Berita dan Info Bisnes ICT

ASPIRASI: “BE DYNAMIC” RITAKAMAL SADIMAN – E2B CONSULTING SDN BHD

420 0

‘BE DYNAMIC’
Ritakamal Sadiman
E2B Consulting Sdn Bhd
www.e2bconsulting.com.my

BIOGRAFI

Ritakamal Sadiman merupakan Principal Consultant di e2B CONSULTING SDN. BHD.. Beliau mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam pelbagai bidang profesional dan turut memegang portfolio sebagai pengarah dan pemegang saham di beberapa syarikat berasaskan teknologi. Ia termasuklah syarikat ICT, Perundingan, Animasi dan Media Baru.

Sepanjang kariernya beliau telah menyandang jawatan kanan dalam bahagian pengurusan di beberapa syarikat. Beliau turut berpengetahuan luas dalam industri lain seperti E-Dagang, Teknologi Maklumat, Kejuruteraan, Logistik, Telekomunikasi, Pembuatan, Perundingan dan Animasi. Sehubungan itu, beliau telah dipertanggungjawabkan menggubal serta melaksanakan pelan dan strategi perniagaan syarikat-syarikat terbabit termasuklah pengurusan sumber dalaman dan luaran serta pembangunan perniagaan. Beliau juga sering dijemput sebagai penceramah untuk membantu syarikat yang bermasalah bagi melakukan pembaikpulihan yang sejajar dengan kepakaran beliau dalam Turn-Around Management.

Justeru itu, sumbangan serta penglibatan beliau dalam komuniti dan jawatankuasa kerajaan adalah tepat di mana beliau pernah berkhidmat dalam Jawatankuasa Pelaksanaan EDI bagi perdagangan elektronik yang diketuai oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) di bawah Majlis IT Negara (NITC). Selain itu, beliau turut mewakili industri sebagai Ahli Jawatankuasa Penilaian Teknikal bagi Pre-Seed Grant dan BCI2 Grant dikendalikan oleh MDeC. Beliau juga merupakan salah seorang juri yang dilantik untuk proses penjurian APICTA Awards dan anugerah MIBPC.

Dengan penglibatan dalam program-program tersebut ternyata usahawan berpengalaman ini tidak lokek ilmu. Beliau jelas mempunyai semangat dan kesungguhan luar biasa dalam membantu para usahawan menerusi latihan serta menjalankan pelbagai program pembangunan. Beliau pernah dilantik sebagai Master Coach di bawah CRADLE Coach and Grow Programme (CGP) dan hingga kini beliau masih aktif menjalankan program-program pembangunan untuk MDeC, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Kewangan Malaysia (MOF), agensi-agensi kerajaan seperti TERAJU serta IPT-IPT diseluruh negara.

Dalam konteks industri ICT dan Kreatif pula beliau merupakan mantan Naib Presiden I Persatuan Usahawan Dan Industri ICT Bumiputera Malaysia (NEF) di mana beliau turut memperjuangkan kandungan-kandungan industri kreatif di peringkat antarabangsa dan tempatan. Selain itu, beliau juga adalah Panel Penasihat Industri Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Perjalanan anda sebagai usahawan.

Sewaktu menuntut di Northern Illinois University, Amerika Syarikat saya merupakan salah seorang daripada penerima biasiswa MARA. Saya bersyukur kerana terpilih sebagai penerima biasiswa tersebut kerana tanpa biasiswa tersebut saya mungkin tidak akan berada di sini seperti hari ini.

Setelah kembali ke tanah air, saya perlu berkhidmat di bawah MARA. Oleh kerana bidang Sains Komputer pada masa itu masih belum dikenali ramai, saya tidak dapat menjiwai bidang tersebut. Sekitar tahun 1979 juga Malaysia pada waktu itu belum bersedia dengan kehadiran teknologi. Maka, pihak MARA bersetuju melepaskan saya dan bermulalah karier saya di dalam syarikat-syarikat korporat.

Walau bagaimanapun, menjadi seorang usahawan adalah sesuatu yang saya impikan sejak dulu lagi. Saya dilahirkan dan dibesarkan daripada latar belakang keluarga kampung di Banting, Selangor, di mana bapa saya seorang peraih dan ibu saya pula membantu menambah ekonomi keluarga dengan berniaga kuih-muih, kerepek serta ‘aiskrim Malaysia’. Jadi, sejak kecil lagi saya sudah membantu ibu menjual ‘aiskrim Malaysia’ dan mungkin dari situlah semangat keusahawanan dan minat berniaga berputik.

Berbekalkan kelulusan dan doa daripada ibu, saya memulakan perniagaan pertama dengan membuka sebuah syarikat IT. Alhamdulillah, hari ini syarikat tersebut juga telah berjaya menjadi salah sebuah listed company di Malaysia.

Ritakamal Sadiman, e2B Consulting Sdn Bhd

Petikan dari buku Aspirasi Unikorn Bumipreneur- Stories From the Frontline terbitan NEF. Penulisan asal oleh Ain A. Patakon. Untuk terus membaca kisah pengalaman Ritakamal Sadiman, dapatkan salinan buku ‘Aspirasi Unikorn Bumipreneur – Stories From the Frontline‘ sekarang. Untuk versi e-Book, muat turun di e-Sentral.com.

Leave A Reply

Your email address will not be published.