Berita dan Info Bisnes ICT

Sebuah projek
Sebuah projek
Sebuah projek

Ahmad Fairiz Jaafar Tawar Khidmat Mengajar Mengaji Al-Quran Percuma Melalui Recite

,
9.37K 0

Baru-baru ini, tular di media sosial seorang individu meluahkan ketidakpuashatian terhadap khidmat seorang ustazah yang mengenakan cas untuk mengajar mengaji di rumah dengan bayaran yang dianggapnya tidak munasabah. Menurut individu tersebut, seorang pengamal agama haruslah ikhlas mengajar dan tidak mengenakan sebarang bayaran.

Ada segelintir netizen yang menyokong kenyataan individu tersebut dan ada juga sebaliknya memberikan pendapat mengatakan ia tidak salah mengenakan bayaran. Jika yuran kelas tuisyen mahupun kelas piano mampu, kenapa tidak khidmat mengajar mengaji kata sebahagian netizen menyindir.

Tepuk Dada, Tanya Selera…

Sebagai seorang yang beragama Islam, tidak kira apapun latar belakang pendidikan dan kedudukan kewangan, mengaji Al-Quran dengan bacaan dan tajwid yang betul adalah tuntutan agama. Lebih-lebih lagi jika anda sudah berkeluarga dan mempunyai anak. Ia menjadi tanggunjawab untuk mendidik anak-anak belajar dan mengaji Al-Quran.

Atas kesedaran tersebut, ia menjadi inspirasi pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Ahmad Fairiz Jaafar untuk membangunkan aplikasi “peer-to-peer” (p2p) mengaji Al-Quran atau lebih dikenali sebagai Recite.

“Ramai yang skeptikal pada mulanya. Tetapi setelah Recite dilancarkan dan mendapat traction, mereka terpaksa menerima hakikat yang ini sesuatu yang serius”

Sebanyak 42,000 kali Recite versi Android telah dimuat turun bagi pasaran Malaysia dan beliau jangka bilangan tersebut akan berganda apabila versi iOS dilancarkan kelak menurut Ahmad Fairiz, seorang yang Opportunist dan sukar menyerah kalah.

Teruskan bacaan anda untuk temuramah penuh OtakIt.my bersama Ketua Pegawai Eksekutif Ahmad Fairiz Jaafar

Sebelum anda membangunkan Recite, apa perniagaan yang diceburi? Boleh anda senaraikan perniagaan yang telah dijalankan beserta sedikit penerangan?

Sebelum melancarkan Recite, saya telah berada di dalam bidang pembangunan perisian secara professional semenjak tahun 2002. Saya bekerja di beberapa syarikat berteraskan teknologi yang menjurus kepada kewangan. Pada tahun 2003, saya menjawat jawatan Ketua Pegawai Teknologi untuk accountants-online.com, suatu aplikasi perakaunan atas-talian.

Malangnya, produk tersebut gagal. Ia bukan disebabkan oleh produk tidak bagus ataupun tiada permintaan. Punca kegagalan adalah kerana infrastruktur pada ketika itu untuk menyokong suatu aplikasi Java-based, tidak memadai. Majoriti pengguna internet masih lagi menggunakan sambungan dial-up dan capaian jalur lebar amat terhad.

Kegagalan ini mengajar saya mengenai konsep timing di dalam melancarkan produk. Jawatan terakhir yang saya sandang sebelum memulakan Recite adalah selaku Ketua Pegawai Eksekutif untuk Amanie Nexus, subsidiari IT di bawah Amanie Group.

Produk flagship yang kami bangunkan adalah suatu sistem penskrinan saham patuh shariah. Setelah sekian lama di bawah bidang teknologi kewangan, saya mengambil keputusan untuk mencari cabaran baru. Sewaktu itulah saya merancang untuk membangunkan Recite.

reciteapp

 

Boleh terangkan serba sedikit mengenai Recite dan posisi anda dalam perniagaan tersebut?

Recite adalah suatu syarikat permulaan yang menangani masalah yang dialami oleh umat Muslim dewasa di dalam memperbaiki dan menguasai pembacaan Al Quran. Recite ialah suatu platform penguasaan bacaan Quran bertajwid menerusi aplikasi di atas peranti pintar. Di samping menjadi Ketua Pegawai Eksekutif, saya juga memainkan peranan sebagai jurureka dan juga pembangun aplikasi untuk iOS.

