Berita dan Info Bisnes ICT

Sebuah projek
Sebuah projek
Sebuah projek

Panduan Fundraising Startup:Bahagian #2 – Kira-kira “Valuation” Syarikat

4.88K 0

Dalam artikel ini, kita akan kupas hal ehwal ‘valuation’ – satu perkara yang menjadi buah mulut para usahawan.

Yelah, lagi tinggi ‘valuation’ lagi bagus, tidak? Lagi bernilai syarikat kita di mata para pelabur.

Artikel ini adalah artikel kedua daripada siri Panduan ‘Fundraising’ Startup. Sekiranya tuan/puan belum baca Bahagian #1, boleh terus ke link di bawah:

1. Bahagian #1 – Pengenalan dan Asas ‘Fundraising’
2. Bahagian #2 – Kira-Kira ‘Valuation’ Syarikat 
2. Bahagian #3 – Pelabur: Siapa Mereka dan Apa Mereka Mahu? (Akan Datang)
3. Bahagian #4 – ‘Pitching’ dan ‘Pitch Deck’: Faktor Kritikal Untuk Mendapat Pelaburan (Akan Datang)

BAHAGIAN #2 – KIRA-KIRA ‘VALUATION’ SYARIKAT

BAGAIMANA HENDAK TENTUKAN NILAI SYARIKAT

money-2724241_1280

“OK Nadhir. Pelabur dah jumpa. Strategi dah mantap. Hala tuju jelas. Dia sangat berminat nak melabur. Tapi berapa peratus saham mahu diberi? Bagaimana hendak letak nilai syarikat (‘valuation’)?”

Ha.. ini soalan lazim yang saya biasa dengar.

Jawapan paling senang adalah: nilai ini adalah ‘willing buyer, willing seller’. Maknanya sekiranya pelabur setuju, itulah nilainya! Nak jual RM100 trillion pun boleh. Tapi ada orang nak beli kah?

Namun begitu, adalah beberapa tanda aras atau ‘metric’ yang boleh digunakan untuk meletakkan nilai sesebuah syarikat.

Antaranya adalah:

a) Price/Earnings Ratio (PER atau P/E ratio)

Graduan kewangan/pelabur tegar mesti biasa dengar nisbah atau ‘ratio’ ini.

Cara untuk dapatkan P/E Ratio adalah seperti berikut:

Nilai syarikat = RM1,000,000
Untung bersih tahunan = RM100,000
P/E ratio = 10x

Untuk menilai syarikat kita, yang sudah ada untung bersih, kita boleh ambil untung bersih tahunan syarikat kita dan darabkan dengan P/E ratio purata industri.

Bagaiman hendak dapatkan P/E ratio purata industri? Yang ini kena buat sedikit kajian lah. Perlu belek angka-angka di Bursa Malaysia (www.bursamalaysia.com) atau https://www.thestar.com.my/business/marketwatch/.

Secara umum: lebih tinggi P/E ratio, lebih tinggi jangkaan pertumbuhan syarikat tersebut pada masa hadapan.

Sebagai contoh,

Untung bersih tahunan = RM100,000
P/E ratio purata industri = 15x
Nilai syarikat = RM1,500,000

b) Price/Sales (P/S Ratio)

P/S Ratio lebih kurang sama dengan P/E ratio. Namun begitu, ianya menggunakan angka jualan berbanding dengan angka keuntungan.

Sebagai contoh:

Nilai syarikat = RM1,000,000
Jualan tahunan = RM1,000,000
P/S Ratio = 1.0x

P/S ratio selalunya digunakan untuk menilai syarikat yang belum ada untung.

c) Discounted Cash Flow (DCF)

Ha, ini rumit sikit. Saya dulu ambil masa berbulan nak faham di universiti.

Huraian paling simple boleh saya terangkan adalah: Analisa DCF mengira nilai syarikat dengan mengujurkan ‘cashflow’ syarikat tersebut daripada sekarang sampai masa depan dan ‘discount’kan ‘cashflow’ tersebut pada nilai hari ini.

Saya ada satu soalan:

Sekiranya tuan/puan ada pilihan, (1) dapat RM10,000 hari ini atau (2) dapat RM10,000 pada tahun depan. Mana yang tuan/puan akan pilih?

