Berita dan Info Bisnes ICT

Sebuah projek
Sebuah projek
Sebuah projek

ASPIRASI: “The Succesful ‘Upin & Ipin'” Haji Burhanuddin Md. Radzi, Les’ Copaque Production Sdn Bhd

9.67K 0

‘THE SUCCESFUL ‘UPIN & IPIN’
Haji Burhanuddin Md. Radzi
Les’ Copaque Production Sdn Bhd
www.lescopaque.com

 

BIOGRAFI

Tuan Haji Burhanuddin Md. Radzi merupakan pengasas merangkap Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Sdn. Bhd.. Berasal dari Selangor, beliau memegang Ijazah Kejuruteraan dalam Petroleum and Natural Gas dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Sebaik tamat pengajian, beliau berkhidmat di Petronas Carigali Sdn. Bhd. (PCSB) sebagai Jurutera Petroleum pada tahun 1982. Sebahagian besar kerjayanya di PCSB dihabiskan di Miri, Sarawak dan turut menerajui proses pengambil alihan lapangan minyak Miri dari syarikat Sarawak Shell Berhad selepas Kontrak Pengeluaran Bersama antara Sarawak Shell Berhad dan PETRONAS tamat.

Beliau telah dianugerahkan ‘President Award’ pada tahun 1990 dan dinaikkan pangkat menjadi Ketua Operasi Produksi untuk lapangan minyak Miri sebelum meninggalkan syarikat tersebut pada tahun 1992 bagi menceburi sektor swasta. Pada tahun 1994, beliau telah dipelawa untuk menjadi rakan kongsi dan pengarah urusan Dayang Enterprise Sdn. Bhd., sebuah syarikat penyelenggara pelantar minyak. Beliau telah membangunkan syarikat tersebut daripada sebuah syarikat yang kecil sehingga syarikat itu bersedia untuk disenaraikan di pasaran saham KLSE. Sebelum proses penyenaraian tersebut dapat disempurnakan pada tahun 2004, beliau telah meninggalkan syarikat tersebut dan menjual kesemua kepentingan beliau.

Kemudian, pada Disember 2005, beliau telah mengambil keputusan untuk menceburi industri animasi dengan menubuhkan syarikat Les’ Copaque Production Sdn. Bhd.. Bersama isterinya, Hajah Ainon Arif yang juga merupakan Pengarah Kreatif di Les’ Copaque Production beliau telah membangunkan model perniagaan dan menetapkan hala tuju syarikat; menyediakan wadah bagi bakat muda tempatan berkarya untuk menghasilkan produk yang mempunyai nilai-nilai yang murni, mengetengahkan budaya kita yang mempunyai sentuhan global. ‘Upin & Ipin’, satu-satunya harta intelek (IP) yang kejayaannya sangat fenomena yang tidak pernah dihasilkan oleh mana-mana syarikat dari Malaysia yang mana hasilnya adalah dari titik peluh beliau dan pasukannya. Ia ditayangkan di Malaysia, Indonesia dan seluruh Negara ASEAN melalui Disney Channel Asia dan Turki.

Selain ‘Upin & Ipin’, mereka juga telah membangunkan tiga lagi IP iaitu ‘Pada Zaman Dahulu’, ‘Puteri’ dan ‘Elements’. Selepas kejayaan membangunkan IP tersebut, beliau telah menerajui dan membangunkan perniagaan sampingan yang berteraskan harta IP seperti barangan, perlesenan, restoran bertema dan juga karnival. Kejayaan mereka telah menjadi sumber inspirasi kepada syarikat animasi tempatan untuk diikuti dan tanda aras yang hendak dicapai. Beliau melalui Les’ Copaque Production Sdn. Bhd. telah berjaya meletakkan Malaysia dimata dunia dalam industri animasi global.

Syarikat beliau juga adalah merupakan sebuah syarikat cemerlang dimana telah banyak menerima anugerah. Setakat ini, mereka telah menerima lebih dari empat puluh anugerah di dalam berbagai- bagai kategori.

