Berita dan Info Bisnes ICT

Sebuah projek
Sebuah projek
Sebuah projek

Kenapa Saya Main Video Games

,
4.07K 0

Editor's Review

1
1

Nintendo – Game & Watch. Sewaktu saya kecil dan meningkat dewasa (belum baligh dan menuju keremajaan) permainan digital tersebut menjadi kegilaan kanak-kanak semasa itu. Dengan grafik gerakan minima, ia merupakan suatu perkembangan merangkak dari evolusi jam digital kepada permulaan permainan digital di Malaysia. Pada waktu tersebut telah pun ada konsol permainan seperti Atari 2600 (1977) dan Intellivision (1980) dan sebagainya, tapi permainan konsol tersebut tersangat la mahalnya dan tiada pun pengedar konsol sebegitu di Malaysia. Waktu itu semua orang atau hampir semua orang tidak berduit, sama-sama papa dan sama tak bergaya. Namun begitu, salah satu permainan digital yang mampu dibeli waktu itu hanyalah Game & Watch (dijual sekitar RM 80 ke RM 150).

Ball

Jadi hampir setiap budak berhingus leleh di Malaysia (opss, maaf, di Kuala Lumpur & Petaling Jaya terutamanya) memiliki sebuah (atau dua) permainan digital tersebut. Yang kaya lebih sedikit akan jadi berani membawanya ke sekolah. Cikgu rampas? “Alaa bapak aku boleh beli sebijik lagi lah esok ” – anak orang kaya punya cakap. Pada yang tak berapa kaya seperti keluarga saya, Game & Watch empunya saya, setelah setiap kali  lepas bermain akan disimpan di dalam laci jam mak saya (dibungkus terlebih dulu dengan kain lembut pengelap cermin mata). Begitu berharga kiranya mainan elektronik masa tu. Sayangnya bagaikan menatang minyak zaitun (minyak masak biasa dah murah) yang penuh sebalang.

Selepas era Game & Watch masuk pula era permainan computer ‘skrin hijau’. Bermula dari game Pong kepada ‘Flight Simulator’ pengalaman awal saya hanya bila dapat peluang bermain di rumah kawan abang saya yang agak kaya atau pun menggunakan komputer yang dipinjam kepada kami oleh jiran budiman terdekat, masa mereka pergi bercuti (waktu tu rumah saya di TTDI – kawasan Bobobohemian & bourgeois terkenal di Kuala Lumpur). Minat bermain permainan elektronik/computer mula berkembang dari sini (saya sudah menjadi ‘gamer’ sejumlah kurang lebih 3 dekad). Semangat betul, bangun pagi sahaja terus menghadap komputer. ‘Cuba berhenti kejap main komputer tu…tot-tet-tot-tet…’ bising Mak saya. ‘Ahhh lantak…’ kata hati saya, ‘Homework dah buat….’ – padahal tak buat pun (detik awal kehidupan, dalam belajar menipu diri sendiri). Sikit punya seksa nak bermain permainan komputer waktu itu, sebab komputer semuanya tidak punyai ‘hard disk’ yang besar. Jadi kenalah menyumbat satu demi satu cakera liut ‘floppy disk’ hanya untuk memulakan permainan, yang kemudiannya beralih ke disket 1.44Mb. Evolusi yang kini kuno berterusan sehingga ke dekad 90-an dengan munculnya Windows 95 oleh Microsoft.

Cuba berhenti kejap main komputer tu…tot-tet-tot-tet…’ bising Mak saya. ‘Ahhh lantak…’ kata hati saya, ‘Homework dah buat….’ – padahal tak buat pun (detik awal kehidupan, dalam belajar menipu diri sendiri)

Selepas era permainan komputer ‘skrin hijau’ bermula pula pengenalan dunia konsol di Malaysia dengan adanya konsol Sega yang mula masuk ke pasaran. Sega SG-1000 dan kemudianya Sega Master (tak kurang dengan versi imitasi, sebenarnya, lebih versi imitasi dari asal) jenis permainan konsol dengan menyumbat katrij kecil ke bukaan muka konsol. Di waktu ini paparan grafik masih dalam moda 2D lagi, tapi detail dan warna sudah semakin menarik. Waktu ini juga berkembangnya ‘Arcade Games’ menggunakan tenologi hampir sama di mana nama seperti Bandai, Namco dan sebagainya mula muncul.

