Berita dan Info Bisnes ICT

Saham, Startup dan CTO

,
789 0

Ini adalah sedikit cerita yang dikongsi oleh Naib Presiden 2, Persatuan Usahawan dan Industri ICT Bumiputera Malaysia di Facebook beliau. Saudara Iszuddin Ismail berkongsi cerita bagaimana beliau menjadi CTO untuk sebuah startup di Malaysia yang diberikan gaji dan juga ekuiti dalam syarikat. Beliau tergerak untuk bercerita apabila timbul kisah-kisah di mana programmer muda ditawarkan jawatan CTO dengan ekuiti, tetapi tanpa gaji. Dan lebih buruk lagi apabila mereka ditipu boleh di penghujung hari. Gaji tiada, ekuiti pun tiada. Mungkin boleh memberi manfaat kepada umum.


Baru-baru ini ada kisah yang jadi viral berkenaan startup, CTO dan tawaran ekuiti dalam syarikat bagi CTO ini. Dipendekkan cerita, pada mulanya CTO muda ditawarkan ekuiti dan dia pun bekerja secara percuma. Setelah beberapa ketika dan kerja telah yang dibuat, syarikat mula mendapat perhatian pelabur. Bagi memenuhi beberapa kriteria, syarikat baru ditubuhkan. Namun nama CTO tiada sebagai pemegang saham. Gaji tiada, ekuiti pun tiada. Lebih malang lagi, tiada perjanjian hitam putih. Bila ditanya, pelbagai helah dan alasan diberikan. Nyata CTO telah ditipu.

Saya terpanggil untuk bercerita kisah saya apabila saya mengambil jawatan CTO dalam sebuah startup. Rezeki saya, saya mendapat pegangan saham dan juga gaji, dan tak pernah bekerja tanpa gaji untuk mereka.

Rezeki saya, saya mendapat pegangan saham dan juga gaji, dan tak pernah bekerja tanpa gaji untuk mereka.

Jadi inilah kisahnya…

Diperkenalkan oleh rakan universiti, saya didatangi oleh bakal rakan kongsi saya. Mereka menyatakan hasrat untuk membina sebuah startup baru, teknologi yang mereka ingin bangunkan dan lain-lain hal yang mereka mahukan. Sedikit pun mereka tak pernah sebut pasal CTO ataupun ekuiti. Yang mereka mahukan adalah seorang programmer yang mampu bangunkan sebuah produk untuk ditawarkan kepada umum.

Mewakili syarikat ke pameran antarabangsa

Mewakili syarikat ke pameran antarabangsa

Ketika itu mungkin boleh saya katakan, saya seorang freelance programmer. Saya sedikit ralat untuk masuk kerja di pejabat dengan waktu kerja yang tetap. Saya nyatakan kepada mereka tentang situasi itu, dan balasan mereka ringkas, “Jadi pekerja atau upah orang luar, segalanya kos kepada syarikat. Berikan sebut harga dan kami akan pertimbangkan…”

Saya menjangkakan, membangunkan sebuah sistem seperti yang mereka mahukan, tanpa spesifikasi yang tetap pastinya bukanlah mudah. Ianya bukan projek yang kita bina, siap, dan ambil bayaran. Ianya satu usaha membangunkan MVP untuk sebuah startup. Saya mengandaikan pasti banyak maklumbalas dan perubahan kepada spesifikasi bakal berlaku.

Mereka juga maklum dengan proses ini. Ianya sedikit sebanyak pendekatan membangunkan produk secara Agile. Oleh itu, saya berikan kepada mereka sebut harga untuk satu hubungan kerja setahun, dengan yuran bulanan (retainer). Saya tidaklah berharap sangat, apatah lagi ketika itu saya tidak kagum sangat pun dengan idea bisnes mereka.

Tetapi saya terkejut juga apabila sebut harga saya diterima. Mereka tak minta diskaun pun. Mungkin sebut harga saya rendah agaknya. Tetapi sebab itu yang saya janjikan, saya penuhi janji-janji saya. Saya kira mungkin saya bernasib baik juga kerana membina startup dengan pihak yang ada modal (walaupun terhad).
Maka bermulalah kerja-kerja pembangunan dari pejabat kecil saya di Taman Melawati, sementara klien saya (yang kemudian jadi rakan kongsi) di Puchong. Sebulan sekali saya ke pejabat mereka. Kadang-kala hampir setiap minggu.
Bersama seorang lagi programmer yang mereka gajikan untuk membangunkan aplikasi mobail, MVP berjaya kami siapkan dan dipamerkan di pameran industri di luar negara. Kita juga ambil bahagian dengan pameran dalam negara.