PERJALANAN ANDA SEBAGAI USAHAWAN

Syarikat Les’ Copaque Production Sdn.Bhd. ditubuhkan pada tahun 2005. Waktu itu saya telah meninggalkan industri minyak dan gas, dan sewaktu itu saya berfikir apakah yang perlu dibuat, dan isteri saya telah menyarankan untuk kami membuat filem dan menceburi industri perfileman. Dan kebetulan kami telah bertemu beberapa graduan daripada kursus animasi dan mereka menyarankan untuk membuat filem animasi 3D yang pertama di Malaysia.

Selepas melihat hasil kerja mereka, saya berpendapat bahawa animasi boleh menjadi satu bidang perniagaan yang besar kalau dibuat dengan cara yang betul. Dan waktu itu pada tahun 2006 kerajaan begitu menggalakkan bidang kreatif ini di mana banyak dana yang disediakan untuk industri kreatif. Jadi, saya berpendapat pada waktu itu adalah sesuai untuk kami menceburi bidang ini.

Tetapi tidak ramai sebenarnya yang tahu bagaimana kita harus menjana industri ini atau membangunkan perniagaan dalam bidang animasi, kerana apa yang saya perhatikan pada waktu itu kebanyakkan syarikat-syarikat yang menceburi atau menubuhkan dalam bidang animasi ini hanya menumpukan kepada pembuatan atau penerbitan siri animasi untuk dijual ke stesen televisyen yang waktu itu hanya Radio Televiyen Malaysia (RTM) sahaja yang membeli produksi tempatan.

Jadi, saya berpendapat bahawa kalau kita mahu membuat perniagaan dalam animasi ini, ia harus menyeluruh dan ‘Disney’ kita ambil sebagai model untuk membuat perniagaan ini. Oleh kerana itu, kami memikirkan apakah bentuk animasi yang boleh dijual ke seluruh dunia. Ramai yang berpendapat bahawa untuk berjaya membuat animasi ke peringkat global, harus membuat sesuatu yang berbentuk global, dan Amerika serta Eropah merupakan pasaran yang begitu besar.

Tetapi selepas saya membuat kajian, kita tidak mungkin boleh menghasilkan produk seperti yang dibuat oleh orang-orang Eropah atau Amerika kerana kesudahannya kita akan menghasilkan sesuatu yang berbentuk ciplak. Oleh kerana itu, kita harus menghasilkan sesuatu karya yang lebih original dan waktu itu saya perhatikan bahawa animasi tempatan atau orang Asia sendiri dahagakan animasi yang mengenengahkan budaya mereka dan dapat memberi pengajaran kepada anak-anak mereka yang sedang membesar.

Jadi, kami berpendapat bahawa kami harus membuat animasi yang mengenengahkan budaya kita, nilai-nilai murni dan animasi itu boleh dimasukkan unsur-unsur pengajaran supaya anak-anak kita yang membesar dengan animasi itu mendapat faedah.

Kami membuat cerita yang begitu unik iaitu cerita-cerita kampung tetapi penuh dengan adat resam kita dan kami selitkan dengan moral-moral yang bagus dan pengajaran supaya diikuti oleh semua anak-anak. Ternyata model perniagaan kami itu berjaya.

photo-tn-hj-burhanuddin

Haji Burhanuddin Md. Radzi, Les’ Copaque Production Sdn Bhd

Petikan dari buku Aspirasi Unikorn Bumipreneur- Stories From the Frontline terbitan NEF. Penulisan asal oleh Ain A. Patakon. Untuk terus membaca kisah pengalaman Haji Burhanuddin Md. Radzi, dapatkan salinan buku ‘Aspirasi Unikorn Bumipreneur – Stories From the Frontline‘ sekarang. Untuk versi e-Book, muat turun di e-Sentral.com.

Leave A Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.