Lama kelamaan, konsol murah dari Negara China mula masuk ke pasaran Malaysia dan hampir seluruh rumah disekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya memiliki sebuah atau dua konsol sebegini. Waktu itu (90-an) purata ekonomi Negara semakin baik. Kereta di jalanan juga bukan lagi dari jenis yang ‘koman-koman’. Fuhhh, syurga digital bagi mereka yang berpendapatan, waktu ini jugalah saya mampu memiliki komputer pertama saya dibeli dengan harga RM5,500.00. Spesifikasi PC saya adalah – processor Pentium 486 – 33Mhz, 4 Mb RAM, 420 Mb HDD dan video card 24-bit PCI. Game pertama yang saya mampu main dengan komputer ini adalah Prince of Persia dengan grafik yang tersengguk-sengguk.

Maju ke depan di pertengahan 90-an internet mula meluas dipergunakan di Malaysia. Modem pertama saya juga tak kurang canggihnya- 28.8k US Robotics dan kemudian 56k Aztech. Waktu ini ramai yang sibuk nak buka Cybercafe, saya pun tidak terkecuali. Cybercafe yang pertama dan terakhir saya usahakan adalah Dragon Cyber Cave di USJ 11 Subang Jaya. Bukan main seronok melayan budak sekolah berdekatan lawan game ‘Doom’ dan kemudiannya ‘Quake’ tak lupa juga ‘Counter Strike’ bersama geng seperjuangan media digital yang selalu lepak di Uptown Damansara waktu tu. Grafik menjadi semakin canggih dengan perkambangan 3D. FPS masa itu bukan sahaja terminologi untuk ‘frames-per-second’ tapi pada lidah ‘gamers’ telah jadi ‘frags-per-second’ (sila rujuk kitab Wikipedia).

New_Gran_Turismo_logo

Diwaktu itu jugalah saya mula bermain konsol Playstaytion 1 milik abang saya, yang dipinjamkan sebulan sekali – ditinggalkan (ketika abang saya ‘fly’ – lingo Cabin Crew) dirumah ibubapa saya di TTDI. ‘Games’ sudah memasuki era cakera padat atau CD, storan semakin besar dan grafik semakin hebat. Dalam banyak-banyak game (biasalah, gamers selalu beli game sahaja banyak, mainnya cuma 2-3 game kegemaran sahaja) satu sahaja game yang saya beminat nak main sampai lengguh jari-jemari – Gran Turismo. Tak pernah berasa puas untuk mencapai trofi lebih baik atau lesen yang lebih tinggi dalam game tersebut. Gran Tourismo mengajar saya bersabar dalam setiap gerak geri ‘gaming’ dan menghafal grafik permainan (seakan ‘photographic memory’) untuk lebih cekal dan bersedia (kepekaan ‘sensory’- mata-ke-otak-ke-jari saya lebih terasah). Minat betul saya pada game tersebut, ia lebih kepada kepuasan terhadap pencapaian peribadi (self-fulfilment), puas apabila bakat berlumba dunia maya semakin menyerlah.

