Berita dan Info Bisnes ICT

Sebuah projek
Sebuah projek
Sebuah projek

Fenomena Cord Cutters Menular Dikalangan Masyarakat Malaysia.

2.12K 0

Ketika anda sedang menonton skrin telefon bimbit anda untuk melihat pelbagai informasi terkini negara, masyarakat, sahabat-handai, saudara-mara, jiran tetangga dan sebagainya. Mata anda tertumpu pada 1 iklan yang mempamerkan poster filem terbaru. Trailernya menarik, filem aksi yang sememangnya genre kegemaran anda. Lantas, ia menimbulkan minat dan niat anda untuk menonton filem tersebut.

Malangnya, filem tersebut tidak ditayangkan di pawagam mahupun di saluran TV arus perdana. Ia adalah filem penerbitan Netflix Original dan anda perlu melanggan Netflix, sebuah perkhidmatan media atas talian yang merupakan sebuah syarikat hiburan multinasional Amerika yang diasaskan pada 29 Ogos 1997 oleh Reed Hastings dan Marc Randolph, di Scotts Valley, California.

Dulu, Netflix khusus dalam menyediakan penstriman media dan video atas talian dan DVD melalui pos. Pada tahun 2013, Netflix memulakan langkah penerbitan televisyen dan filem, serta pengedaran media atas talian secara meluas dan kini berpengkalan di Los Gatos, California. Inilah contoh terdekat mengapa fenomena cord-cutters berlaku di Malaysia.

Apa itu Cord-cutters?

Fenomena Cord-cutters atau lebih dikenali sebagai fenomena pemotongan wayar atau kabel. Fenomena ini tercetus apabila situasi dimana orang ramai mula berhenti melanggan dan membayar perkhidmatan TV yang menggunakan piring pemancar dan wayar/kabel atau berhenti menggunakan antena yang selalunya dipacak diluar rumah, diatas bumbung dan sebagainya untuk menonton saluran kegemaran mereka.

Contoh terdekat perkhidmatan TV satelit di Malaysia ialah Measat Broadcast Network Systems Sdn Bhd atau lebih dikenali sebagai Astro.

Ironinya, Astro bakal mengalami kadar penurunan pelanggan untuk perkhidmatan kabel dan satelit. Kini, ia semakin hilang kuasa monopoli terhadap industri penyiaran dengan wujudnya pelbagai penyedia servis berkongsepkan media Over-the-top (OTT) di Malaysia seperti HyppTV, Netflix, Iflix, Viu, Viki, Tonton dan sebagainya. Modus operandi OTT adalah untuk mengubah stail kehidupan dan cara manusia menonton televisyen untuk selama-lamanya.

Lanskap Teknologi Tanpa Wayar (Wireless)

Lanskap teknologi dalam industri penyiaran kini semakin menuju perubahan dan berkembang. Manusia berlumba-lumba mengembangkan teknologi maklumat dalam lapangan masing-masing. Tidak terkecuali dengan keterujaan industri penyiaran televisyen dan media OTT yang mengaplikasikan servis mereka tanpa wayar (Wireless) di seluruh negara. Media OTT juga mempunyai cabarannya yang tersendiri, ia berdepan dengan terlalu banyak persaingan antara media diseluruh dunia.

Media OTT di Malaysia mempunyai peluang untuk berkembang dengan kemasukan pelbagai media OTT diseluruh negara seperti HULU, DirectTV, Playstation Vue, Roku, dan sebagainya. Bersediakah kita sebagai pengguna menerima kebanjiran media OTT yang semestinya menawarkan pelbagai pakej langganan yang menarik dan jauh lebih murah?

Pengguna masa kini telah mengamalkan trend tidak mahu masa mereka dikuasai oleh televisyen dan terikat dengan jadual siaran televisyen yang telah ditetapkan. Mereka lebih suka menentukan masa dan ketika bila mereka hendak menonton televisyen mengikut kelapangan waktu santai mereka.

Semestinya fenomena ini menjadi cabaran kepada Astro. Media OTT ini semakin menjadi pilihan pengguna kerana kepelbagaian kandungan siaran, drama dan filemnya yang rata-ratanya daripada Barat dan Timur termasuklah Korea Selatan dan Thailand. Selain itu, faktor utama mengapa pengguna berbondong-bondong melakukan Cord-cutters kerana media OTT menyediakan kualiti perkhidmatan yang jauh lebih baik walaupun ketika cuaca buruk.

Sekiranya berlakunya gangguan bandwidth, media ini akan mengurangkan kualiti video sahaja tanpa menjejaskan pengalaman pengguna yang sedang menonton sekaligus menghapuskan isu buffering yang menjengkelkan. Apabila bandwidth telah stabil, video tersebut akan kembali kepada kualiti asalnya.

Pelanggan Bijak Memilih

Pada tahun ini, Kementerian Komunikasi dan Multimedia telah mengumumkan untuk mendapatkan hak penyiaran perlawanan Piala Dunia secara percuma di stesen televisyen milik kerajaan, iaitu Radio Televisyen Malaysia (RTM). Alangkah gembiranya rakyat Malaysia apabila, penyiaran tersebut mendapat tajaan sepenuhnya daripada agensi luar dan Kementerian tidak mengeluarkan belanja untuk budget penyiaran Piala Dunia 2018.

Gobind Singh Deo merupakan Menteri Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang baharu telah bertindak menamatkan monopoli penyiaran yang mana secara langsung memberi tamparan kepada Astro sebagai stesen penyiaran berbayar di Malaysia. Kini, rakyat mempunyai lebih banyak pilihan dan berhak membuat keputusan untuk memilih servis penyiaran kegemaran mereka.

Astro juga telah mengambil langkah memperkenalkan Astro On Demand (On demand VOD) yang membolehkan pengguna menonton filem/drama pilihan mereka pada bila-bila masa. Terdapat tiga penawaran On Demand disediakan oleh Astro, iaitu OD Free, OD Plus dan juga OD Store.

Pilihan ditangan anda. Semoga semua rangkaian penyedia siaran televisyen dapat bersaing secara sihat dan menampilkan kandungan siaran yang berkualiti dan bermutu untuk tontonan rakyat Malaysia.

Leave A Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.