Berita dan Info Bisnes ICT

Sebuah projek
Sebuah projek
Sebuah projek

Azril Nazli, SimulatorDotAsia, Ketengahkan Dunia Perlumbaan Simulasi Untuk Peminat Malaysia

,
3K 0

Siapa sangka Azril Nazli telah menyertai 1161 perlumbaan kereta dan mengecapi 9 kemenangan di peringkat global. Dan semua ini tanpa sebarang penajaan daripada syarikat luar seperti Petronas, Red Bull mahupun yang lain-lain. Semuanya dibiayai sendiri oleh Azril Nazli.

Tetapi berbeza dengan perlumbaan yang biasa kita lihat di kaca televisyen, dengan jentera yang dipasang sendiri, Azril Nazli tidak perlu ke trek, tidak perlu risau cuaca panas dan keadaan kereta tanpa pendingin hawa, dan juga tidak perlu risau tentang keselamatan sekiranya berlaku kemalangan.

Azril Nazli hanya perlu duduk di hadapan jentera perlumbaan miliknya, memegang roda stereng dan memerhatikan 3 skrin monitor dengan teliti untuk berlumba. Ya, apa yang disertai oleh Azril Nazli adalah sirkit perlumbaan maya iRacing yang dianjurkan oleh syarikat berkenaan dengan jutaan pelumba di peringkat global. Walaupun sekadar perlumbaan maya, ianya diambil serius oleh setiap pelumba yang menyertainya, sama seperti industri e-sukan yang lain seperti Counter Strike, Dota dan League of Legend.

Kegilaan Azril Nazli terhadap e-sukan ini telah menyebabkan jentera yang dibina oleh Azril Nazli itu sendiri mencecah nilai puluhan ribu ringgit. Selain daripada komputer dan tiga skrin monitor, ianya dilengkapi dengan “bucket seat”, pedal, pengalih gear sama seperti mengendalikan sebuah kereta lumba sebenar. Roda stereng juga dilengkapi dengan motor yang memberikan efek seperti memandu di luar di atas permukaan jalanraya. Begitu juga dengan kerusi yang dipasang dengan motor untuk memberikan gegaran mengikut kepada situasi yang sedang dihadapi dalam perlumbaan.

Selain berlumba sendiri, melalui syarikat miliknya, SimulatorDotAsia, Azril Nazli juga giat mempromosikan e-sukan ini, sama ada dengan membawa jentera simulasi ini ke acara untuk sewaan, ataupun memberi khidmat rundingan dan pemasangan untuk syarikat dan individu.

Azril mula terlibat dengan perlumbaan maya pada tahun 2014 setelah menonton video di Youtube tentang hobi membina simulator perlumbaan dengan menggunakan perisian iRacing. Beliau semakin kagum apabila mengenali seorang pelumba dari Malaysia, Ilham Halabi, mencapai kedudukan paling tinggi iaitu sekitar 5000 iRacing. Ini menyebabkan Azril semakin cenderung dan terus “terjerumus” ke dunia perlumbaan simulasi ini.

iRacing.com adalah satu pelantar perlumbaan simulasi yang sangat hampir dengan realiti perlumbaan yang sebenar. Ia menghubungkan pemain dengan komuniti antarabangsa pelumba maya. Ia juga menyediakan ruang platform untuk bersaing dalam pelbagai bentuk dan kelas perlumbaan menggunakan kereta dan trek perlumbaan yang wujud di dunia sebenar. Maka, tanpa ke Sirkit Antarabangsa Sepang, anda juga boleh berlumba di sana.

“Simulator ini menghubungkan pemandu simulator serata dunia menerusi dalam talian malah perisian sama juga digunakan pelumba profesional berlatih mengendali kereta lumba sebelum turun ke litar,” kata Azril Nazli.

“Mengikut data yang diberikan oleh iRacing.com, terdapat seramai 123 pelumba yang aktif dari Malaysia ( http://www.simulator.asia/drivers/MY ) daripada 140,000 pelumba yang mendaftar sejak 2008 sehingga 2017. Jumlah pelumba yang agak rendah ini disebabkan kurang pendedahan dan juga kos permulaan yang agak mahal.”

Daripada data tersebut, maka Azri Nazli membangunkan laman web Simulasi.Asia. Menurutnya, beliau mendapat tahu iRacing mengeluarkan data pelumba secara terbuka dalam bentuk CSV dan datanya dikemaskini setiap hari dan dari situ beliau membina satu antaramuka yang mudah untuk membaca data tersebut.