Di millenia baru ini, permainan konsol berkembang dari Playstation 1 (PS1) ke PS2, seiring jugalah majunya Gran Turismo (GT) dari versi awal sehingga ke GT4. Selari dengan peningkatan versi game, begitu jugalah kemajuan ‘skill’ saya dalam permainan GT. Model kereta dari Jepun dah tak dipandang sebab ‘skill’ saya telah cukup molek untuk mengendalikan kereta ‘Continental’ dengan pacuan roda belakang ‘rear-wheel drive’. Saya sudah semakin mahir dengan terminology seperti ‘oversteer/understeer’ – ‘damping, toe, spring rate’ dan sebagainya. Sudah berjaya menceburi arena lumba rally, drift dan endurance. Dari sekadar hobi bermain game digital lumba kereta, kini saya sudah faham dan mendalami pelbagai aspek pemotoran, lebih dari faham, ia telah membangkitkan rasa ingin tahu /‘curious’ dalam diri saya dan itulah yang lebih penting sebenarnya. Saya pun menyimpan satu azam yang tersemat di sanubari saya… – tidak, bukan untuk menjadi pelumba, tetapi untuk berlumba di alam maya secara ‘virtual’ sepenuh masa. Saya sedar saya siapa, ada darah gemuruh tak layak nak menjadi pelumba sebenar. Jadi pelumba ‘virtual’ pun cukup lah. Saya petik dialog ‘favorite’ dari filem Seniman Bujang Lapok arahan P.Ramlee – ‘Hang Kebun pun Hang Kebun lah!

Dekad pertama millinia baru (antara tahun 2000 ke 2010) ramai yang tak terbayang dunia permainan digital (digital gaming) akan mengalami satu lagi evolusi iaitu evolusi ‘simulator’ iaitu pengalaman situasi gaming sebenar. Saya pun salah seorang dari ‘jahilliyah’ di waktu itu, sehinggalah saya terbaca satu artikel dalam The Malay Mail mengenai gamers dari Amerika yang ‘naik sheikh’ merekabentuk ‘simulator pod’ mereka sendiri untuk game seperti ‘Flight Simulator’. Terdetik dalam benak fikiran saya, ‘Ni mesti ada simulator untuk racing jugak…’. Memang benar sudah dah ada, cuma belum berjaya masuk ke Malaysia sahaja di waktu itu. Melangkah ke tahun 2014 setelah saya beroleh PS pertama saya sendiri dengan terbitnya PS3 (versi awal) saya mampu untuk memiliki set stering (racing wheel) Logitech G27. Ada ‘wheel’ je tak ada meja nak buat apa kan? Kerusi? ‘Kena beli juga ni…’ nekad saya berazam. Selepas tiga bulan memiliki ‘wheel’ tanpa ‘body’ (frame dan kerusi lumba) saya pon dapat mencari lubang di mana set kerusi lumba idaman dijual. Saya pon akhirnya berjaya memiliki satu set Apiga 2 Racing Seat/Play Seat. Dari situ, bermulalah detik saya berlumba di alam maya dengan ‘simulator’ lengkap.

Kembali ke dunia realiti waktu kini, saya masih belum sempat untuk ‘upgrade’ ke PS4 atau ke Xbox 360, masih mengidamkan ‘upgrade’ stereng lumba Thrustmaster, yang lebih profesional (sebenarnya lebih mahal je, dengan parts dan kemasan ‘stainless steel’ dan bukannya plastik, dengan tujuan membeli jiwa sendiri, yang ‘wheel’ baru nanti bukan lagi mainan budak-budak). Saya juga mengidamkan ‘kicker’ (simulasi elektronik ledakan pada bahagian bawah dan belakang kerusi – seolah-olah hentakan’ suspensi’ kereta sebenar semasa memandu) dan ‘upgrade’ pada pendapat saya yang terhebat – grafik dipaparan VR (Virtual Reality) dengan adaptasi dari skrin TV ke Oculus Rift dan pelbagai paparan VR lain yang mula membanjiri pasaran di Amerika sekarang.

Pengajaran apa dapat diperolehi dari cerita pendek dan mengarut saya ni? Berpegang kepada pepatah dan nasihat orang tua – ‘Sikit-sikit lama-lama menjadi bukit’ – mula dari kecil melangkah kepada yang lebih besar, dari meminjam kepada membeli dan dari skrin kecil kepada pengalaman hampir sebenar.

Satu lagi pengajaran? Cerita pendek dan mengarut boleh meletuskan satu minda atau mindset dari Sang Pemimpi kepada Sang Pemain.

Teruskan Bermain! (saya akan terus menulis)…

Leave A Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.