Tentunya RM10,000 hari ini kerana tuan/puan boleh melaburkan RM10,000 tersebut dalam masa setahun dan dapatkan lebih daripada RM10,000. Mungkin RM10,600 selepas melabur dalam ASB (6%). RM10,000 pada tahun depan juga mungkin akan surut nilainya disebabkan inflasi.

Dalam erti kata yang lain, nilai RM10,000 pada tahun depan bagi saya adalah RM9,434 sekarang (RM10,000 / 1.06).

Ini adalah konsep Time Value of Money (TVM).

Dengan menggunakan TVM dan DCF, kita dapat membuat sedikit kiraan untuk menilai syarikat kita.

Sebagai contoh, Syarikat Buah Nadhir Sdn Bhd mempunyai angka-angka berikut:

Tahun 1
Tahun 2
Tahun 3
Tahun 4
Tahun 5
Jangkaan net cashfow
RM10,000
RM10,000
RM10,000
RM10,000
RM10,000
Discount rate
6%
6%
6%
6%
6%
Kiraan
RM10,000 / (1.06)
RM10,000 / (1.06)^2
RM10,000 / (1.06)^3
RM10,000 / (1.06)^4
RM10,000 / (1.06)^5
Nilai cashflow hari ini (Tahun 0)
RM9,433.96
RM8,899.96
RM8,396.19
RM7,920.94
RM7,472.58
Nilai Syarikat
RM42,123.64

Sekiranya tuan/puan mahu huraian yang lebih lengkap boleh rujuk video ini: https://www.youtube.com/watch?v=EXxdx23fz8A

d) Venture Capital (VC) Method

VC Method pula adalah satu cara untuk menilai syarikat yang kebiasaanya dalam Mazhab Laju – mereka mahu dominasi pasaran dan jual saham mereka kepada jerung yang lebih besar pada satu hari nanti.

Untuk cara kiraan ini kita akan gunakan kedua-dua kaedah DCF dan juga P/E.

Sebagai contoh:

  • Owner syarikat mahu ‘exit’ dan jual syarikat mereka pada tahun ke-5
  • Jangkaan keuntungan syarikat pada tahun ke-5 = RM1,000,000
  • Jangkaan P/E ratio purata industri pada tahun ke-5= 20x
  • Peratus pulangan yang diinginkan = 30%

Kiraanya adalah:

Ambil untung tahun ke-5 RM1,000,000 darab dengan P/E ratio industri iaitu 20x = RM20,000,000

Kemudian bahagikan RM20,000,000 dengan 30% peratus pulangan yang diinginkan

Maka, RM20,000,000 / 1.30 = RM15,384,615

Jadi nilai syarikat yang mempunyai angka-angka di atas adalah RM15,384,615.

Sekiranya tuan/puan mahu pencerahan yang lebih lanjut boleh rujuk video ini: https://www.youtube.com/watch?v=rZHlTEknXHM

Pelabur profesional mempunyai tanda aras berdasarkan pengalaman mereka untuk meletakkan ‘valuation’ kepada syarikat. Ianya bukan sains atau berformula, tetapi ianya lebih kepada kombinasi pengalaman, seni dan sains. Antara faktor-faktor yang diambil kira adalah saiz pasaran, potensi pasaran, sektor, kepakaran tim pengurusan, angka-angka dan potensi hadapan.

 

PRE-MONEY VALUATION DAN POST-MONEY VALUATION

PrePostValuation

OK, nilai syarikat sudah kita tentukan. Jadi berapa peratusan saham yang kita patut beri?

Kira-kira ini bergantung kepada Post-Money Valuation syarikat kita.

Pencerahan:

a) Pre-money valuation

Nilai syarikat TANPA nilai pelaburan baru yang kita akan terima.

Sekiranya nilai syarikat yang kita tentukan berdasarkan metric di atas adalah RM1,000,000.

Maka nilai pre-money valuation kita adalah RM1,000,000.

b) Post-money valuation

Nilai syarikat DENGAN nilai pelaburan baru yang kita akan terima.

Contoh:
Nilai syarikat (pre-money) = RM1,000,000
Nilai pelaburan baru = RM100,000
Nilai post-money = RM1,100,000
Peratusan saham pelabur baru = 9.09% (RM100,000 / RM1,100,000)

Selalunya, apabila kita buat ‘pitching’ kepada pelabur, dan mereka bertanya “Apakah valuation syarikat?” – jawab dengan nilai pre-money. Ini adalah nilai syarikat tuan/puan TANPA apa-apa pelaburan baru.