Apa inspirasi dan kenapa Recite, bagaimana ia bermula?

Ilham untuk Recite datang daripada masalah yang dialami sendiri oleh saya dan rakan saya, Mazlita Mat Hasan. Sebagai bapa kepada anak-anak yang bersekolah, saya menjadi sumber rujukan bagi kerja-kerja rumah mereka. Di antara soalan yang paling saya geruni adalah soalan dari kerja rumah KAFA, khasnya berkaitan hukum tajwid.

Oleh kerana kemahiran ilmu tajwid saya yang agak daif, saya sentiasa gagal memberi jawapan yang memuaskan. Apabila saya berkongsi masalah ini dengan Mazlita, rupa-rupanya beliau juga pernah berada di situasi yang sama. Lantas kami membuat tanggapan yang mungkin terdapat sebilangan ibubapa yang berada ‘sekapal’ dengan kami.

Kami kemudian membuat analisa mengenai penyebab yang membuatkan golongan seperti kami begitu lemah di dalam pembacaan Quran bertajwid sedangkan pendidikan Al Quran sudah diterap semenjak sekolah rendah lagi. Setelah dapat dikenalpasti faktor-faktor yang menyebabkan masalah ini, kami mencari jalan bagaimana untuk menyelesaikannya.

Oleh kerana kami berdua mempunyai latar belakang IT, secara nalurinya solusi kami adalah sesuatu yang berasaskan teknologi. Setelah berbincang beberapa kali, kami menubuhkan Recite.

Bagaimana anda memperolehi dana untuk memulakan perniagaan/aplikasi ini?

Kami menerima geran pembangunan di bawah program CIP Catalyst oleh Cradle. Sewaktu sesi pitching untuk geran tersebut, kebetulan pula salah seorang dari ahli panel penilaian Cradle adalah Puan Renuka. Beliau merupakan CEO bagi Proficeo, suatu firma yang menjalankan program Coach and Grow (CGP) di bawah Cradle.

CGP adalah suatu program latihan keusahawan selama 12 bulan di bawah geran Kementerian Kewangan. Puan Renuka tertarik dengan konsep Recite dan kami ditawarkan untuk menyertai program CGP untuk musim ketiga. Program tersebut telah melatih kami untuk menjadi usahawan yang efektif. Selain dari geran, kami juga mendapat suntikan modal dari pelabur ‘angel’.

reciteapp

Adakah terdapat apa-apa teknologi/perisian digunakan untuk membangunkan Recite? Bagaimana ia dibangunkan dari storyboard hingga produk akhir?

Bagi aplikasi Android dan iOS, kami memilih untuk membangunkan mereka secara native, iaitu Java untuk Android dan Swift untuk iOS. Untuk backend, pada awalnya kami menggunakan Microsoft Azure sebagai teknologi Cloud. Pada bulan Jun 2017, kami telah menjadi di antara penerima terawal dari Malaysia untuk program Google Cloud for Startups.

Semenjak dari itu, backend Microsoft Azure kami telah diintegrasikan dengan Google Cloud Platform sebagai subsistem untuk komponen speech analytics dan deep learning pada Recite.

Untuk aliran pembangunan pula, kami melakukan iterasi pantas iaitu secara purata lebih kurang 1.5 iterasi seminggu, dari storyboard hingga ke deployment. Iterasi berlaku hasil dari maklumbalas pengguna ataupun ujikaji dalaman. Sepanjang setahun versi Android Recite dilancarkan, kami telah melakukan hampir 100 release builds (termasuk dari saluran Beta kami).

Bagaimana pula operasi belakang tadbir? Berapa ramai kakitangan untuk menguruskan laman/aplikasi tersebut?

Jumlah kakitangan Recite hari ini adalah 6 orang. Ia terdiri dari Mazlita selaku co-founder yang bertanggungjawab untuk business development, 3 developer/designer, seorang product manager dan juga seorang ustazah residen. Untuk pasukan teknikal, kesemua ahlinya adalah multi-disciplined. Mereka menguasai sekurang-kurangnya dua bahasa pengaturcaraan dan mahir di dalam lebih dari satu stack teknologi.

Bagaimana anda validate pasaran untuk khidmat tersebut dan proses yang terlibat?

Kami menggunakan pelbagai cara untuk melakukan proses validasi pasaran. Sebelum kerja-kerja pembangunan berjalan, kami menyediakan pseudo-profile untuk segmen pasaran kami. Kemudian kami cuba mencari sesiapa yang padan dengan profile tersebut di kalangan kawan-kawan, saudara-mara dan sesiapa yang mudah kami akses.