Perlu saya katakan di sini bahawa rakan kongsi saya ini sangat serius dengan bisnes baru ini. Mereka bekerja keras untuknya. Segala pihak mereka cuba dekati, daripada syarikat, persatuan, agensi, GLC, MNC dan lain-lain. Semuanya untuk memaklum tentang usaha-usaha mereka. Mereka cuba dapatkan kerjasama (joint venture), pelabur, promosi, apa sahaja.

Dalam membangunkan startup ini, mereka tahu bahawa modal mereka terhad. Mereka perlukan pelabur luar, ataupun satu kerjasama dengan pihak yang lebih besar seperti syarikat telekomunikasi, syarikat media, GLC atau apa-apa seangkatannya.

Keadaan agak cemas juga apabila modal mereka semakin susut dan tidak ada apa-apa tanda yang usaha-usaha mereka berhasil, walaupun dengan MVP ini. Nak harapkan penerimaan pengguna, ianya masih kecil dan jauh daripada mampu untuk menampung kos operasi. Tetapi mereka yakin dengan potensi produk yang mereka bangunkan ini.

Hubungan kerja saya dengan mereka hampir tamat. Segalanya macam bakal berakhir. Tetapi di saat-saat akhir, kita dapat berita tentang satu “venture capital” (VC) yang berminat untuk melabur. Setelah beberapa perjumpaan dengan VC, ada satu ketika mereka maklumkan kepada saya tentang CTO dan ekuiti.

Kenapa baru sekarang timbul isu CTO dan ekuiti?

Mereka telah menawarkan kepada saya jawatan CTO dengan gaji dan juga ekuiti hanya selepas setahun bekerja secara freelancing. Dan bagi saya, ini adalah satu langkah bijak mereka.

Sekiranya saya membangunkan startup saya sediri, melainkan saya mengenali bakal CTO saya dah bertahun lamanya, saya tidak akan menawarkan jawatan ini terus kepada sesiapa. Jika ada pun, tak mungkin saya berikan ekuiti dari awal.
Mereka telah mengupah saya selama setahun dan mula mengenali cara kerja saya. Saya yakin, sedikit sebanyak mereka melihat keserasian dalam bekerja juga.

Antara sebab lain kenapa baru sekarang mereka sebut pasal CTO dan ekuiti:

  • perlu yakinkan VC mereka ada pasukan yang kukuh dan berpengetahuan dalam setiap aspek
  • mereka perlukan saya untuk kekal bersama mereka untuk jangka panjang
  • walaupun dengan non-disclose agreement (NDA) dan non-compete agreement, “trade secret” yang saya bangunkan untuk mereka, mereka khuatir pengetahuan saya boleh membina pesaing baru
  • sebagai tanda penghargaan

Jujurnya saya naif ketika itu. Saya tak tahu apa-apa pasal ekuiti dalam perniagaan, apatah lagi pasal venture capital dan sebagainya. Cuma saya bernasib baik sebab rakan kongsi saya ini daripada orang-orang yang jujur, walaupun kadang-kala kasar juga.

Walaupun ketika itu saya seorang freelancer, saya melihat ini sebagai satu peluang yang baik. Saya kira mungkin inilah titik tolak perubahan dalam kerjaya saya. Mungkin saya yang bernasib baik dapat “tumpang” rakan kongsi saya dalam bisnes mereka ini.

Mewakili syarikat menerima anugerah

Mewakili syarikat menerima anugerah

Maka, dengan apa yang mereka tawarkan, saya terima.

Setelah selesai fasa due diligence oleh VC, ketika dimasukkan nama VC sebagai antara pemegang saham dalam syarikat, nama saya dimasukkan bersama. Dan sahlah saya sebagai seorang pemegang saham dalam syarikat. Peratusannya kecil sahaja, tetapi saya rasa memang wajarlah jumlah itu.

Sebenarnya saya lebih menganggap ini semua sebagai rezeki dan saya bernasib baik. Sebab saya tak terasa macam saya “berusaha” mendapatkan semua ini.
Banyak situasi di mana saya rasa saya bernasib baik.

