatkan pengecualian cukai. Sekiranya berminat, boleh layari website kami di www.terapi.my atau PM FB page kami.”

“Khas untuk tech startup di Malaysia yang ada ramai coders, jom try servis Corporate Massage kami, ada special price buat korang! Penat duk buat coding berjam-jam.”

Dalam tempoh 5 tahun mendatang, Wan Hairul Azzuan melihat Terapi.My sebagai sebuah syarikat yang melengkapi ekosistem industry urutan di Malaysia. Tidak hanya menawarkan servis urut, Terapi.My akan menjadi satu pusat Pendidikan yang melahirkan Juru Urut bertauliah.

Sepanjang operasi Terapi.my, Wan Hairul Azzuan dan pasukannya telah banyak berurusan dengan agensi-agensi kerajaan.

“Bagi kami ianya penting kerana dengan cara ini kepercayaan pelanggan kepada kami secara langsung akan meningkat. Dari ilmu di dalam perniagaan, kami banyak mendapat tips daripada Sam Shafie daripada PitchIN yang merupakan mentor kami di dalam menjalankan operasi Terapi.My”

Di masa lapangnya, beliau banyak membantu usahawan menghasilkan pitch deck dan kertas cadangan perniagaan beberapa syarikat permulaan di Malaysia ini. Ada yang berjaya mendapatkan geran dan pembiayaan yang besar dari pelabur.

Sebelum mengakhiri temuramah, beliau sempat berjenaka “Yang pasti saya peminat tegar Arsenal. Haha.”

Leave A Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.