Berita dan Info Bisnes ICT

Sebuah projek
Sebuah projek
Sebuah projek

Siapa Yang Kena Bayar Cukai? Anda Atau Google & Facebook?

4.78K 1

Jawapannya amat mudah. Tetapi sebelum itu, kita kena kenalpasti terlebih pihak-pihak yang terlibat. Pertama, Syarikat Google & Facebook, Kedua, pengiklan (advertiser) dan ketiga pengguna biasa.

Menurut InternetWorldStats.com, terdapat 25,084,255 pengguna internet di Malaysia dan 22,000,000 adalah Facebook. Satu jumlah yang besar dan menguntungkan jika 1% dari jumlah tersebut menyumbangkan 10sen dalam bentuk bayaran perkhidmatan pengiklanan, perolehan yang dijana kedua syarikat itu menerusi pelantar pengiklanan digital di negara ini.

Bayangkan berapa juta keuntungan yang diperoleh dari kedua-dua syarikat ini tanpa membayar cukai seperti yang dikenakan ke atas syarikat tempatan. Atas sebab itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Star Datuk Seri Wong Chun Wai mencadangkan kedua-dua syarikat gergasi ini dikenakan cukai kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang seterusnya akan dibawa ke kabinet.

Kerisauan melanda warga pengguna kedua-dua perkhidmatan ini apabila keluar tajuk berita “Cadangan Cukai Google, Facebook Akan Dibawa Ke Kabinet – TPM.” Tajuknya sahaja sudah menyebabkan berita ini menjadi tular, lebih-lebih lagi dikalangan pengguna media sosial Facebook.

Sekarang, jika anda salah seorang Pengguna biasa (yang tidak ada pengetahuan dalam hal cukai) dan anda sekadar membaca tajuknya sahaja tanpa membaca artikel penuh dan konteks keseluruhannya, maka anda akan salah faham.

Barangkali anda mungkin sudah terfikir, “guna facebook nanti pun kena bayar cukai”, “ni 1MDB punya pasal”,”semua benda kerajaan nak cukai” dan bermacam-macam lagi andaian negatif.

Sebelum anda mulakan segala sesi caci-cacian terhadap mana-mana individu dan pentadbiran negara, baca terlebih dahulu artikel tersebut (dan ya, tajuk berita tersebut sememangnya misleading.)

Maksud sebenar tajuk berita tersebut adalah syarikat “Google” dan “Facebook” yang akan dikenakan cukai. Bukannya pengguna biasa.

Untuk pengetahuan anda, setiap syarikat yang beroperasi di Malaysia tidak kira sole proprietor mahupun Sdn. Bhd. tidak terlepas dari dikenakan cukai. Ia adalah perkara biasa dalam perniagaan dan diamalkan di seluruh dunia. Walaubagaimanapun, kedua syarikat ini, Google dan Facebook mengesploitasi kelemahan pencukaian di mana transaksi tidak berlaku di Malaysia.

Dengan jutaan pengguna Facebook dan Google di Malaysia, kedua-dua syarikat sendiri menjana jutaan ringgit melalui pengguna tempatan tanpa dikenakan cukai. Ini menimbulkan ketidakpuashatian terhadap syarikat tempatan yang membayar.

Bukan Malaysia sahaja yang ingin mencukai kedua-dua syarikat gergasi ini. Indonesia dan Australia juga telah mengambil tindakan yang sama dan dengan jayanya. Indonesia telah mencapai kata sepakat dengan Google pada 2016 lepas. Manakala Australia pula telah membuat perubahan pada sistem cukai mereka, sekaligus membuat Google dan Facebook membayar cukai berdasarkan keuntungan yang dijana di negara berkenaan.

Kesimpulannya, yang perlu membayar adalah syarikat “Google dan Facebook” dan anda sebagai pengguna biasa kedua-dua pelantar tersebut, tidak. Tetapi tunggu dulu. Jika anda seorang pengiklan yang menggunakan Google Adwords dan Facebook Ads, maka anda perlu membayar cukai yang dikenali sebagai Cukai Pegangan (Withholding Tax)

Menurut satu artikel pada facebook…

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menjelaskan bahawa bayaran yang dibuat kepada Google dan Facebook untuk khidmat pengiklanan adalah sebagai royalti dan bukan bayaran untuk perkhidmatan.

Persatuan Internet Marketer telah berjumpa dengan LHDN membincangkan mengenai cukai pegangan terhadap Facebook Ads dan Google Adwords ini. Persoalannya adakah perbelanjaan Facebook Ads dan Google Adwords adalah satu perbelanjaan yang dibenarkan dalam cukai.

Setelah bermesyuarat, keputusan dikeluarkan oleh LHDN kemarin. Kedua-dua iklan di atas adalah tertakluk kepada cukai pegangan sebanyak 8% disebabkan Facebook Ads tidak beroperasi di Malaysia.

1)Dalam konteks ni, ia tertakluk kepada cukai pegangan disebabkan:
-Invois cukai Facebook Ads dikeluarkan oleh syarikat yang bukan diperbadankan di Malaysia
-Syarikat membayar royalti untuk Facebook Ads, jadi takrif royalti memang dikenakan bayaran cukai
-Perkhidmatan Facebook Ads disediakan untuk perniagaan di Malaysia
-Syarikat Facebook Inc. tidak dikenakan cukai di Malaysia. Oleh itu, pengguna yang menggunakan perkhidmatan ini perlu membayar cukai 8%.

Ini bermakna, Sekiranya perbelanjaan syarikat ke atas pengiklanan menggunakan Facebook Ads adalah sebanyak RM100,000 setahun, cukai 8% dikenakan berjumlah RM8,000 dan dibayar kepada LHDN, serta dikira dalam pengiraan cukai syarikat.

Dan sekiranya mana-mana syarikat syarikat menggunakan khidmat syarikat pemasaran internet dan invois dikeluarkan oleh syarikat tersebut yang bermastautin di Malaysia, maka syarikat yang mengupah tidak tertakluk dalam pembayaran cukai pegangan 8% seperti di atas.

Sebagai contoh, syarikat ABC Sdn. Bhd menggunakan khidmat syarikat DEF Sdn. Bhd pemasaran internet, maka syarikat yang perlu membayar cukai 8% tersebut adalah syarikat DEF Sdn. Bhd.

Ringkasnya, yang perlu membayar cukai adalah Syarikat Google & Facebook dan pengguna yang menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh kedua syarikat ini. Sebagai pengguna biasa, anda tidak perlu risau.

Kemaskini : Google Malaysia telah mengeluarkan komen, mengatakan “Kami membayar segala cukai yang dikenakan kepada kami di Malaysia, dan kami sering bekerjasama dengan pihak kerajaan dalam pelbagai isu.”

 

One Comment

Leave A Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.