Sekiranya tuan/puan sudah membuat ketetapan seperti:

“Saya akan beri 20% saham syarikat saya dengan pelaburan sebanyak RM100,000”

Makanya tuan/puan sudah tetapkan nilai post-money syarikat sebanyak RM500,000 (RM100,000 / 20%). Maka, kiraan pre-money valuation untuk kiraan di atas adalah RM400,000 (RM500,000 – RM100,000).

Harap teranglah, kalau tak terang lagi boleh rujuk lagi laman video ini: https://www.youtube.com/watch?v=seckHsAEi6k

 

KELUARKAN SAHAM BARU VS JUAL SAHAM

KeluarJualSaham

Apabila saya minum kopi dengan usahawan baru mereka kadang-kadang tidak faham dengan konsep keluarkan saham baru dan jual saham.

Kedua-duanya sangat berbeza.

Secara mudah, kita:

  • Keluarkan saham baru kepada pelabur baru sekiranya kita mahukan duit itu masuk dalam akaun bank syarikat.
  • Jual saham kita kepada pelabur baru sekiranya kita mahukan duit itu masuk dalam akaun bank kita.

Jom kita tengok beberapa contoh, dengan menggunakan konsep-konsep yang kita sudah belajar di bahagian #1 dan di atas.

a) Keluar saham baru

Radzi mahukan modal baru untuk kembangkan syarikat beliau, Syarikat Raeesa Bersatu Sdn Bhd. (SRB)

Beliau mahukan suntikan modal RM500,000. Pre-money valuation yang beliau mahukan adalah RM2,000,000. Harga satu saham adalah RM1.

Maka beliau sanggup memberi 20% (RM500,000 / RM2,500,000 [post-money valuation]) kepada pelabur baru, iaitu Fuqaha.

Ini adalah ‘Capitalization Table’ (rajah yang menunjukkan siapa, mempunyai berapa banyak saham, dan peratusan) syarikat beliau sebelum mendapat suntikan modal:

Nama
Saham
Peratusan syarikat yang dimiliki
Radzi
2,000,000
100%

Untuk memastikan duit itu sampai ke akaun bank syarikat (dan bukan akaun bank beliau), beliau keluarkan saham baru untuk suntikan modal RM500,000 ini.

‘Capitalization Table’ yang baru adalah seperti berikut:

Nama
Saham
Peratusan syarikat yang dimiliki
Radzi
2,000,000
80%
Fuqaha
500,000
20%

Selepas ‘exercise’ ini SRB mempunyai modal sebanyak RM500,000 dalam akaun bank untuk mengembangkan operasi mereka.

b) Jual saham

Jual saham pula adalah apabila kita mahu ‘exit’ atau jual saham kita kepada orang lain.

Contoh adalah apabila Azri mahu membeli saham daripada Radzi.

Memandangkan SRB sudah lebih maju dan angka-angka lebih bagus, maka pre-money valuation yang diminta sudah meningkat 2x sebanyak RM4,000,000 atau RM2 satu saham.

Azri mahu membeli saham bernilai RM1,000,000 daripada Radzi.

Jadi, jumlah saham yang akan dibeli adalah 500,000 unit saham (RM1,000,000 / RM2). Atau 20% daripada total saham syarikat.

Maka, Capitalization Table baru adalah seperti berikut:

Nama
Saham
Peratusan syarikat yang dimiliki
Radzi
1,500,000
60%
Fuqaha
500,000
20%
Azri
500,000
20%

Selepas ‘exercise’ ini, Radzi akan menjadi lebih kaya RM1,000,000 kerana duit ini masuk ke dalam akaun bank beliau. Syarikat RSB tidak dapat apa-apa.

 

AKHIR KATA

Harap artikel di atas dapat memberi sedikit pencerahan untuk ‘valuation’ syarikat. Bagaimana tuan/puan buat ‘valuation’ untuk syarikat sendiri? Komen di bawah!

Baca bahagian ketiga: Bahagian #3 -Pelabur: Siapa Mereka dan Apa Mereka Mahu? (Akan Datang)

Leave A Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.