Seterusnya, kami akan menemuramah mereka secara kasual. Tujuan temuramah ini adalah untuk mengesahkan masalah (e.g kesulitan di dalam menguasai tajwid) tersebut wujud di dalam pasaran sasaran kami. Hasil temuramah ini kami gunakan untuk memperhalusi profile pengguna kami. Proses ini kami ulang sehingga kami dapat menjawab siapa sebenarnya pengguna potensi kami.

Peringkat seterusnya ialah untuk membuat validasi solusi. Kami memilih untuk menggunakan aplikasi messaging untuk tujuan ini. Grup Whatsapp tertutup diadakan dengan sekelompok pengguna terpilih dan seorang ustaz. Di dalam grup ini kami membuat simulasi bagaimana Recite berfungsi; pengguna merakam bacaan dan ia disemak oleh Ustaz.

Kami membuat pemerhatian tentang penerimaan pengguna dan juga kelemahan operasi sebegini. Setelah kami mempunyai data dari kedua-dua peringkat ini, barulah kerja-kerja rekabentuk dan pembangunan sistem dijalankan.

Bagaimana Aplikasi Recite menjana pendapatan kepada syarikat atau adakah ia berbentuk non-profit?

Kami sedaya upayanya berusaha untuk memberikan servis Recite ini percuma kepada pengguna biasa. Oleh itu, kami mencari jalan lain untuk menjana pendapatan tanpa perlu mengenakan caj kepada pengguna. Model pendapatan Recite adalah secara profit-sharing dari usahasama dengan institusi dan akademi Al Quran.

Sebagai contoh, kami ada membuat usahasama dengan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) melalui program Quran-i. Quran-i adalah suatu program persijilan untuk pembacaan Al-Quran bertajwid dalam masa 12 bulan menerusi aplikasi Recite.

Ia adalah program berbayar dan dikendalikan oleh tenaga pengajar dari UIA. Penilaian dan sijil dikeluarkan oleh UIA dan lulusan dari program ini diiktiraf sebagai berkemahiran untuk menjadi tenaga pengajar tajwid.

Sumber Gambar Album FB Recite App

Bagaimana tuan mendapatkan ustaz/ustazah yang bertauliah untuk menyemak bacaan dan berapa ramai yang terlibat?

Sumber ustaz/ustazah kami adalah dari sekolah-sekolah tahfiz, madrasah dan juga institusi pengajian Al-Quran. Kami bekerjasama dengan pihak pengurusan institusi-institusi tersebut untuk memastikan pentauliahan mereka adalah sah.

Terdapat juga mereka yang berkelayakan seperti pemegang sijil Darul Quran JAKIM yang memohon untuk menjadi ustaz/ustazah kami. Untuk permohonan sebegini, kami melakukan semakan latar belakang, temuramah dan juga fasa penilaian oleh ustazah residen kami. Setakat ini kami mempunyai lebih kurang 200 orang ustaz/ustazah yang telah berdaftar sebagai penyemak untuk Recite.

Apa cabaran terbesar pernah anda hadapi sepanjang menguruskan Recite?

Bagi syarikat permulaan Islamik seperti Recite, cabaran terbesar adalah untuk mencari pembiayaan. Ini kerana syarikat permulaan Islamik adalah suatu vertikal yang baru dan mungkin dari perspektif pihak pembiaya seperti venture capitalists, ia membayangkan suatu risiko pelaburan yang tinggi.

Tambahan pula, ‘success stories’ dan juga ‘exit’ masih kurang di dalam vertikal ini. Namun begitu, pihak MDEC sedang di dalam proses untuk melancarkan suatu rangkakerja untuk pelaburan di bawah inisiatif Ekonomi Digital Islamik mereka. Mudah-mudahan apabila rangkakerja ini digunapakai, ia dapat mengurangkan cabaran bagi syarikat-syarikat permulaan Islamik untuk memperoleh pembiayaan bagi mengembangkan perniagaan mereka.

Sepanjang operasi Recite, siapa telah anda berjumpa?

Bagi saya, tokoh yang memberi kesan yang pernah saya pernah temui di sepanjang operasi Recite adalah Tuan Guru Hj Kamaruddin Yusof, Mufti Besar Cambodia. Beliau bercerita bagaimana umat Islam di Cambodia ditindas dan dibunuh beramai-ramai di bawah pemerintahan Khmer Rouge.