Pemandu maya yang menjadi ahli SimulatorDotAsia boleh membaca statistik secara kemaskini harian di laman tersebut sepintas lalu berbanding statistik di iRacing.com yang lebih kompleks dan terperinci.

Antara statistik yang terdapat di SDA adalah rating di iRacing, kelas lesen pemanduan, markah keseluruhan kelab, jumlah kemenangan, jumlah perlumbaan dan banyak lagi.

Sehubungan itu juga, ahli SDA boleh melakukan siaran langsung di youtube melalui teknologi JRT Realtime Data. Disamping itu juga, SDA membolehkan ahlinya mengarkibkan sesi perlumbaan dan juga melihat perkembangan kemaskini harian setiap pelumba di iRacing.

Menjadi pelumba maya menurut Azri Nazli tiada risiko kemalangan dan boleh berlumba setiap masa yang terluang. Jika dibandingkan dengan perlumbaan sebenar, kos simulasi lagi rendah apabila dianggap sebagai hobi. Pada masa yang sama, dapat belajar membina sendiri peralatan elektronik khas untuk simulasi.

Apabila ditanya perbezaan antara simulasi dan perlumbaan sebenar, katanya, simulasi tiada kesan G Force dan pemandangan agak terhad kecuali menggunakan VR. Katanya lagi, “Simulasi boleh saya katakan 40% pengalaman dari yang sebenar dan tidak memberikan rasa takut dan akibat jika kemalangan”

“Jika minat berlumba tetapi tidak mampu menyertai perlumbaan sebenar, boleh dapat pengalaman yang sama dengan iracing”. Katanya. Walaubagaimanapun menurutnya lagi, kos permulaan untuk menjadi seorang perlumba maya, amat tinggi.

“Sebaliknya didorong minat mendalam untuk mencapai kepuasan bermain optimum dan semua itu dapat diraih dengan memiliki simulator bersesuaian. Bajet dan permintaan individu antara aspek mempengaruhi variasi simulator.”

“Simulator ada juga mempunyai spesifikasi mesin berbeza baik segi binaannya baik stereng, gear, mahupun pedal minyak serta panel berkaitan kerana ia mengikut pilihan pemilik. Semuanya ada pemilik dan menelan belanja ribuan ringgit.”

Dari OSW Big MiGE Direct Drive Servo 30nM untuk stereng memandu, HEUSINKVELD ENGINEERING Sim Pedal Pro untuk pedal minyak hinggalah penggunaan Go Pro 3 untuk merakam sesi perlumbaan. Itu antara perkakasan yang digunakan oleh Azril Nazli yang boleh di rujuk di laman web Simulator.asia.

Terdapat beberapa cara untuk bermula antaranya adalah menyewa peralatan simulator daripada One Up Gaming atau jika inginkan keseronokan yang lebih, membina sendiri kokpit dengan SimRGarage dan mendapatkan peralatan simulator dari Oregon Engineering yang boleh didapati dengan melakukan pencarian di Facebook.

Sebagai pelopor sukan permotoran simulasi maya, Ketua Pegawai Eksekutif SDA optimistik dengan perkembangan dan trend sukan e-sukan ini meskipun kos permulaan yang tinggi.

Ia mempunyai potensi untuk berkembang tetapi agak terhad meskipun tidak semua pemain suka berlumba dan simulasi jauh berbeza dengan permainan arked. Sehubungan itu juga, sukan e-gaming permotoran memerlukan sokongan tajaan dari syarikat korporat jika ia ingin berdaya saing.

Berpandangan jauh lima tahun akan datang, beliau menjangka penggunaan VR akan lebih meluas disamping fizik dan kualiti network lebih baik yang membolehkan 100 hingga 200 orang berlumba secara serentak dalam satu jangkamasa yang sama. Pada masa yang sama, pengeluar aksesori kereta sebenar memasarkan peralatan berdasarkan simulasi seperti Sparco.

Apabila tidak berlumba ataupun mempromosikan perlumbaan simulasi, beliau menumpukan perhatian terhadap bekerja dan perniagaan dalam industri video streaming untuk acara liputan langsung, mahupun untuk tontonan “on-demand”. Jika bukan kerana terpengaruh dengan simulasi perlumbaan, Azri Nazli berkata, beliau adalah seorang pemain tegar World Of Warcraft dan juga seorang pemain golf.

Leave A Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.