  • Saya diperkenalkan oleh rakan universiti kepada rakan kongsi
  • Sebut harga saya diterima tanpa rundingan diskaun
  • Rakan kongsi saya jujur orangnya
  • Rakan kongsi saya gigih bekerja (dapat saya menumpang hasil)
  • Saya bekerja dengan startup yang ada modal sendiri
  • Kami mendapat pelabur, yang menyambung hayat syarikat dan meningkatkan nilai saham
  • Saya tak pernah bekerja secara percuma
  • Saya ditawarkan ekuiti dan gaji sebagai CTO
  • Ada keserasian di antara kami

Bila mengimbau kembali, apa pelajaran yang saya ambil daripada semua ini?

Nasihat untuk rakan-rakan programmer:

Sekiranya ditawarkan jawatan CTO dengen ekuiti agar bekerja secara percuma — tolaklah. Ya, mungkin ianya bakal Facebook di masa hadapan. Kita bukannya ahli nujum. Kita hanya boleh membuat pertimbangan dengan maklumat yang ada pada ketika itu. Pastinya yang menawarkan kita peluang itu tiada modal di tangan dan syarikat masih baru dengan hasil yang jualan yang sangat sedikit. Kita mengambil risiko yang tinggi sekiranya kita menerima tawaran sebegini.

Tak dapat CTO, tak apa. Tak dapat saham tak apa. Tapi janganlah bekerja secara percuma.

Dan sebenarnya juga (setelah semua ini), pegangan ekuiti tiada nilainya juga tanpa suntikan modal pelabur luar. Contohnya, kita ditawarkan ekuiti 20% dalam syarikat yang tiada pendapatan, nilai 20% itu adalah RM0 juga. Tetapi kemudian apabila VC menyuntik modal RM300,000 untuk pegangan 30% dalam syarikat, barulah 20% kita itu bernilai RM200,000.

Tetapi, sekiranya pengasas syarikat ingin menipu, mereka boleh bila-bila masa menubuhkan syarikat lain dengan pelabur lain dan membawa semua teknologi yang anda telah bangunkan. Dan mereka akan katakan, “Saya dah berikan saham dalam syarikat A. Saya tak janji apa-apa dalam syarikat B”.

Nasihat untuk rakan-rakan startup:

Usahlah mencari programmer percuma dengan janji manis pegangan saham dalam syarikat. Sebenarnya ianya bukan sahaja menindas programmer, tetapi juga berbahaya. Apabila pegangan saham telah diberi, tetapi kemudian berlaku perbalahan, satu-satunya cara untuk mengeluarkan mereka adalah dengan membeli saham mereka semula. Bukankah dah jadi masalah.

Jadi eloklah sekiranya tawarkan hubungan freelance ataupun pekerja biasa dengan gaji terlebih dahulu. Kenali dahulu “bakal CTO” ini. Sekiranya mereka bekerja dengan baik, ada keserasian dan programmer ini sudah menjadi “aset” dalam syarikat, maka barulah tawarkan pegangan saham dalam syarikat agar mereka tidak lari.

Sekiranya anda tiada modal, usahakanlah sesuatu yang lain terlebih dahulu. Setidaknya untuk membayar kos membangunkan MVP.

Satu pendekatan yang boleh diterima, mungkin “revenue-sharing”. Tetapi ini pun eloklah dengan nilai jualan yang berbaloi. Pada awal usia startup, biasa pendapatan tidak seberapa pun. Tetapi sekiranya produk anda boleh dijual pada harga ribuan ringgit, mungkin boleh dipertimbangkan pendekatan ini. Tetapi perlu ada juga klausa yang mengakhiri pendekatan ini, bagi dari segi tempoh masa, jumlah jualan, atau apa sahaja. Dan juga elok ada ruang yang membenarkan perjanjian ini dirunding semula.

Baiklah… itu sahaja yang terkenang untuk saya kongsikan. Sudi-sudilah share dan bertanya soalan. Saya cuba jawab mana-mana yang mampu.

Di dada akhbar

Di dada akhbar

Pautan asal: https://www.facebook.com/notes/iszuddin-ismail/saham-startup-dan-cto/1189091531114268

Leave A Reply

Your email address will not be published.