Setelah mendengar pengalaman beliau di zaman tersebut, saya amat terkesan dan bersyukur dengan keadaan kita sebagai umat Islam di Malaysia. Recite sedang menjalankan usahasama dengan Majlis Pembangunan Islam Cambodia untuk melatih dan menggunakan ustaz/ustazah di sana sebagai tenaga penyemak kami.

Ke mana arah tuju Recite dan apa yang anda rasa akan berubah tentang pendidikan Al-Quran dalam tempoh masa lima tahun akan datang?

Untuk 2018, kami akan melebarkan sayap kami ke Indonesia. Kami menyertai program ExpandIN di bawah MDEC ke Jakarta pada April 2017 dan kami telah mengikat beberapa strategic partnership dengan pihak-pihak berkenaan di sana. Ujian Beta untuk pasaran Indonesia sedang dilakukan semenjak Oktober 2017. Kami berkesempatan berjumpa dengan anak kepada pengasas pesantren Gontor di Jakarta, Ir Dr Ridlo.

Beliau berkongsi pandangan tentang trend pertumbuhan umat Islam dengan trend pertumbuhan guru-guru tajwid. Beliau berpendapat sekiranya kita hanya bersandarkan cara konvensional di dalam penyampaian ilmu tajwid, suatu hari kelak jurang di antara golongan yang tidak tahu membaca Quran bertajwid dengan golongan yang berilmu tajwid akan menjadi terlalu besar.

Teknologi perlu dipergunakan untuk merapatkan jurang tersebut atau sekurang-kurangnya dapat meningkatkan kesedaran generasi akan datang tentang kepentingan membaca Quran bertajwid. Saya bersetuju dengan pandangan ini dan saya berasa di dalam lima tahun yang akan datang, lebih banyak inisiatif akan diadakan untuk menggunakan teknologi di dalam pendidikan Al-Quran.

Apa lagi projek dalam perancangan?

Bagi Recite, kami telah pun mempunyai sample bacaan yang banyak dan kami akan membina feature-feature berteraskan data dan juga speech analytics. Ada beberapa modul yang sedang diuji dan di dalam pipeline.

Sumber Gambar Album FB Recite App

Sebagai pioneer apa trend yang yang anda lihat?

Setelah setahun kami melancarkan konsep Recite iaitu penilaian audio peer-to-peer, kami melihat terdapat beberapa aplikasi lain yang turut mengikut jejak kami. Ada iRecite dari Singapura dan juga YukNgaji di Indonesia. Bagi saya, ini adalah suatu perkembangan yang sihat dan saya tidak melihat aplikasi-aplikasi ini sebagai pesaing.

Pada pendapat saya, sebagai syarikat permulaan Islamik, objektif utama sepatutnya bukanlah untuk mengejar keuntungan semata-mata. Pulangan mutlak yang kita harapkan bukannya di atas dunia. Sentimen ‘win-lose’ tidak harus wujud apabila ada pemain lain masuk ke gelanggang.

Lebih banyak pemain, bermaksud lebih banyak pilihan dan impak untuk ummah. Asalkan ummah ‘win’, kita semua menang. Insya’Allah.

Apa lagi yang anda ingin kongsikan mengenai Recite?

Satu perkara yang saya ingin jelaskan tentang Recite ialah ramai yang mempunyai tanggapan Recite adalah untuk menggantikan pembelajaran Quran secara bersemuka. Ini tidak benar sama sekali. Pendirian kami adalah belajar secara bersemuka dengan ustaz/ustazah adalah cara terbaik untuk belajar Quran bertajwid. Malahan di dalam kursus Quran-i oleh UIA mewajibkan pelajar-pelajar mereka untuk bersemuka dengan tenaga pengajar sebanyak 4 kali di sepanjang kursus tersebut.

Recite adalah suatu medium supaya tiada lagi alasan untuk kita tidak membaca Quran secara bertajwid. Ia juga boleh digunakan sebagai alat untuk berlatih dan mengukuhkan lagi pemahaman tentang tajwid. Bagi mereka yang mempunyai peluang untuk belajar secara bersemuka, teruskan. Tetapi tidak semua orang ada peluang atau kesempatan tersebut.

Klik sini untuk muat turun percuma Aplikasi Recite di Google play 

Leave A Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.