Berita dan Info Bisnes ICT

Sebuah projek
Sebuah projek
Sebuah projek

ASPIRASI: “TECHNOLOGY-DRIVEN INNOVATION” AMIR HARIS AHMAD – LOCALHOST SDN BHD

5.34K 0

‘TECHNOLOGY-DRIVEN INNOVATION’
Amir Haris Ahmad
Localhost Sdn Bhd
www.localhost.my

BIOGRAFI

Amir Haris Ahmad merupakan pemilik LOCALHOST SDN. BHD. Berasal daripada Kota Bharu, Kelantan, beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Kebangsaan Kota. Pada tahun 1996, beliau telah menjadi pelajar terbaik peringkat sekolah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam aliran perdagangan. Semasa di sekolah menengah, beliau juga aktif dengan aktiviti badan berunifom dengan menyertai pasukan kadet polis dan telah menyandang pangkat sebagai sub inspektor kadet. Di antara pencapaian beliau semasa menyertai pasukan kadet polis adalah telah mewakili Kadet Polis Kontinjen Kelantan di peringkat kebangsaan dan juga pernah memenangi tempat ke-2 individu ujian undang-undang peringkat negeri.

Kemudian, beliau telah melanjutkan pelajarannya di peringkat A-level di Kolej MARA Banting dengan tajaan penuh daripada pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA). Oleh kerana kegawatan ekonomi pada tahun 1998, beliau tidak dapat menyambung pengajiannya ke luar negara. Ekoran itu, beliau telah ditempatkan di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perakaunan.

Oleh kerana minat yang mendalam terhadap teknologi, beliau telah mengambil keputusan meninggalkan bidang perakaunan dan menyambung pengajiannya di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam bidang Sains Komputer. Beliau telah menyambung pengajian ke peringkat Master juga di universiti yang sama dalam jurusan Master of Science in Computer Networking (Sarjana Sains, Jaringan Komputer).

Selepas tamat pengajian, beliau memulakan kerjayanya di beberapa buah syarikat berkaitan teknologi maklumat dan yang terakhir di MYNIC Berhad sebagai penyelidik kanan di Jabatan Teknologi dan Inovasi.

Kemudian, beliau bertekad untuk membuka perniagaan sendiri dan telah mengeluarkan produk startup berkaitan sistem keselamatan komputer yang memfokuskan kepada sistem domain atau DNS. Beliau memulakan perniagaan dengan modal yang terhad sehingga mampu mempunyai pejabat dan staf sendiri. Produk beliau telah diguna oleh beberapa organisasi dan syarikat di dalam Malaysia.

Beliau juga antara peserta program MaGIC e@Stanford anjuran Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC) yang telah membawa usahawan Malaysia ke Silicon Valley.

Perjalanan anda sebagai usahawan.

Semasa di pertengahan pengajian di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) di dalam jurusan perakaunan, saya banyak mempelajari ilmu komputer daripada beberapa rakan di Fakulti Sains Komputer. Di samping itu juga, saya banyak menghadirkan diri di dalam perjumpaan komuniti komputer di Malaysia. Hasil daripada perubahan minat saya kepada bidang komputer, saya bertekad untuk mengubah hala tuju cita- cita saya dari bidang perakaunan ke bidang komputer. Dengan sedikit ilmu komputer yang dipelajari semasa di universiti saya banyak membuat kerja separuh masa. Lantaran dari itu saya dapat menjana pendapatan dan secara tidak langsung dapat mempraktikkan apa yang telah saya pelajari dengan memfokuskan kepada penyelesaian masalah.

Selepas tamat pengajian di peringkat Ijazah Sains komputer, saya memulakan pekerjaan di beberapa syarikat berkaitan teknologi maklumat dan yang terakhir di MYNIC Berhad sebagai penyelidik kanan. MYNIC merupakan organisasi yang telah diamanahkan untuk mentadbir nama domain yang berakhir dengan .my (my adalah nama domain untuk negara Malaysia). Sebagai penyelidik, saya telah diberi peluang untuk menerokai ilmu dan teknologi baru yang akan diguna oleh dunia pada masa hadapan.

Kemudian, saya bertekad untuk membuka perniagaan sendiri, dengan mengeluarkan produk startup berkaitan sistem keselamatan komputer yang memfokuskan kepada sistem nama domain atau DNS. Oleh kerana majoriti produk pada masa itu adalah dari Amerika dan Eropah, ia telah memberikan peluang kepada saya untuk mengeluarkan produk keluaran tempatan dan Asia.

Amir Haris Ahmad, Localhost Sdn Bhd

Petikan dari buku Aspirasi Unikorn Bumipreneur- Stories From the Frontline terbitan NEF. Penulisan asal oleh Ain A. Patakon. Untuk terus membaca kisah pengalaman Amir Haris Ahmad, dapatkan salinan buku ‘Aspirasi Unikorn Bumipreneur – Stories From the Frontline‘ sekarang. Untuk versi e-Book, muat turun di e-Sentral.com.

Leave A Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.